Menu

 

A+ A A-

JAGA MATA DI ALAM MAYA Featured

Sabda Nabi: “Wahai sekalian pemuda! Jika kamu mempunyai kemampuan maka berkahwinlah. Sesungguhnya hal tersebut lebih menundukkan pandanganmu dan lebih menjaga kemaluanmu (daripada zina). Sesiapa yang tidak mampu maka hendaklah dia berpuasa. Sesungguhnya perkara tersebut merupakan pelindung (daripada dosa zina).” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

 

Hadis ini mendidik para pemuda agar menjauhi zina dan segala perbuatan yang boleh membawa kepadanya. Antara langkah yang dianjurkan oleh Nabi adalah dengan mendirikan rumah tangga bagi mereka yang berkemampuan. Bagi yang belum mampu, mereka dinasihatkan supaya berpuasa.

Oleh itu, dinasihatkan kepada para pemuda untuk mengawal diri dan menjaga pandangan daripada perkara-perkara yang membangkitkan syahwat. Salah satunya adalah dengan melihat gambar-gambar lucah ataupun menonton video-video pornografi.

Tonton Bersama

SOALAN: Apakah hukum suami isteri yang melihat gambar atau menonton video pornografi?

Hukum melihat aurat sesama suami isteri adalah harus dalam Islam. Akan tetapi, melihat aurat lelaki mahupun perempuan yang tiada ikatan perkahwinan adalah haram di sisi agama. Tambahan pula jika seseorang itu melihat gambar dan video pornografi yang jelas memaparkan kerakusan nafsu dan syahwat nyata dilarang oleh Islam.

Dalam hal ini, Allah telah berfirman: “Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman agar mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kemaluan mereka. Sesungguhnya perkara tersebut lebih suci bagi mereka dan Allah lebih mengetahui sesuatu yang mereka kerjakan.” (Surah al-Nur: 30)

Ayat ini jelas menceritakan kaitan antara penglihatan dan kesucian manusia daripada dosa zina berdasarkan perintah Allah supaya manusia menjaga mata dan juga kemaluannya.

Maka amat memalukan apabila pasangan suami isteri bersekongkol dalam melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah. Malah lebih menakutkan apabila perbuatan mereka ini diketahui oleh anak-anak dan diwarisi tanpa disedari oleh mereka.

Rakam Video

SOALAN: Di dada-dada akhbar ada dipaparkan penyebaran video hubungan suami isteri yang dirakam oleh mereka sendiri. Tanpa disedari, video tersebut disebarkan kepada ramai orang. Apakah hukum perbuatan merakam hubungan suami isteri ini ustaz?

Haram. Kita tidak dibenarkan untuk menyimpan gambar-gambar tidak senonoh pasangan masing-masing. Sesungguhnya perbuatan ini boleh membawa mudarat kepada jiwa dan maruah pasangan suami isteri tersebut.

Apabila seseorang suami mahupun isteri menyimpan gambar atau video pornografi pasangannya, ia boleh membawa kepada fitnah yang besar. Menonton perkara-perkara ini hanya akan membangkitkan nafsu syafwat yang tidak terkawal. Bahkan ia mungkin mendorong kepada dosa zina lebih-lebih lagi apabila mereka berjauhan. Sedangkan perkahwinan dalam Islam diikat atas rasa kasih sayang sesama pasangan, bukan nafsu dan keinginan seks yang menjadi keutamaan.

jaga-mata-di-alam-maya-2

Yang lebih menakutkan apabila gambar mahupun video pornografi pasangan ini terlepas dan tersebar di luar kawalan mereka. Sudah banyak kisah penyebaran gambar dan video lucah yang kadang kala dirakam oleh pasangan masing-masing.

Lihatlah akibatnya apabila gambar dan video ini tersebar. Bukankah ia mengundang keaiban yang dahsyat kepada pasangan suami isteri tersebut dan keluarga mereka?

Islam melarang umatnya mendedahkan diri kepada kemudaratan. Allah mengingatkan kita: “Janganlah kamu mencampakkan diri kamu kepada kebinasaan.” (Surah al-Baqarah: 195).

Jaga Diri

SOALAN: Kesan menonton bahan pornografi ini amat dahsyat. Jika tidak dibendung, masyarakat akan musnah. Apakah tindakan kita terutamanya para pemuda dalam menghindarkan diri daripada bahan-bahan pornografi ini?

Kita mengimpikan para pemuda soleh yang sentiasa prihatin akan masalah masyarakat. Ini saranan saya dalam usaha mengawal dan menyekat masyarakat daripada terus terjebak dalam ketagihan bahan-bahan pornografi.

jaga-mata-di-alam-maya-3

Mendekatkan diri kepada Allah.

Caranya, memperbanyakkan amalan soleh dan taubat. Pohonlah pertolongan daripada Allah supaya menjauhkan kita daripada keinginan melakukan dosa dan kemaksiatan.

Mempercepatkan proses perkahwinan.

Bagi golongan bujang yang telah mampu mendirikan rumahtangga, percepatkan urusan perkahwinan tanpa menangguh-nangguhkannya. Para wali kepada anak-anak perempuan perlulah memudahkan urusan perkahwinan agar tidak membebankan terutama yang berkaitan dengan urusan perbelanjaan majlis perkahwinan.

Melakukan aktiviti-aktiviti sihat dan bermanfaat.

Sertai ativiti kemasyarakatan dan majlis-majlis ilmu. Elakkan diri daripada selalu bersendirian. Sabda Nabi: “Tetaplah kamu dalam jamaah (kumpulan). Sesungguhnya serigala akan menerkam kambing yang bersendirian.” (Riwayat Abu Dawud)

Mengelakkan diri daripada melihat dan memikirkan perkara-perkara yang menaikkan syahwat.

Memperbanyakkan ibadah puasa sunat kerana Allah. Sesungguhnya puasa mampu menahan dan menyekat keinginan syahwat manusia. Proses didikan iman daripada puasa mampu mengawal keinginan seks manusia dan mengawal mereka daripada maksiat dan dosa.

Kesimpulannya, sebagai hamba Allah kita perlulah sentiasa mengaktifkan sensor rasa bertuhan dalam diri. Secara automatiknya, hati dan akal kita akan sentiasa dipelihara oleh Allah. Sesungguhnya segala larangan Allah itu terdapat padanya kemudaratan yang cukup besar. Larangan-larangan ini semata-mata bertujuan untuk menilai setinggi mana nilai kesucian dan ketaqwaan kita di hadapan Allah.

Wallahu a‘lam.

jaga-mata-di-alam-maya-4

IMAM MUDA MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD RIDZUAN
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.18


Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan

Sarjana Muda Usul & Fiqah, Universiti Malaya. Sebelum itu mengambil Diploma Qiraat di Maahad Tahfiz Pulau Pinang. Kini sedang menyiapkan pengajian sarjana juga di Universiti Malaya dalam bidang yang sama. Beliau merupakan Juara Imam Muda Astro musim pertama 2010. Kejayaan beliau mendapat liputan media antarabangsa antaranya CNN, BBC, Reuters dan Al-Jazeera. Dekati beliau di imamudasyraf.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas