Menu

 

A+ A A-

MAQAM IBRAHIM

Mereka yang bertugas di bandar metropolitan Kuala Lumpur, pasti biasa dengan fenomena pembinaan projek mega bangunan pencakar langit di mana-mana. Penulis sendiri kagum dengan kehebatan teknologi dan kecanggihan alatan pembinaan tersebut sampaikan ada ketikanya terlalu asyik melihat (dalam kesesakan jalan raya) hingga terlupa kereta yang ada di hadapan.

Namun, bukan itu persoalan mahupun kisah yang mahu diketengahkan. Tetapi isunya, acap kali melihat kren besi yang semakin tinggi membawa bahan binaan mengikut ketinggian bangunan, pasti akan teringat tatkala Nabi Ibrahim a.s. membina Kaabah bersama Ismail a.s. Baginda akan berdiri di atas sebuah batu sebagai tempat berpijak laksana seorang arkitek yang hebat. Setiap kali bangunan Kaabah bertambah tinggi, batu tersebut juga ikut naik seolah-olah tangga kren. Gerakannya bukan dengan kuasa hidrolik tetapi dengan teknologi mukjizat dari Ilahi yang tiada tandingan. Inilah bukti nyata Maqam Ibrahim a.s.!

Sejarah Maqam Ibrahim
Mengikut kefahaman masyarakat biasa, maqam mungkin bererti kawasan perkuburan tertentu atau monumen yang dikekalkan untuk tujuan historical mahupun sebagai mercu tanda. Namun begitu, dari aspek bahasa Arab ‘maqam’ bererti tempat berpijak. Justeru, Maqam Ibrahim a.s ialah batu yang dibawa oleh Nabi Ismail a.s untuk dijadikan tempat berpijak bapanya Nabi Ibrahim a.s. ketika proses pembinaan Kaabah.

Ajaib, di atas batu inilah baginda membina Kaabah dengan tangannya sendiri daripada batu-batu yang dihulurkan oleh Ismail a.s. Walaupun tanpa ilmu pembinaan yang khusus, Nabi Ibrahim a.s. sama sekali tidak memberi sebarang alasan tatkala diperintahkan oleh Allah s.w.t. untuk membina Kaabah.

Diriwayatkan oleh Said bin Jubair bahawasanya beliau berkata: “Batu Maqam Ibrahim ini, Allah Taala telah menjadikannya lembut dan ia sebagai rahmat.” Kerana itulah walaupun lama Nabi Ibrahim a.s. berpijak di atasnya namun tidak terasa sakit mahupun penat dan kerana sebab itulah juga kekal kesan tenggelamnya tapak kaki Ibrahim a.s. sebagaimana yang dapat dilihat pada hari ini.

Inilah bukti yang nyata betapa Allah kasihkan hamba-Nya yang bergelar Ibrahim al-Khalil, yang dahulunya pernah terselamat dalam api yang panas yang mana telah menjadi sejuk dan selamat atas perintah Allah s.w.t.

Di atas batu ini jugalah Nabi Ibrahim a.s. menyeru manusia untuk datang mengerjakan haji di Baitullah setelah selesai pembinaan Kaabah.
Al-Fakihi dan lain-lainnya meriwayatkan bahawasanya apabila pembinaan Kaabah siap sepenuhnya, Allah telah memerintahkan agar Nabi Ibrahim a.s. menyeru manusia datang menunaikan haji. Lalu Nabi Ibrahim berkata: “Wahai Tuhanku! Sesungguhnya tiadalah daya diriku sebagai manusia biasa yang terhad suaranya untuk menyeru hingga sampai ke seluruh pendengaran manusia di dunia.”

Lalu Allah berbicara kepada Nabi Ibrahim a.s. dengan firman-Nya: “Sesungguhnya tugasmu hanyalah melaungkan sahaja, tetapi Kamilah yang menyampaikannya (ke dalam hati manusia).”

Lantas Ibrahim a.s. naik ke atas batu (Maqam Ibrahim) seraya menyeru: “Wahai manusia! Telah difardukan ke atas kamu ibadah haji.” Maka dengan itu seruan tersebut telah diperdengarkan kepada setiap manusia yang berada di dalam sulbi lelaki dan di dalam rahim wanita. Mereka yang beriman serta yang telah ditulis oleh Allah s.w.t. akan datang untuk mengerjakan haji hingga hari kiamat telah menyahutnya dengan menyebut: “Labbaikallahumma Labbaik.”

