Menu

 

A+ A A-

BATAS HUBUNGAN SUAMI DENGAN ANAK SAUDARA PEREMPUAN ISTERINYA

MOHON penjelasan tentang batas hubungan seorang suami dengan anak saudara perempuan isterinya (anak saudara sabit). Adakah boleh mereka bersalaman, mendedahkan aurat dan tinggal serumah?

RINGKASNYA: Haram bersalaman dan mendedahkan aurat. Ini kerana anak saudara kepada isteri (atau anak saudara sabit) adalah salah seorang wanita yang diharamkan berkahwin secara sementara.

HURAIAN: Terdapat dua kumpulan wanita yang diharamkan berkahwin, iaitu:

1 Mahram mu’abbad, iaitu wanita yang diharamkan berkahwin dengannya selama-lamanya seperti ibu atau anak sendiri.

2 Mahram mu’aqqat, iaitu wanita yang diharamkan berkahwin dengannya buat sementara seperti ipar iaitu adikberadik isteri.

Kedudukan anak saudara isteri adalah seperti ipar iaitu termasuk wanita yang diharamkan berkahwin buat sementara, iaitu selama wujud hubungan perkahwinan dengan isteri yang ada sekarang. Jika berlaku perceraian dengan isteri sekarang, maka anak saudara bekas isteri tadi bertukar kembali menjadi wanita ajnabi iaitu halal untuk dikahwini tertakluk kepada syarat idah dan seumpamanya.

Berhubung dengan hukum pergaulan seorang lelaki dengan wanita yang diharamkan berkahwin secara sementara, terdapat satu perbezaan hukum yang kadang-kadang dipandang ringan oleh masyarakat kita. Hukum status mahram itu hanya menyentuh soal larangan berkahwin dan ia tidak mengubah hukum berkaitan dengan pergaulan dan aurat.

Seorang suami tetap wajib menjaga pergaulan dan aurat dengan wanita yang menjadi mahram sementara (mahram mu’aqqat). Ini bermakna, tidak seperti mahram mu’abbad, seorang lelaki tidak boleh melihat aurat wanita mahram mu’aqqat, berdua-duaan dengannya, bersalaman, tinggal sebumbung atau musafir bersama-sama dengannya tanpa ditemani mahram lain.

Ramai yang tidak peka bahawa batasan hukum seorang lelaki dengan anak saudara sendiri, dan dengan anak saudara isterinya adalah berbeza. Mereka menyangka oleh kerana anak saudara isterinya itu telah menjadi mahramnya (sementara), maka segala batasan pergaulan telah hilang. Ada juga yang sengaja tidak mengendahkan hukum semata-mata untuk “menjaga hati”’ saudara mara, atau takut untuk bertegas dengan hukum Allah.

Buat mereka, perlu diingatkan bahawa sikap mereka yang mahu mendapatkan keredaan manusia dengan menempah kemurkaan Allah adalah satu perbuatan keji yang membawa kesengsaraan di dunia dan akhirat. Kesilapan lain pula berpunca akibat sikap tidak peka dengan perubahan umur anak saudara itu. Ketika anak saudara isterinya itu masih kanak-kanak, maka tentulah tidak menjadi kesalahan si suami itu bersalaman, atau melihatnya ketika dia tidak bertudung. Namun, apabila anak saudara itu sudah semakin besar dan sudah baligh, mereka perlu menjaga batas-batas pergaulan agar tidak melanggar ketetapan syarak.

Sesungguhnya perkara ini banyak diabaikan oleh masyarakat kita kini dan seharusnya semua pihak harus mengambil perhatian akannya. Moga Allah melindungi kita semua daripada dosa-dosa yang kita sedari dan kita tidak sedari.

Ustaz Fathi Bin Yusof

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 2


 

Ustaz Fathi Yusof

Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Undang-undang dan Syariah, serta Doktor Falsafah Undang-undang UIAM. Kini bertugas sebagai Pensyarah Kanan dan Felo Penyelidik Undang-undang Islam di Pusat Penyelidikan Fiqh Sains dan Teknologi (CFiRST), Universiti Teknologi Malaysia. Membuat kajian dan penulisan dalam bidang undang-undang Islam, perlembagaan dan kekeluargaan. Beliau boleh dihubungi di alamat e-mel fathiyusof@gmail.com. Antara blog beliau ialah http;//abimuslih.wordpress.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas