Menu

 

A+ A A-

BANK ISLAM PENIAGA BUKAN PEMBERI PINJAMAN

RAMAI yang terkeliru apabila menyebut “pinjaman secara Islam” apabila merujuk kepada produk-produk yang ditawarkan oleh bank-bank Islam. Hakikatnya, mereka semua tersilap, kerana produk bank Islam yang berasaskan pinjaman hampir tiada.

Hal ini adalah kerana sesebuah “pinjaman” Islam tidak boleh sama sekali dijadikan sebagai medium untuk meraih sebarang keuntungan.

Pinjaman tidak lain hanya satu jenis kontrak belas ihsan, untuk menolong mereka yang susah secara percuma sahaja. Hasil daripada itu, Allah s.w.t. menjanjikan mereka yang memberikan pinjaman tanpa sebarang caj dengan gandaan pahala sebanyak 18 kali ganda.

Hasil daripada itu, bank-bank Islam terus berusaha mencari pelbagai konsep lain yang lebih sesuai. Dalam hal ini keuntungan secara halal boleh diperoleh tiga kaedah iaitu:

1. Melalui akad jual beli, termasuk sewaan.

2. Melibatkan diri dalam sistem perkongsian pelaburan daripada jenis mudarabah atau musyarakah.

3. Melalui konsep ujrah atau upah hasil sesuatu perkhidmatan yang diberi.

Namun begitu, menurut kebiasaannya ketiga-tiga konsep ini diguna oleh individu atau syarikat-syarikat persendirian atau biasa bagi memperoleh untung. Ia ternyata amat sesuai dan tepat untuk digunakan oleh industri tersebut.

Oleh sebab sifat dan fungsi sebuah bank berbeza dengan sebuah syarikat jualan biasa, sambil menyedari ketiga-tiga konsep sahaja yang ada bagi membolehkan sesebuah bank untuk memperoleh keuntungan, pihak bank cuba mengadaptasikan konsep-konsep tersebut bagi menyesuaikannya dengan sifat sebuah bank di zaman moden ini. Sebuah bank pada asasnya berfungsi sebagai pemberi pinjaman, itu adalah dalam konteks sebuah bank riba, maka fungsi itu terpaksa ditukar kepada bank Islam sebagai pembiaya yang juga bersifat sebagai “trader”, iaitu penjual dan pembeli.

Untuk mengubah sifat asal fungsi sebuah bank daripada pemberi pinjam kepada pembiaya dan penjual serta pembeli, bank-bank Islam banyak menghadapi cabaran undang-undang setempat. Ada kalanya halangan undang-undang setempat boleh menjadikan sebuah bank Islam gagal untuk berfungsi secara seratus peratus menepati syariah. Bukan kerana mereka sengaja untuk ingkar dan culas, tetapi terpaksa tunduk dek undang-undang setempat yang enggan diubah oleh pembuat undang-undang. Usaha mendesak masih berterusan tetapi tentunya tidak wajar diletakkan ancaman dan kecaman kepada bank-bank Islam. Jika ingin mengecam, pastinya anda faham siapa yang patut ditujukan kecaman.

Cara Bank Islam

Dalam tulisan ini, saya akan cuba mendedahkan dengan ringkas salah satu cara yang cuba diguna oleh sebuah bank Islam bagi menjalankan fungsinya sebagai pembiaya dan juga trader.

Caranya adalah dengan memperkenalkan konsep jualan secara murabahah. Bagi mengadun kontrak murabahah agar ia dapat disesuaikan dengan peranan asas sebuah bank iaitu sebagai pembiaya, financier atau orang tengah (intermediaries) yang pada hakikatnya tetap ingin bertransaksi seperti syarikat peniaga (trader), beberapa jenis pengadunan kontrak murabahah telah dibuat bagi tujuan itu. Ia seperti berikut:

  1. Produk pembiayaan aset atau modal (financing): Murabahah antara tiga pihak (tri-partied murabahah).
  2. Produk perbendaharaan (treasury): Komoditi murabahah.
  3. Produk pasaran modal (capital market): Terbitan sukuk murabahah.

Demikian tiga contoh produk utama yang menggunakan konsep murabahah dalam tiga sektor utama perbankan. Namun dalam tulisan ini, saya hanya akan menyebut satu sahaja dari tiga produk tadi.

Murabahah dengan Pihak yang Pinta Beli (Murabahah Lil Amir Bishira)

Boleh didefinisikan sebagai jualan murabahah bagi individu yang berjanji untuk membeli atau Murabahah to the purchase orderer, ia adalah satu bentuk permintaan satu pihak (pelanggan) kepada satu pihak lain yang mempunyai wang (biasanya bank) untuk membeli satu-satu aset yang diinginkan pelanggan dengan pihak pelanggan berjanji akan membelinya daripada pihak yang pembeli awal (bank) dengan harga yang lebih tinggi daripada pembelian pertama. (Al-Murabahah kama Tujrihi al-masarif al-Islamiah, al-Qaradhawi).

Produk ini mempunyai bentuk idealnya dan mempunyai bentuk praktikal yang diamalkan oleh beberapa buah bank Islam di Malaysia. Kebiasaannya konsep ini digunakan untuk produk-produk runcit di bank-bank Islam (retail banking products).

