Menu

 

A+ A A-

MENUJU TAUBAT NASUHA

Assalamualaikum, ustaz. Saya sudah bertunang pada hujung tahun lepas dan akan berkahwin pada bulan November tahun ini. Sepanjang bercinta dan bertunang, saya dan tunang saya telah banyak kali terlanjur. Kini kami ingin melupakan dosa yang kami lakukan dan ingin bertaubat. Saya tidak mahu timbul masalah selepas kami berkahwin nanti. Untuk pengetahuan ustaz, sebelum ini kami sudah cuba untuk meninggalkan dosa yang kami pernah lakukan namun masih gagal. Saya harap ustaz dapat membantu kami, dan memberikan niat solat taubat dan waktu yang wajib kami lakukan. Soalan melalui e-mel, This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.  

JAWAPAN

Tanpa taubat yang bersungguh-sungguh, benih-benih dosa dan kejahatan yang dimulakan seperti “ringan-ringan dan zina” semasa bercinta pastinya akan merebak selepas kahwin seterusnya “diwariskan” kepada zuriatnya. Semoga ia dijauhkan oleh Allah.

menuju-taubat-nasuha-2

Allah berfirman: “Dalam hati mereka ada penyakit, lalu Allah menambah penyakitnya.” (Surah al-Baqarah: 10)

Benih Bencana

Sesiapa yang membiarkan ikatan pertunangan dan zaman mudanya dicemari dengan “ringan-ringan”, apatah lagi yang sudah berani untuk “berat-berat”, tentunya ia bakal membenihkan penyakit yang serius dalam hati. Tanpa taubat yang sebenar, Allah akan membiakkan lagi peluang menjadi orang yang celaka dan mendapat keluarga yang bakal runtuh.

Keluarga sebegini amat berpotensi melahirkan suami yang bermain kayu tiga, isteri bercinta dan berzina dengan rakan sekerja, anak yang menjadi penzina muda di sekolah dan lain-lain lagi bencana keluarga. Semua ini pasti akan diakhiri dengan perceraian dan penderitaan anak-anak. Matinya ibu bapa ini kelak mungkin diiringi dengan celaan atau sorakan oleh anak-anak sepeninggalan mereka.

Ubat Taubat

Sebelum itu berlaku, ubat dan antidotnya adalah taubat daripada kedua-dua belah pihak dengan taubat nasuha yang penuh kesungguhan dan keinsafan. Bagi mencapai taubat yang sebenar ini, berikut adalah langkah-langkah yang boleh dilakukan:

1. Taubat yang terhasil daripada ilmu dan kesedaran Islam, bukan kerana desakan luaran. Jika belum menemui ilmu itu, cari dan bacalah sedalam-dalamnya agar taubat ini benar-benar lahir daripada ilmu.

Firman Allah: “Maka ketahuilah bahawa sesungguhnya tiada Tuhan selain Allah, dan mohonlah ampunan bagi dosamu dan dosa orang-orang Mukmin, lelaki dan perempuan. Dan Allah mengetahui tempat usahamu dan tempat tinggalmu.” (Surah Muhammad: 19)

Dalam ayat berkenaan, jelas didahulukan perintah untuk berilmu daripada perintah untuk beristighfar dan taubat.

Al-Qusyairi berkata: “Taubat yang pertama adalah bangunnya hati daripada kelalaian, serta sang hamba melihat keadaan yang buruk akibat dosa yang ia lakukan. Dan itu akan mendorongnya untuk mengikut dorongan hati nuraninya agar tidak melanggar perintah Allah.”

Ada hadis menyebut: “Penasihat daripada Allah terdapat dalam hati setiap Muslim.” (Riwayat Ahmad)

Dan dalam hadis lain: “Sesungguhnya di dalam tubuh terdapat segumpal daging, jika ia baik maka baiklah seluruh tubuh, dan jika ia rosak maka rosaklah seluruh tubuh. Ketahuilah, itulah hati.” (Riwayat al-Bukhari)

Jika hatinya merenung keburukan perbuatannya serta menyedari dosa-dosa yang dilakukan, nescaya hatinya akan terdetik keinginan untuk bertaubat dan menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan maksiat. Kemudian Allah akan membantunya dengan menguatkan tekadnya itu, mendorongnya melakukan pemulihan diri dan perbuatan-perbuatan yang diperlukan dalam taubat.

2. Bersangka baik bahawa Allah akan mengampunkan dosa yang telah dilakukan. Firman Allah: “Katakanlah, “Wahai hamba-hamba- Ku yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa daripada rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa kesemuanya. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Zumar: 53)

3. Segera menangisi dosa zina yang telah dilakukan dengan benar-benar keinsafan. Anda perlu menitiskan air mata untuk ini. Air mata keinsafan dan bukan dibuat-buat.

4. Berazam kukuh dalam hati agar tidak ingin lagi kembali kepada perbuatan haram itu. Bukti azam kukuh itu adalah dengan membatalkan semua “dating” dengan tunang itu dan tidak lagi berdua-duaan sehinggalah berkahwin.