Sedikit renungan bagi mereka yang masih teragak-agak dengan memberi alasan “belum sampai seru” untuk melaksanakan ibadah haji. Terdapat juga mereka yang telah dapat surat panggilan mengerjakan haji tetapi menangguhkannya dengan pelbagai alas an seperti anak masih kecil dan sibuk dengan tugas. Persoalannya apakah kita mampu punyai kudrat yang serupa seperti masa sekarang ataupun kita berpeluang punya lagi usia pada musim haji yang akan datang? Hakikatnya inilah indicator (kayu pengukur) yang menentukan sekuat dan setinggi mana iman seorang hamba terhadap arahan Rabbnya.

Antara Anak dan Ayah
Menerusi sejarah Maqam Ibrahim ini sungguh mencerminkan hubungan yang cukup unik antara seorang anak dan juga ayahnya. Hubungan yang bukan sekadar talian darah dan keturunan bahkan hubungan yang tersulam kemas bersama ikatan iman dan takwa yang terjelma dalam perlaksanaan ibadah (membina Kaabah) yang dilakukan bersama-sama. Saya ingin mengajak diri saya dan para pembaca semua supaya memikirkan sejenak hubungan antara seorang anak dan ayah pada zaman moden ini. Kita mungkin dapat lihat kemesraan anak dan ayah di pusatpusat membeli belah sewaktu memilih barangan yang disukai, gelak tawa ria tatkala beraktiviti sukan, bermain bowling dan sebagainya. Semuanya tidaklah pula ada salah nya, untuk dilakukan selagi mengikut lunas syariat. Namun apakah kita tidak hairan saat menghadiri solat jemaah di masjid, hanya si ayah sahaja yang pergi tanpa lagi ditemani anakanak di sisi.

Mungkin alasan yang diberi, anak ke pusat tuisyen atau sedang mengulang kaji di rumah. Natijahnya, hilang rasa kebersamaan dan roh berjemaah dalam melaksanakan ibadah. Mungkin kita sudah boleh merasa lega setelah anak-anak menunaikan ibadah, tetapi apakah mampu kita menjamin anak kita itu meneruskan ibadah yang serupa setelah kita memejam mata?

Tokoh dakwah terkenal dan ahli motivasi Timur Tengah, Dr. Tariq Suwaidan berkata: “Hendaklah kamu sertakan anakanak tatkala melakukan sesuatu ketaatan. Umpama Nabi Ibrahim a.s. sentiasa bersama Ismail a.s. terutama ketika membina Kaabah. Inilah tunjuk ajar Ibrahim a.s. kepada semua para ayah di dunia.” Jadi, ajaklah anak anda bersama ke masjid dan bawalah mereka tatkala kunjungan haul anda tiba untuk menunaikan zakat bersama-sama.

Usahakanlah! Kata Tuan Guru Dato’ Nik Abd Aziz: “Jika pohon nikmat Allah Taala digoyang bersama pasti bukan sahaja buah nikmat yang ranum itu akan gugur tetapi yang baru berputik juga akan turut jatuh berguguran.”

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 7

 


 

Ustaz Ahmad Husni Abd Rahman

Lulusan Ijazah Sarjana Muda Syariah, Universiti Islam Madinah, dan sedang menyambung Ijazah Sarjana (MA) Syariah di Universiti Malaya. Kini sebagai Eksekutif Zakat, Pusat Pungutan Zakat (PPZ) Wilayah Persekutuan. Juga sebagai panel slot Durrul Hikmah dan Bicara ad-Deen di radio IKIM.fm, di samping menjadi tetamu jemputan KL.fm, Selamat Pagi Malaysia, Islam Hadari (RTM1), Al-Kuliyyah (TV3) dan pengacara Bicara Mufti (RTM1). Beliau juga sebagai Jurubahasa Arab bagi Kerajaan Negeri Perak di Persidangan Negara-negara Islam Sedunia (OIC) 2003 dan berpengalaman sebagai mutawwif Haji dan Umrah sejak 1998.

Kembali ke atas