Menu

 

A+ A A-

HUKUM MEROKOK, HARUS VS HARAM

Ustaz, saya ada kemusykilan mengenai hukum merokok. Kawan saya yang merokok mengatakan hukumnya harus sebab Tok Wan dia seorang guru pondok pun merokok. Tetapi ustaz sekolah saya kata haram. Mana satu yang betul?

Sebelum saya memberikan jawapan, suka saya mengingatkan bahawa pemerintah kerajaan Islam silam, Sultan Murad ke-4 (memerintah 1623-1640 M) sangat memusuhi rokok, sehinggakan beliau pernah melaksanakan hukum bunuh bagi penjual-penjual rokok dan perokok aktif di dalam negara. Adapun dari sudut hukumnya; sebagai asas, para ulama berbeza pandangan dalam menentukan hukumnya berdasarkan perbezaan tanggapan masing-masing terhadap keburukan (mudarat) yang terhasil daripada rokok.

Hakikatnya dalam hal ini, sebarang fatwa mestilah dirujuk kepada “ahli al zikr” dalam hal tersebut. “Ahli al-Zikr” dalam hal rokok ialah doktor perubatan selain ulama yang mampu mengenal pasti impak buruk daripada rokok kepada tubuh dan kehidupan.

Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-Furqan ayat 59 yang bermaksud: “Maka bertanyalah akan hal itu kepada ahli zikr (yang mengetahuinya).” Maka sebarang fatwa yang tidak dibuat berlandaskan maklumat lengkap daripada doktor perubatan atau pakar kimia adalah kurang tepat dan tidak sepatutnya dijadikan pegangan.

Mengapa sebahagian ulama mengatakan rokok itu haram dan yang pula lain mengatakan ia harus? Mohon sekiranya dapat disebutkan nama-nama ulama yang mengatakan haram atau harus.

Secara ringkasnya ulama terbahagi kepada dua kumpulan dalam hukum rokok. Ia seperti berikut:

1.    Haram: Ulama kontemporari yang mengatakan demikian adalah Dar al-Ifta Mesir, Lajnah Fatwa Saudi, Lajnah Fatwa Azhar, seluruh ahli persidangan mencegah rokok (persidangan di Madinah pada 2-5 Mac 1982), Dr. Yusuf al-Qaradawi, Syeikh Mahmud Syaltut, Syeikh Sayyed Sabiq, Syeikh Ahmad Syurbasi, Mufti Mesir Syeikh Ali Juma‘at dan Syeikh Atiyyah Saqr. (Akhbar al-Jumhuriyyah, 22 Mac 1979; Fatawa Mu‘asirah, Jil. 1, hlm. 667; al-Fatawa li Muhammad Syaltut, Yas’alunaka oleh Syurbasi dan Fiqh al-Sunnah) Ulama silam yang mengatakan haram pula ialah Syeikh Muhammad Alauddin Haskafi al-Hanafi, Syeikh Sulaiman al-Bujairimi al-Syafi‘i Syeikh Mustafa al-Rihbani, Syeikh Ibrahim al-Laqqani al-Maliki dan ramai lagi. (Al-Hukm as-Syar’ir fi at-Tadkhin, Kumpulan Ulama, Kementerian Kesihatan Sedunia, 1988, hlm. 25-26)

Kumpulan ini semakin kuat mengharamkan apabila terdapat maklumat yang menyebut terdapat unsur arak dan racun dalam rokok, maka ia adalah seperti darah dan bangkai yang diharamkan kerana mengandungi unsur kotor dan racun seperti nikotin, tar, alcohol methnol, karbon monoksida, ammonia dan lain-lain) yang terkandung dalamnya. (Abu Ubaidah al-Mashur, at-Ta’liqat al- Hisan Zayl Tahqiq al-Burhan, hlm. 28; Dr. Abd Sabur al-Shahin, as-Sajayir Halalun am Haramun, hlm. 34-35). Pada tahun 1962, Fakulti Perubatan Diraja Britain mengesahkan kesan buruk rokok terhadap kesihatan. Pada tahun 1964, Fakulti Kedoktoran Amerika mengeluarkan satu kajian setebal 387 halaman dan diterbitkan kandungannya di akhbar yang menyebut: “Merokok memudaratkan kesihatan secara pasti. Ia juga menyebut: “Rokok menjadi penyebab pelbagai penyakit membunuh. “ (Rujuk Mahmud Nazim, al-Tibb al-Nabawi wa ‘Ilmi al-Jadid, jilid 1, hlm. 346) Maka dengan kenyataan ini Allah s.w.t. menyuruh kita agar merujuk kepada ahli dalam sesuatu bidang ilmu.

