Menu

 

A+ A A-

STRATEGI RASULLULLAH MENYAMPAIKAN VISI

NABI Muhammad s.a.w. mula melaksanakan visi pertama Baginda untuk mengajak manusia menyembah Allah s.w.t. dan meninggalkan penyembahan berhala. Visi Rasulullah s.a.w ini dikongsi oleh beberapa orang sahabat pada ketika itu secara rahsia. Cara ini dilakukan bagi mengelak tindakan buruk orang Quraisy yang begitu fanatik terhadap berhala-berhala ciptaan mereka sendiri.

Rasulullah ialah seorang pemimpin yang berstrategi apabila menyampaikan visinya ini secara berperingkat, iaitu terlebih dahulu kepada ahli keluarga terdekat, yang mahu menerima dan mempercayai ajarannya itu. Antara mereka ialah isteri Baginda, Khadijah binti Khuwailid, sepupu Baginda Ali bin Abi Talib, kemudiannya, Zaid bin Harithah, Abu Bakar bin Abu Quhafah, Uthman bin Affan, Zubair bin Awwam, Abdurrahman bin Auf, dan Saad bin Abi Waqash.

strategi rasulullah 2

Konsep usrah juga diperkenalkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam menyampaikan visinya. Ketika orang yang memeluk Islam melebihi tiga puluh orang lelaki dan perempuan, Rasulullah s.a.w. memilih rumah salah seorang daripada mereka, iaitu rumah Arqam bin Abi al-Arqam, sebagaitempat pertama mengadakan sesi usrah, untuk pembinaan diri dan pengajaran.

Nabi s.a.w. bukan sahaja memiliki visi yang jelas, tetapi berkongsi visinya itu bersama para sahabat melalui cara hidup Baginda dan sistem pendidikan tidak formal yang mantap, sehinggalah mereka memahami, menghayati, menjiwai dan seterusnya berazam mengaplikasikan visi tersebut. Peter M. senge dalam bukunya The Fifth Discipline berkata:

“Kumpulan yang berjaya biasanya mereka yang mengamalkan perkongsian visi. Perkongsian visi mampu menaikkan semangat dan menjadikan manusia sanggup berkorban bagi mencapai matlamat yang lebih tinggi…” Ia menghilangkan semangat “keakuan” dalam diri seseorang dan sebagai gantinya melahirkan semangat “kekitaan”. Di samping itu, ia merangsang ke arah pembelajaran dan penguasaan ilmu kerana ke dua-dua ini adalah penting bagi mencapai sesuatu visi.

Kesan daripada penghayatan dan pengamalan ini dapat kita lihat melalui ujian-ujian yang dihadapi para sahabat ketika berhadapan dengan pemimpin Quraisy yang mengetahui keislaman mereka. Bilal bin Rabah contohnya, ialah seorang hamba berkulit hitam kepada Umayyah bin Khalaf.

Umayyah merupakan salah seorang musuh ketat Nabi Muhammad s.a.w. Setelah mengetahui bahawa hambanya telah memeluk Islam, dia menyeksa Bilal dengan membaringkannya di atas padang pasir yang panas dalam keadaan tidak berbaju.Dia kemudiannya meletakkan batu besar yang panas di atas dada Bilal dan berkata: “Aku tidak akan membebaskan engkau sehinggalah engkau mati seperti ini atau menolak agama Muhammad dan kembali menyembah Lata dan Uzza!” Walaupun menerima seksaan sebegitu hebat, Bilal menjawabnya hanya dengan dua perkataan yang membuktikan kukuhnya imannya iaitu: “Ahad! Ahad! (Allah itu Maha esa).” Orang ramai begitu kagum terhadap kegigihan hamba yang hitam ini.

Seorang pendeta Arab, yang sedih melihat keadaan Bilal, telah berkata kepada Umayyah: “Demi Allah, jika kamu membunuhnya dalam keadaan demikian, aku akan jadikan kuburnya tempat keramat untuk dikunjungi oleh para penziarah.” Mendengar kata-kata itu, Umayyah bertindak lebih ganas dengan mengikatkan tali di leher Bilal dan diheret di atas jalan yang sangat panas. selain Bilal bin Rabah r.a., Ammar bin Yasir dan kedua-dua ibu bapanya juga menerima ujian yang berat daripada Allah s.w.t. Mereka memeluk Islam ketika Nabi Muhammad s.a.w. memilih rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam sebagai pusat dakwah Islam.

Ketika kaum Musyrik mengetahui mereka sudah menganut agama Islam, penyembah-penyembah berhala itu tidak berhenti menyeksa dan menganiaya mereka. Walaupun seksaan itu sangat berat, Ammar sekeluarga tetap dengan pegangan dan iman mereka terhadap Allah s.w.t., sehinggalah bapanya Yasir dan ibunya Sumayyah dibunuh,yakni gugur syahid dalam menegakkan kalimah Allah s.w.t. Kisah-kisah ini adalah lambang kejayaan Rasulullah s.a.w. kerana Baginda membentuk para sahabat bertunjangkan akidah yang mantap.

Kejayaan ini adalah hasil visi ketuhanan yang dijiwai oleh Baginda di samping kemampuan Baginda untuk berkongsi visi besar itu dengan para sahabat. Kesimpulannya berdasarkan artikel edisi ini dan edisi yang lalu, kita dapat mengetahui bahawa visi utama Rasulullah s.a.w. adalah menghambakan dan mengabdikan diri kepada Allah s.w.t. ¤

 

         Mohd Azrul Azlen Abd Hamid

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2

 


 

Mohd Azrul Azlen Abd Hamid

Dilahirkan di Kedah dan mendapat Ijazah Sarjana Muda di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Ijazah Sarjana (MA) dalam bahasa Arab juga di UIAM, dan menyambung pengajian peringkat Ph.D di Universiti Malaya. Kini menjawat jawatan pensyarah di UIAM. Berpengalaman dalam bidang motivasi dan kepimpinan dan aktif dalam penerbitan buku ilmiah dan artikel majalah. Merupakan penulis Indahnya Hidup Bersyariat. Layari blog beliau di http://mohdazrul.blogspot.com. Beliau juga boleh dihubungi di mohdazrulazlan@gmail.com

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

tbbk1297

 

Kembali ke atas