Menu

 

A+ A A-

AL-QURAN MENYATUKAN KITA

Wajib Mengikut Rasul

Bagaimana caranya untuk kita berpegang teguh dengan al- Quran dan sunnah?

Jawapan

Allah menurunkan al-Quran al- Karim sebagai panduan hidup seluruh umat manusia. Pada masa yang sama kita diwajibkan untuk mengikuti Rasulullah dalam setiap perkara. Ini merupakan suatu kewajipan dan bukan pilihan. Allah berfirman: “Dan apa sahaja yang didatangkan kepada kamu oleh Rasul maka ambillah ia dan apa sahaja yang dilarang maka tinggalkanlah ia.” (Surah al-Hasyr: 7)

al-quran-menyatukan-kita-2

 

Sebab Perbezaan Pandangan

Apakah sebab berlaku perbezaan pandangan dalam syariat Islam?

Jawapan

Sesungguhnya perbezaan pandangan di kalangan para ulama disebabkan oleh beberapa perkara, antaranya:

1. Berbeza pandangan dalam memahami nas-nas al-Quran dan hadis.

Antara sebab utama berlakunya perbezaan hukum ialah disebabkan berbezanya pemahaman para sarjana Islam terhadap nas-nas al-Quran mahupun hadis-hadis Nabi Perbezaan pemahaman inilah yang menyebabkan terhasil pelbagai mazhab terutamanya dalam permasalahan fiqah.

Antaranya para sarjana Islam berbeza pandangan dalam perbahasan batalnya wuduk apabila lelaki dan perempuan yang bukan mahram bersentuhan. Dalam surah al-Maidah ayat keenam, Allah s.w.t menyebutkan beberapa perkara yang membatalkan wuduk, antaranya terdapat lafaz Laamastum al-Nisaa’. Sebahagian ulama berpendapat perkataan ini membawa maksud menyentuh wanita. Manakala sebahagian yang lain berpendapat membawa maksud jimak. Oleh itu kita dapati terdapat perbezaan pandangan berkenaan hokum batalnya wuduk apabila berlakunya sentuhan antara lelaki dan wanita yang bukan mahram.

Begitulah juga hukum melabuhkan pakaian melebihi buku lali bagi seseorang lelaki. Para ulama berselisih pendapat sama ada ianya dibenarkan atau tidak dibenarkan berdasarkan hadis Nabi: “Sesiapa (lelaki) yang melabuhkan pakaiannya dengan perasaan sombong maka Allah s.w.t tidak akan melihatnya di akhirat kelak.” (Riwayat Muslim)

Dalam hadis ini dijelaskan bahawa hukum melabuhkan pakaian melebihi buku lali adalah tidak dibenarkan dalam Islam. Sebahagian sarjana Islam berpegang kepada zahir nas hadis. Namun sebahagian para sarjana berpendapat hukumnya adalah harus jika tidak disertakan bersamanya perasaan sombong.

2. Penggunaan dalil-dalil yang berbeza.

Dalam mengeluarkan sesuatu hukum para ulama akan menyandarkan pandangan-pandangan mereka berpandukan nas-nas al-Quran dan juga hadis-hadis Nabi Berlakunya perbezaan pandangan ini antaranya disebabkan berbezanya dalil yang digunakan oleh mereka. Kadangkala sesuatu dalil dijumpai oleh sebahagian sarjana dan tidak pula pada sebahagian sarjana yang lain.

Namun para sarjana Islam bersepakat bahawa jika terdapat dalil yang paling sahih maka dalil itulah yang perlu diikuti. Imam al-Syafi’I berkata: “Jika sahihnya sesuatu hadis dan bercanggah dengan pandanganku, maka beramallah dengan hadis itu dan tinggalkanlah pendapatku.”

3. Perbezaan dalam mensahihkan hadis-hadis Nabi.

Hadis-hadis Nabi diriwayatkan kepada kita dalam keadaan bersanad iaitu terdapat susur galur periwayatan. Kadang kala para sarjana Islam berselisih pandangan dalam meletakkan status kedudukan sesuatu hadis sama ada ianya sahih mahupun sebaliknya.

Contohnya doa qunut dalam solat Subuh. Para ulama berbeza pandangan berkenaan status hadisnya. Dalam sebuah hadis disebutkan bahawa Nabi berqunut dalam solat Subuh sehinggalah Baginda meninggal dunia. Hadis ini disahihkan oleh sebahagian ulama, antaranya al- Hakim, al-Baihaqi, al-Tobari dan al- Nawawi dan ianya merupakan sunat dalam mazhab al-Syafii. Manakala sebahagian ulama lagi mendaifkan hadis tersebut, antaranya Imam Ahmad dan Abu Hanifah.

Oleh sebab itu kadang kala kita dapat melihat sebahagian mazhab seperti mazhab Hanbali tidak membaca doa qunut dalam solat mereka.

 

al-quran-menyatukan-kita-3

 

Jangan Terlalu Taksub

Apakah sikap kita dalam menghadapi perbezaan pandangan ulama ini?

Jawapan

Kita dituntut untuk menimba ilmu agama dan juga mendampingi orang-orang yang berilmu. Apabila kita cintakan ilmu agama dan mendampingi mereka yang berilmu, maka hidup kita akan diterangi dengan panduan ilmu pengetahuan dan terhindar daripada sifat jahil.

Di samping itu, kita disarankan untuk berpegang dengan sesuatu mazhab sepertimana yang diamalkan oleh ulama terdahulu. Namun janganlah terlalu taasub sehingga menolak pandangan lain walaupun memiliki dalil yang kuat. Kita sewajibnya memastikan amalan ibadah kita berpaksikan kepada al-Quran dan sunnah Nabi.

Wallahu a‘lam

IMAM MUDA MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD RIDZUAN

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


 

Imam Muda Muhammad Asyraf Bin Mohd Ridzuan

Sarjana Muda Usul & Fiqah, Universiti Malaya. Sebelum itu mengambil Diploma Qiraat di Maahad Tahfiz Pulau Pinang. Kini sedang menyiapkan pengajian sarjana juga di Universiti Malaya dalam bidang yang sama. Beliau merupakan Juara Imam Muda Astro musim pertama 2010. Kejayaan beliau mendapat liputan media antarabangsa antaranya CNN, BBC, Reuters dan Al-Jazeera. Dekati beliau di imamudasyraf.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

Kembali ke atas