Menu

 

A+ A A-

AL-MAIDAH :DENGAN ALLAH JANGAN BERHELAH

Dalam isu ke 10, ustaz ada menyebut bahawa Allah mengangkat bukit sebagai ugutan supaya Bani Israel patuh pada janji mereka. Boleh ustaz nyatakan ayat-ayatnya?

JAWAPAN : Ya. Allah merakamkan peristiwa ini dalam beberapa surah antaranya al-Baqarah dan al-Nisa’. Firman Allah mafhumnya: “Dan Kami angkat gunung (Sinai) di atas mereka untuk (menguatkan) perjanjian mereka. Dan Kami perintahkan kepada mereka: Masuklah pintu gerbang (Baitulmaqdis) itu sambil bersujud. Dan kami perintahkan (pula) kepada mereka: Janganlah kamu melanggar peratuan mengenai hari Sabat. Dan Kami telah mengambil dari mereka perjanjian yang kukuh.” (Surah An-Nisa’ ayat 154) Walaupun begitu sekali ancaman Allah, orang Yahudi tetap melanggar setiap perjanjian yang mereka materai. Maka kita mesti berhati-hati dalam sebarang urusan dengan orang Yahudi. Jika dengan Allah pun mereka boleh mengingkari perjanjian, apatah lagi dengan kita. Ini cerita Al-Qur’an, bukannya rekaan semata-mata untuk memburukkan mana-mana kaum atau bangsa. Maka, berhati-hatilah.

Hari Sabtu

Boleh Ustaz ceritakan sedikit tentang peristiwa hari Sabtu?

Pada asalnya mereka berjanji bahawa hari Sabtu ialah hari ibadah. Mereka akan cuti bekerja menangkap ikan pada hari itu. Namun mereka melanggar juga akhirnya perjanjian itu. Firman Allah mafhumnya: “Dan sesungguhnya kamu telah mengetahui orang-orang yang melakukan pelanggaran antara kamu pada hari Sabtu. Lalu Kami katakan kepada mereka: ‘Jadilah kamu kera yang hina.’ “Maka kami jadikan (peristiwa itu) sebagai peringatan bagi orang pada masa itu dan yang datang kemudian serta sebagai pengajaran buat orang-orang yang bertaqwa.” (Surah al-Baqarah: 65 dan 66) Imam Ibnu Kathir dalam Tafsir al-Quran al-‘Azim menerangkan bahawa mereka mencari helah untuk menangkap ikan pada hari Sabtu.

Jadi mereka meletakkan pancing, memasang jala, dan perangkap sebelum hari Sabtu lagi. Hasilnya ikan-ikan yang muncul pada hari Sabtu itu terperangkap. Lalu selepas hari Sabtu iaitu seawal sebelah malamnya lagi mereka segera mengambil ikan-ikan tersebut. Sekali lagi, peristiwa ini sebenarnya satu pengajaran yang sangat penting untuk kita bersama. Jangan cuba-cuba untuk berhelah dengan Allah. Ada orang yang suka lewat-lewatkan solat dengan sengaja lalu pelbagai alasan direka. Tidakkah perangai ini sama seperti orang Yahudi?

Ada pula yang cuba mencari alas an untuk bertangguh-tangguh berhenti merokok. Padahal fatwa yang telah dikeluarkan di hampir seluruh dunia menetapkan hukumnya haram. Maka tidakkah tindakan ini seperti orang Yahudi yang sengaja mencari alasan. Benar mereka tidak menangkap ikan pada hari Sabtu. Namun mereka awal-awal lagi memasang perangkap pada hari jumaat atau hari sebelumnya. Maka sama-sama kita bertakwa.

Menjadi Kera

AL-MAIDAHMohon ustaz huraikan tentang ayat yang menyebut bahawa orang Yahudi ditukarkan menjadi kera. Adakah mereka berubah menjadi kera yang sebenar?

Ada dua pentafsiran. Sebahagian ulama tafsir berpendapat bahawa mereka memang bertukar menjadi kera yang sebenar. Namun sebahagian yang lain berpendapat bahawa mereka diberikan sifat-sifat dan perangai seperti kera yang hina, bukan kera sebenar. Sekali lagi nasihat saya, bertakwalah kepada Allah. Allah memang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Namun jangan lupa, Allah juga ada azab yang sangat pedih. Ya Allah, selamatkanlah kami, keluarga kami, berserta seluruh kaum kerabat dan sahabat-sahabat kami dari azab siksa-Mu. Amin.

 

Wallahu a‘lam.

 

Ustaz Don Daniyal Don Biyajid

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz Isu 12

 


 

Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid

Lulusan Maahad Qiraat Syubro, Mesir. Kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Beliau aktif berdakwah terutamanya dalam TV al-Hijrah. Antara program TV yang dikendalikan olehnya iaitu 30 minit Ustaz Don.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi produk penulis ini di Addeen Online Store.

  

Kembali ke atas