Dr. Yusuf al-Qaradawi menyebut: “Yang terpenting dalam masalah azam dan tekad ini adalah agar azam itu kuat dan bersungguh-sungguh saat bertaubat. Tanpa disertai keraguan atau kerinduan untuk kembali melakukan kemaksiatan atau berfikir untuk mengerjakannya kembali. Taubat itu tidak terbatal jika suatu saat tekadnya itu sedikit melemah kemudian ia terlena oleh dirinya, tertipu oleh syaitan sehingga ia terlanjur, dan kembali melakukan kemaksiatan.”

Imam Ibn Kathir berkata: “Sedangkan jika ia bertekad untuk bertaubat dan memegang teguh tekadnya, maka itu akan menghapuskan kesalahan kesalahannya pada masa lalu. Seperti dalam hadis sahih: “Islam menghapuskan perkara yang sebelumnya, dan taubat menghapuskan dosa yang sebelumnya.”

5. Wajib menjauhkan diri daripada mendekati apa-apa jua situasi yang boleh membawanya ke lembah zina tadi. Jangan berbual dan berbalas SMS mengenai perkara yang boleh membangkitkan nafsu. Hentikan dan putuskan talian jika perasaan itu mula mendatang.

6. Berterusan taubat selagi belum rasa hilang bersalah. Firman Allah: “Sesungguhnya taubat di sisi Allah hanyalah taubat bagi orang-orang yang mengerjakan kejahatan lantaran kejahilannya yang kemudian mereka bertaubat dengan segera. Mereka itulah yang taubatnya diterima Allah.” (Surah al-Nisa: 17)

7. Menggandakan amal soleh. Firman Allah: “Kecuali orang-orang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal soleh, maka kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. Dan Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.” (Surah al-Furqan: 70) Maka banyakkanlah bersedekah dan mengajar orang lain agar menjauhi dosa zina dan menyedarkan sesiapa jua yang mampu tentang dosanya. Berbekalkan pahala kebaikan ini, diharap ia dapat menutup dan memadamkan dosa zina tadi.

menuju-taubat-nasuha-3

Sempurna Taubat?

Tanda kesempurnaan taubat adalah saudara merasa benci untuk melakukan perbuatan terkutuk itu sebagaimana takutnya dilemparkan ke neraka. Atau gambaran yang lebih mudah adalah sebagaimana anda takut dan benci untuk mati akibat kemalangan dengan kepala pecah dan isi perut terburai dalam keadaan zina.

Tanda kesempurnaan taubat juga adalah anda akan berubah dalam majoriti sifat dan rutin seharian anda kepada yang lebih baik. Saudara merasa ringan melakukan amal soleh dan suka bergaul dengan rakan-rakan yang soleh dan solehah sahaja.

Mengulangi Selepas Taubat?

Imam Ibnu Kathir berkata: “Apakah syarat taubat nasuha itu seseorang harus tetap bersikap seperti itu hingga ia mati seperti diungkapkan dalam hadis dan athar: “Kemudian ia tidak kembali melakukannya selama-lamanya”? Atau adakah cukup dengan tekad untuk tidak mengulangi bagi menghapuskan dosa yang telah lalu sehingga ketika ia kembali melakukan dosa setelah itu, ia tidak merosakkan taubatnya dan menghidupkan kembali dosa yang telah dihapuskan.

Sabda Nabi: “Taubat menghapus dosa yang sebelumnya.”

Imam Ibn al-Qayyim menyatakan dua pendapatnya dalam membincangkan perkara ini:

  • Harus untuk tidak mengulang kembali dosanya sama sekali. Ketika seseorang kembali melakukan dosa, maka jelaslah bahawa taubatnya yang terdahulu batal dan tidak sah.
  • Mengulang dosa tidak membatalkan taubat nasuha. Ini pandangan majoriti ulama.

Kesahihan taubat hanya ditentukan oleh tindakannya meninggalkan dosa itu, bertaubat serta bertekad dengan kuat untuk tidak mengulanginya lagi. Jika ia mengulanginya lagi, maka saat itu ia seperti orang yang melakukan kemaksiatan dari permulaan dan taubatnya yang lalu tidak batal.

Kumpulan ini berpendapat, tidak disyaratkan dalam kesahihan taubat itu ia tidak lagi berdosa sehingga mati. Namun jika ia telah menyesal dan meninggalkan dosa serta bertekad untuk meninggalkan sama sekali perbuatannya itu, nescaya dosanya segera dihapuskan. Dan jika ia kembali melakukannya, ia memulakan catatan baru bagi dosanya itu.

Namun, janganlah tersalah memahami pandangan majoriti ini sehingga menyemai sedikit azam untuk melakukannya lagi. Kerana jika terdapat azam dan niat jahat itu di celah hati ketika bertaubat, taubat itu tidak sah menurut semua ulama daripada kedua-dua kumpulan.

Wallahu a‘lam.

menuju-taubat-nasuha-4

DR. HJ. ZAHARUDDIN HJ. ABD RAHMAN

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  ptsb1444

 

Kembali ke atas