Oleh sebab itu, pandangan pakar perubatan dalam hal ini tidak boleh diketepikan oleh para ulama dalam membuat sebarang fatwa. Selain keburukan dari sudut kesihatan, ia juga boleh memudaratkan hubungan kemasyarakatan dengan sebab baunya yang kuat dan busuk. Hal ini tidak dibenarkan oleh Islam berdasarkan sabda Nabi s.a.w ertinya: “Tiada boleh memberi mudarat dan membalas mudarat” (Riwayat Malik dan al-Hakim) Hadis lain pula menyebut : “Sesiapa yang memakan dari pokok yang berbau ini (bawang merah, bawang putih, maka janganlah mendekati masjid-masjid kami. Sesungguhnya (bau yang busuk) itu menyakiti Malaikat sebagaimana ia menyakiti manusia” (Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)


2.    Kumpulan yang memfatwakan harus atau melihat secara tafsil (terperinci):  Ulama yang dipihak ini adalah Syeikh Abd. Ghani an- Nablusi, Syeikh Muhd Amin Ibn. ‘Abidin, Syeikh Hasanain Makhluf  (berpendapat hukumnya secara terperinci menurut keadaan), Syeikh Hasan Makmun. Antara dalil mereka adalah asal segala sesuatu yang tidak mudarat adalah halal dan beberapa dalil yang lain. Bagaimanapun, kesimpulan dalil mereka adalah lemah kerana ia bersandarkan pandangan mereka tanpa maklumat berkenaan keburukan dari sudut perubatan pada zaman itu.

Hasilnya, mereka memberikan fatwa hanya berdasarkan bau asap rokok yang busuk dan menggangu. Justeru, sudah tentu bau yang busuk sahaja tidak mampu menyebabkannya menjadi haram. Jelaslah pandangan mereka tidak mengambil kira maklumat baru dari sudut perubatan.

rokok

Apa pandangan ustaz mengenai soal rokok ini?

Pada hemat dan kajian saya ,hukum yang lebih tepat adalah haram merokok kerana pelbagai mudarat dari sudut kesihatan tubuh sendiri, orang lain serta baunya yang mengganggu orang lain. Malah kaedah Islam menyebut: “Al-Darar Yudfa’ bi Qadar al-Imkan”; ertinya: “Kemudaratan hendaklah ditolak sedaya upaya dan kemampuan.” (al-Madkhal al-Fiqhil ‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/992) Cuma Syeikh al-Qaradawi dalam fatwanya (Fatawa Muasiroh) menjelaskan hukumnya berkata (dengan sedikit pengubahan ayat)

i.    Perokok yang cuba berhenti merokok.
-    Sekiranya seorang perokok cuba sedaya upaya memberhentikan tabiat rokoknya, bagaimanapun ia gagal, maka ia patut terus mencuba dan diberikan uzur setakat yang ia gagal. Namun ia perlu menghalang daripada menyebarkan tabiatnya kepada orang lain.

ii.    Walaupun ia haram, tapi tidaklah haramnya besar seperti zina, mencuri dan lain-lain dosa besar.
-    Setiap perkara haram ada tahapnya di sisi Syariah. Ada yang dikira dosa besar dan ada yang kecil. Dosa merokok bolehlah di katakan termasuk dalam kategori dosa kecil. Bagaimanapun perlu diingat, Ibn Abbas r.a. menegaskan bahawa dosa kecil pasti menjadi besar apabila dilakukan berterusan atau kesannya benar-benar memudaratkan. Kesimpulan al-Qaradawi, rokok adalah haram secara pasti bagi yang belum merokok, dan makruh bagi sesiap yang telah terjebak sehingga sukar untuk keluar daripadanya . Apa yang pasti, segala usaha bagi memberhentikan aktiviti buruk ini mesti dicari dan diusahakan segera. Wallahu a‘lam.

 

Dr. Hj Zaharuddin Hj. Abd Rahman
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.3

 


 

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  ptsb1444

 

Kembali ke atas