Menu

 

A+ A A-

KEHEBATAN DUA AYAT TERAKHIR SURAH AL-BAQARAH

Fadilat Dua Ayat Terakhir

BERKAITAN dengan surah al-Baqarah, saya perasan antara zikir yang dimuatkan dalam al-Ma’thurat ialah dua ayat terakhir surah tersebut. Bolehkah ustaz terangkan fadilatnya?

 

Dua ayat yang terakhir surah al-Baqarah ialah ayat 285 dan 286. Memang terdapat beberapa hadis yang menjelaskan fadilatnya antaranya sabda Baginda s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca dua potong ayat terakhir surah al-Baqarah pada waktu malam, itu sudah mencukupi baginya.” (Riwayat al-Bukhari)

Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fath al-Bari menjelaskan bahawa terdapat tujuh makna bagi maksud “mencukupi” dalam hadis tersebut. Justeru kedua-dua ayat ini tidak ketinggalan daripada dimuatkan dalam susunan zikir oleh para ulama seperti Hasan al-Banna dalam al-Ma’thuratnya. Manakala masyarakat kita di Malaysia turut menjadikannya sebagai zikir harian selepas solat. Alhamdulillah.

Berikut ialah dua hadis yang menggambarkan kehebatan dua ayat tersebut:

Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Aku telah diberi beberapa ayat penutup surah al-Baqarah daripada perbendaharaan di bawah Arasy yang belum pernah diberikan kepada seorang Nabi pun sebelumku.” (Riwayat Ahmad)

Abdullah bin Mas‘ud menceritakan: “(Dalam peristiwa Israk dan Mikraj) Rasulullah dibawa hingga sampai di Sidrah al-Muntaha yang berada di langit ketujuh. Di situlah sebarang perkara yang dibawa naik dari bumi ditahan. Begitu juga sebarang perkara yang dibawa turun dari atasnya... dan Rasulullah diberikan tiga perkara; solat lima waktu, ayat-ayat penutup surah al-Baqarah dan keampunan bagi umatnya yang tidak menyekutukan Allah dengan sesuatu pun.” (Riwayat Muslim)

fadilat-2-ayat-terakhir-1 

Asbab al-Nuzul Ayat

Adakah kedua-dua ayat ini mempunyai asbab al-nuzul (peristiwa dan faktor penurunan ayat) sebagaimana ayat-ayat lain?

 

Ya. Imam al-Suyuti berkata bahawa ketika turunnya ayat 284 surah al-Baqarah yang bermaksud: “Dan jika kamu melahirkan apa yang ada dalam hati kamu atau kamu menyembunyikannya, nescaya Allah akan membuat perhitungan dengan kamu tentang perbuatan kamu itu”, para sahabat merasa tertekan dan keberatan. Mereka kemudian menghadap Rasulullah dan mengadu: “Kami tidak mampu mengikut ayat ini.” Nabi bersabda: “Apakah kamu akan berkata: ‘Kami mendengar akan tetapi kami ingkar', seperti yang diucapkan oleh dua golongan ahli kitab (Yahudi dan Nasrani) yang sebelum kamu?” Ucapkanlah: “Kami mendengar dan kami taat, serta ampunilah kami wahai Tuhan kami kerana kepada Engkaulah tempat kembali.” Setelah diajarkan dan para sahabat sudah terbiasa dengannya, maka turunlah ayat 285. Kemudian setelah mereka laksanakan perintah ayat 285 tersebut pula, maka turunlah ayat 286. (Riwayat Muslim)

fadilat-2-ayat-terakhir-2 

Ustaz Don Daniyal Don Biyajid

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz isu No.5


Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid

Lulusan Maahad Qiraat Syubro, Mesir. Kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Beliau aktif berdakwah terutamanya dalam TV al-Hijrah. Antara program TV yang dikendalikan olehnya iaitu 30 minit Ustaz Don.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi produk penulis ini di Addeen Online Store.

  

Kembali ke atas