Menu

 

A+ A A-

TUTUP KELUH KESAH DENGAN KESABARAN

PERMULAANNYA, mari kita renungi dua kisah yang pernah berlaku kepada para nabi, iaitu kisah Nabi Sulaiman a.s. dan Nabi Yaakob a.s. Orang Mukmin tatkala menerima kebaikan daripada Allah pasti akan melahirkan rasa kesyukuran, bukan?

Lihat Nabi sulaiman ketika menerima penyerahan istana kerajaan saba’ daripada Puteri Balqis, baginda mengucapkan: “inilah sebahagian daripada kurnia Tuhanku, sebagai ujian-Nya kepadaku, adakah aku bersyukur ataupun bersikap kufur.” (surah al-Naml 27: 40) Demikian juga, cubaan yang dihadapi oleh Nabi Yaakob kerana kehilangan Nabi Yusuf disebabkan perbuatan hasad dengki saudaranya sendiri. Baginda bertawakal kepada Allah dengan penuh kehambaan sebagaimana tergambar dalam sepotong ayat yang bermaksud: “ia berkata: ‘Hanya kepada Allah kesusahan dan keresahan ini aku adukan.’” (surah Yusuf 12: 86)

Jentikan ujian

Ujian datangnya dalam pelbagai bentuk, termasuk juga seperti gagal mencapai cita-cita, kebakaran, banjir, serangan wabak penyakit, kehilangan orang tersayang ataupun diuji dengan nikmat masa sihat dan masa lapang. Alangkah indahnya apabila berdepan dengan ujian Allah, sabda Rasulullah s.a.w. ini selalu kita ingati, maksudnya: “sangat mengagumkan keadaan seorang Mukmin, sebab segala keadaannya untuk ia sangat baik, dan tidak mungkin terjadi demikian kecuali bagi seorang Mukmin. Jika mendapat nikmat ia bersyukur, maka syukur itu sangat baik baginya dan apabila menderita kesusahan ia bersabar, maka sabar itu lebih baik baginya.” (Riwayat Muslim)

Itulah yang dikatakan ujian sangat pahit, namun terselit hikmah yang amat manis. Walau bagaimanapun, masih ramai yang tidak sanggup untuk menerima dan melaluinya. Hidup ini tidak semudah kita menterbalikkan tapak tangan. Cuba kita terbalikkan tangan, terlalu cepat dan pantas bukan? Namun, kehidupan ini tidak semudah itu. ibarat melalui jalan berliku, penuh dengan bengkang-bengkoknya. Hidup ini juga kita boleh ibaratkan seperti kaca, jika tidak sabar, maka hancur berderailah kehidupan ini, seperti kaca terlepas daripada genggaman.

Peranan kesabaran seseorang sangat penting dalam menghadapi situasi buruk yang memang tidak disukai ini. Berbincanglah, bagaimana untuk melalui dengan keadaan ini seterusnya berfikir cara mengatasinya. Perbanyakkan juga berdoa kerana doa mampu mengubah takdir.

Bermesra dengan Allah

Antara sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: “Tiga perkara daripada tanda kekafiran terhadap Allah iaitu merobek baju, mengeluh dan menghina nasab (keturunan) orang lain.”

Dan sabdanya lagi: “Mengeluh itu termasuk kebiasaan jahiliah, dan orang yang mengeluh jika ia mati sebelum bertaubat, maka Allah akan memotongnya bagi pakaian daripada wap api neraka.” (Riwayat ibn Majah)

Apa akan berlaku jika hati dipenuhkan dengan mengharap sambil memaksa ketentuan Allah? Yang pasti, niat dan impian kita akan hancur berkecai bak debu berterbangan dan wujudlah prasangka buruk terhadap Allah. Segala ikhtiar menjadi sia-sia. Nauzubillah. Mari kita insafi dan merenung segala ujian yang pernah kita lalui selama kita hidup. Kita banyak bersyukur ataupun mengeluh?

Kita banyak reda ataupun menyalahkan takdir? Kita banyak mencari jawapan atau banyak mempersoalkan itu dan ini? Muhasabah, sebanyak dan setebal mana tahap kesabaran kita?

 

Siti Rohani Suriani

Sumber artikel daripada Majalah Gen Q 7


 

Siti Rohani Surani

Bertugas selama enam tahun sebagai DJ Radio IKiM FM. Merupakan penyampai radio bagi slot Warna Pagi Ikim FM dari pukul 6 hingga 10 pagi. Pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengacara bagi program realiti Astro Oasis iaitu Ustazah Pilihan yang bermula pada 6 Oktober 2011.

Kembali ke atas