Menu

 

A+ A A-

SEJARAH PENULISAN PADA ZAMAN RASULULLAH

FIRMAN Allah s.w.t. yang bermaksud: “Bahawa sesungguhnya al-Quran itu ialah (wahyu dari Kami) yang disampaikan oleh Rasul yang mulia. Dan bukanlah al-Quran itu perkataan seorang penyair (sebagaimana yang kamu dakwakan, tetapi sayang…) amatlah sedikit kamu beriman. Dan juga bukanlah al-Quran itu perkataan seorang bomoh (sebagaimana yang kamu katakan, tetapi sayang…) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan. (Al-Quran itu) diturunkan dari Allah, Tuhan sekalian alam. Dan kalaulah (Nabi Muhammad yang menyampaikan al-Quran itu) mengatakan atas nama Kami secara dusta – sebarang kata-kata rekaan – sudah tentu Kami akan menyentapnya, dengan kekuasaan kami. Kemudian sudah tentu Kami akan memutuskan tali jantungnya (supaya ia mati dengan serta-merta); Maka tidak ada seorangpun antara kamu yang dapat menghalang (tindakan Kami itu) daripada menimpanya.” - (Surah al-Haqqah 69: 40-47)

Ringkasnya, pada permulaan al-Quran diturunkan dan yang berlegar di kalangan para sahabat hanyalah dalam bentuk hafalan semata-mata. Berlaku transformasi yang hebat daripada hafalan kepada tulisan apabila bermulanya hijrah Rasulullah s.a.w. daripada Makkah ke Madinah. Tawanan Perang Badar yang terdiri daripada golongan kafir Makkah merupakan guru utama kepada sepuluh orang anak Muslim di Madinah. Mereka menawarkan diri sebagai menebus kesalahan dengan mengajar anak-anak Muslim Madinah sehingga mereka pandai menulis dan membaca.

sejarah-penulisan-1

Apabila sampai ketikanya wahyu diturunkan, Rasulullah s.a.w. mengarahkan supaya ia ditulis, maka muncullah para sahabat yang menulis ayat al-Quran tersebut. Penulisan ini adalah mutawatir iaitu bersandarkan kepada apa yang diarahkan oleh Baginda sendiri. Justeru, para sahabat r.a. adalah golongan yang paling bertakwa serta sama sekali tidak mengkhianati ataupun mengingkari setiap arahan Rasulullah s.a.w.

sejarah-penulisan-2

Ini membuktikan bahawa para sahabat itu amat memelihara amanah setiap aspek yang diterima secara langsung daripada Baginda Nabi Muhammad s.a.w. Hal ini lebih kukuh dalam penerimaan mereka terhadap apa yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. terutamanya al-Quran dan juga hadis Baginda. Walaupun Rasulullah s.a.w. adalah seorang yang ‘ummiy’ iaitu tidak tahu membaca mahupun menulis, akan tetapi Allah s.w.t. memberikan satu kehebatan yang amat agung iaitu Baginda dapat membaca al-Quran secara ‘talaqqi’ dan ‘musyafahah’ secara langsung dengan perantaraan Jibril a.s.

Kehebatan inilah yang menjadikan Baginda seorang yang fasih dalam penuturan dialek arab Quraisy hinggakan terdapat para sahabat yang sukar untuk memahami lafaz hadis disebabkan ketinggian gaya bahasa yang digunakan. Hal ini boleh kita dapati apabila mengkaji kitab-kitab yang membincangkan mengenai ‘Gharib al-Hadis’.

sejarah-penulisan-3

Segala ilmu yang diperolehi oleh Rasulullah s.a.w. adalah datangnya daripada hidayah serta panduan dan juga inayah Allah s.w.t. yang diberikan khusus untuk nabi-Nya yang tercinta berdasarkan ayat 1 hingga 5 surah al-‘Alaq yang bermaksud: “Bacalah (wahai Muhammad) dengan nama Tuhan-mu yang menciptakan (sekalian makhluk). Ia menciptakan manusia daripada sebuku darah beku. Bacalah, dan Tuhan-mu yang Maha Pemurah. Yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan. Dia mengajarkan manusia apa yang tidak diketahuinya.”

Hal ini tidaklah hanya berlegar di kalangan para sahabat sahaja tentang keagungan ilmu yang dimiliki oleh Rasulullah s.a.w. ini bahkan ia juga diperakui oleh para Musyrikin kerana al-Quran yang diturunkan amat berbeza sekali dengan alunan rangkap syair yang mereka ketahui.

sejarah-penulisan-4

Inilah hujah serta bukti yang terang dan jelas bahawa al-Quran merupakan mukjizat agung dalam apa jua muamalat manusia seharian sama ada dari segi lafaz, huruf mahupun maknanya yang tersirat dan yang tersurat.

Tadabburlah firman Allah s.w.t. dalam surah ar-Rahman ayat 1 hingga 4 yang bermaksud: “(Tuhan) Yang Maha Pemurah serta melimpah-limpah rahmat-Nya. Dia-lah yang telah mengajarkan al-Quran. Dia-lah yang telah menciptakan manusia; Dia-lah yang telah membolehkan manusia (bertutur) memberi dan menerima penyataan.”


Ustaz Mohd Adib Hassan Sa’ari
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2


Ustaz Mohd Adib bin Hassan Saari

Sarjana Muda Qiraat, Maahad Qiraat Shubra, Universiti al-Azhar. Antara guru beliau ialah Syeikh Abdul Hakim bin Abdul Latif (Pakar Rujuk Utama Ilmu Qiraat di Masjid al-Azhar), Syeikh Abdul Rahim al-Banna dan Syeikh Qadri bin Abdul Hamid al-Hafiz. Kini guru, merangkap jurulatih utama al-Quran, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.

Kembali ke atas