Menu

 

A+ A A-

MENGENALI FADILAT SURAH AL-QURAN

Cinta Surah al-Ikhlas
Adakah setiap surah al-Quran mempunyai fadilat tersendiri? Adakah fadilat ini daripada sunnah Nabi Muhammad s.a.w.?

Ya, bagi setiap surah dalam al-Quran ada kelebihan dan fadilat tersendiri. Ini seperti yang terdapat dalam banyak hadis Baginda Nabi s.a.w. Jadi membaca al-Quran, atau membaca ayat-ayat al-Quran atau membaca potongan-potongan ayat al-Quran atas dasar untuk mendapat keberkatan dan fadilat (kelebihan) yang disebut oleh Baginda Nabi s.a.w. adalah harus(dibolehkan).

Contoh hadis masyhur yang dibawa oleh guru kami, Tuan Guru Nuruddin Marbu al-Banjari dalam menceritakan bab bidaah dengan mendatangkan hadis ini: “Terdapat seorang sahabat Baginda Nabi s.a.w. yang sentiasa membaca surah al-Ikhlas dalam solatnya sebaik sahaja selesai membaca surah (selepas al-Fatihah). Maka para sahabat lain yang mendengar bacaan sahabat ini, mengadu kepada Baginda Nabi s.a.w. Apabila Baginda Nabi s.a.w. bertanya kepada sahabat tersebut katanya: ‘Aku cintakan surah al-Ikhlas.’ Maka jawab Nabi s.a.w. (yang bermaksud): ‘Cinta kamu kepada surah al-Ikhlas dapat memasukkankamu ke dalam syurga.’” (Riwayat al-Tirmizi)

Surah Seribu Khabar
Saya tertarik dengan surah al-Baqarah memandangkan ia surah terpanjang dalam al Quran. Apakah fakta menarik tentang surah ini?

Surah al-Baqarah diturunkan di Madinah. Surah al-Baqarah ialah surah yang terawal turun di Madinah al-Munawwarah. Khalid bin Ma‘dan berkata: “Surah al-Baqarah disebut juga Fustat al-Qur’an (rangkuman al-Quran yang bererti dalamnya merangkumi semua inti pati al-Quran).” Sementara itu, para ulama menyatakan bahawa surah al-Baqarah mengandungi seribu khabar berita, seribu perintah dan seribu larangan. Surah al-Baqarah mempunyai 286 ayat. Orang yang menghitung surah al-Baqarah mengatakan bahawa surah ini terdiri daripada 6221(enam ribu dua ratus dua puluh satu) perkataan dan 25,500 (dua puluh lima ribu lima ratus) huruf.

Rumah Seperti Kubur
Apakah keutamaan dan fadilat surah al-Baqarah?

Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Janganlah kalian menjadikan rumah kalian sebagai kuburan. Sesungguhnya rumah yang di dalamnya dibacakan surah al-Baqarah tidak akan dimasuki syaitan.” (Riwayat al-Tirmizi) Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Bacalah surah al- Baqarah, kerana sesungguhnya mengambil (iaitu membaca  dan mengamalkannya) akan memperoleh berkat dan meninggalkannya (membiarkannya) akan menyebabkan timbul perasaan sesal dan kecewa dan ahli sihir tidak akan mampu menumpaskannya (iaitu dengan surah al-Baqarah, perbuatan sihir mampu dibatalkan).” (Riwayat Ahmad, al-Baihaqi dan al-Hakim) 

Rasulullah s.a.w. juga selalu membaca surah al-Baqarah, terutamanya ketika Baginda melakukan solat malam dan pada bulan Ramadan. Inilah antara fadilat dan keistimewaan surah al-Baqarah. Surah al-Baqarah akan memuliakan pembaca dan pengamalnya daripada kalangan manusia semasa hidup di dunia. Ini diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Muslim daripada Anas bin Malik r.a. bahawa dia berkata: “Seseorang lelaki, jika dia membaca surah al-Baqarah dan Ali ‘Imran, nescaya dia akan dipandang mulia dan agung dalam kalangan kami.” Sebuah hadis riwayat al-Hakim, daripada Abdullah bin Mas‘ud r.a.: “Bacalah olehmu akan surah al-Baqarah di dalam rumah kamu, sesungguhnya syaitan tidak akan masuk ke rumah yang di dalamnya dibacakan surah al-Baqarah.” (Riwayat al-Hakim)

 

Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid
Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.3


 

Ustaz Don Daniyal bin Don Biyajid

Lulusan Maahad Qiraat Syubro, Mesir. Kini bertugas sebagai pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS). Beliau aktif berdakwah terutamanya dalam TV al-Hijrah. Antara program TV yang dikendalikan olehnya iaitu 30 minit Ustaz Don.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi produk penulis ini di Addeen Online Store.

  

Kembali ke atas