JIWA KITA PERLU KAYA
- Ditulis oleh Siti Rohani Surani
- Kategori Ibadah
- Read 4870 times
PERNAH tak para pembaca sekalian mendengar atau terbaca kata-kata di bawah? Masalah yang dihadapi oleh mereka yang kosong jiwanya boleh membawa kepada kekufuran. Apabila kufur, maka amat mudah menjadi lupa diri serta hilang ketenangan dan kebahagiaan.
Sebelum itu, saya ingin bertanya, memang betulkah ada istilah jiwa kosong? Pernahkah anda merasakan demikian? Hidup di dunia dirasakan tidak bermakna lagi, sehingga akhirnya wujud rasa putus asa pada diri dan kehidupan. Apabila jiwa kosong tanpa iman, maka mudah sahaja kita terkena gangguan jiwa dan menjadi gila!
Amalan Membaca Doa
Mari sama-sama kita amalkan membaca doa berikut, sepertimana yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w. kepada umatnya bagi mengatasi masalah jiwa:
Maksudnya: “Ya Allah, aku berlindung dengan-Mu daripada ditimpa kesusahan dan kedukaan, daripada kelemahan dan kemalasan, daripada kedekut dan perasaan takut dan daripada desakan berhutang dan paksaan orang.”(Riwayat Abu Daud)
Doa ini elok dibaca setiap hari untuk mengatasi masalah jiwa. Berbalik pada soalan wujudkah istilah jiwa kosong, pada pandangan saya tidak ada. Mengapa saya katakan demikian? Sebabnya mudah, kerana sekalipun sebuah bekas itu kosong, tetapi masih ada udara di dalamnya, betul kan?
Yang membuatkan seseorang itu merasakan kekosongan jiwa adalah kerana tidak tahu matlamat yang ingin dicapai dan hilangnya rasa tenang dalam hati. Maka yang sebenarnya dirasakan ialah jiwa seseorang itu hampir mati!
Menghadapi Masalah Jiwa
1 Terima hakikat yang kita ada masalah jiwa atau gangguan emosi.
2 Cari punca dan cuba selesaikan masalah itu sendiri dahulu.
3 Jika tidak dapat diselesaikan, jangan malu untuk dapatkan pertolongan orang lain seperti rakan, ahli keluarga, ahli agama, doktor keluarga anda ataupun sesi kaunseling.
4 Pastikan setiap hari anda cipta aktiviti untuk dilakukan bagi mengelakkan rasa jemu seperti bersukan, membaca, mengemas, terlibat dengan kerja amal atau dapatkan hiburan yang berfaedah melalui TV dan radio.
5 Paling penting, sesibuk mana pun anda, jangan ditinggalkan amalan membaca al-Quran, berzikir dan berdoa.
Jika kita dapat merancang aktiviti setiap hari, maka tidak akan terkeluar dari mulut kita kata-kata seperti “jemunya hari ini”, “bosannya… tak tahu nak buat apa”, dan pelbagai lagi keluhan.
Penawar Jiwa
Benarkah agama dapat memberikan ketenangan jiwa? Bukan hiburan atau kemewahan? Ya, agamalah penawar ketenangan jiwa, kerana beragama itu fitrah bagi manusia. Sekiranya seseorang itu menafikan untuk beragama, maka dia telah menolak satu daripada jenis-jenis fitrah yang wujud dalam dirinya.
Manusia merupakan makhluk yang mempunyai kemampuan yang terhad dan lemah. Setiap keupayaan kita terbatas, akal pemikiran juga tidak luas, ada kalanya sakit badan, tenaga pula ada kalanya lemah. Maka semua ketidakupayaan kita ini memerlukan pertolongan daripada Allah s.w.t. Islam datang dengan menyediakan penawar bagi segala kesusahan.
Fikirkan jawapan untuk soalan ini:
1 Dari manakah asalnya manusia?
2 Ke manakah hala tuju manusia dan kehidupan selepas ini?
3 Untuk apa manusia diciptakan dan kehidupan ini wujud?
Jika kita mempunyai jawapan dan jelas dengan jawapan bagi soalan di atas, tentu hidup ini penuh bermakna, jiwa tidak akan kosong. Kadang-kadang jiwa kita bukannya perlukan hadiah, bunga ataupun pelukan pasangan suami atau isteri, tetapi hanya kata-kata yang meyakinkan kita bahawa setiap diri kita mempunyai makna dalam kehidupan ini. Manusia merasakan kehidupannya amat bermakna untuk tidak dibiarkan kosong apabila memahami dirinya hamba Allah s.w.t.
SITI ROHANI SURANI
Sumber artikel daripada Majalah GEN-Q Isu 09
Siti Rohani Surani
Bertugas selama enam tahun sebagai DJ Radio IKiM FM. Merupakan penyampai radio bagi slot Warna Pagi Ikim FM dari pukul 6 hingga 10 pagi. Pernah menggalas tanggungjawab sebagai Pengacara bagi program realiti Astro Oasis iaitu Ustazah Pilihan yang bermula pada 6 Oktober 2011.