Produk yang menggunakan asas murabahah biasanya boleh digunakan untuk pembiayaan aset seperti:

  • Kereta, rumah, kapal terbang dan kapal.
  • Alatan mesin untuk kegunaan kilang.
  • Bangunan.
  • Tanah.
  • Hak cipta.
  • Hak pemilikan saham dan lain-lain asset yang bersifat tangible dan intangible.

 

Hukum sshot-2

Majoriti ulama mengharuskan pembelian dalam bentuk ini dengan beberapa syarat yang mesti dijaga. Selain syarat-syarat murabahah yang biasa, kontrak murabahah antara tiga pihak ini punyai beberapa syarat tambahan, tanpanya jual beli ini dikira batal dan haram.

Keharusan jual beli ini telah lama disebut, khususnya oleh Imam al-Syafii yang antara lain menyebut: “Apabila seorang lelaki menunjukkan kepada seorang lain suatu barang lalu berkata,

‘Engkau belilah ia, dan aku akan beli dari kamu dengan tambahan beberapa jumlah untung buatmu,’ maka lelaki (pertama) itu membelinya, jual beli ini adalah harus, manakala lelaki yang berkata, ‘Aku akan membeli darimu dengan untung’ (yang berjanji), adalah terbuka kepada pilihan, sama ada untuk membelinya atau menolaknya.” (Al-Umm, Muhammad bin Idris al-Syafii, 3/33).

Proses jual beli sebegini juga turut difatwakan oleh majoriti ulama semasa sebagai harus, antaranya oleh Majlis Syariah Accounting and Auditing Organization for Islamic Financial Institutions (AAOIFI), sebuah majlis syariah yang paling berpengaruh di seluruh dunia. Majlis ini dianggotai oleh 20 orang ulama yang paling berpengaruh di seluruh dunia. Juga fatwa Muktamar Perbankan Islam ke-2, di Kuwait tahun 1983 dan juga Akademi Fiqh OIC, dalam sidang mereka yang kelima pada tahun 1988.

Antara syarat bagi menjadikannya halal sebagaimana yang dijelaskan secara ringkas dalam resolusi Akademi Fiqh OIC (rujuk Qararat wa Tawsiat, Akademi Fiqh OIC, Dar al-Qalam) adalah:

Pertama: Jualan ini apabila berlaku ke atas satu aset, diwajibkan pihak pembeli (bank) untuk memilikinya dengan pemilikan sah menurut hukum syarak, maka tatkala itu ia jual beli yang sah. Iaitu selagi mana pihak yang diminta (biasanya bank) menanggung tanggungjawab dan risiko jika aset rosak sebelum dijual (serahan) kepada pelanggan, dan juga bertanggungjawab untuk menerimanya jika dipulangkan kerana terdapat aib yang tersembunyi pada aset dan sebab-sebab yang mewajibkan pengembalian semula setelah diserah kepada pembeli.

Kedua: Janji, iaitu yang diberikan oleh peminta (pelanggan) kepada yang diminta (bank), janji ini bersifat mengikat (mulzim) ke atas yang memberi janji dari sudut agama kecuali jika terdapat keuzuran sebenar.

Ketiga: Kedua pihak saling berjanji, iaitu janji yang diberikan oleh kedua-dua belah pihak (pihak peminta janji akan beli dan yang diminta janji akan jual), ia adalah harus dengan syarat kedua pihak bebas dan boleh memilih (sama ada untuk meneruskan atau membatalkan), jika kedua belah pihak terikat dan tidak boleh membatalkan janji mereka, tatkala itu janji kedua belah pihak menjadi tidak harus (kontrak batal dan haram), kerana saling berjanji untuk membeli dan menjual adalah sama seperti kontrak jual beli, yang ketika itu memerlukan penjual telah memiliki aset, agar mereka tidak jatuh ke dalam larangan menjual sesuatu sebelum memilikinya.

Kesimpulannya, jual beli secara murabahah ini boleh dan halal dilaksanakan oleh bank-bank Islam dengan syarat-syarat khusus yang disebutkan di dalam resolusi fatwa di atas ringkasannya:

Bank mestilah telah membeli aset dan memilikinya sebelum dijual kepada pelanggan. Aset yang dijual oleh bank mestilah berada dalam jaminan pihak bank selaku penjual sekiranya terdapat kerosakan dan aib tersembunyi, justeru pihak pelanggan boleh memulangkannya kepada bank jika terdapat kerosakan. Janji dari satu pihak adalah bersifat mengikat. Janji dari dua pihak tidak boleh bersifat mengikat, kerana ia akan jatuh dalam jualan hutang dengan hutang dan jualan aset yang belum dimiliki.

Sebuah bank pada asasnya berfungsi sebagai pemberi pinjaman, fungsi itu terpaksa ditukar kepada bank Islam sebagai pembiaya yang juga bersifat sebagai trader, iaitu penjual dan pembeli.

 

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Sumber artikel daripada majalah Solusi 9


 

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  ptsb1444

 

Kembali ke atas