Menu

 

A+ A A-

HEBATNYA KELEBIHAN MENDENGAR BACAAN AL-QURAN

Ditulis oleh 

USTAZ, adakah membaca surah yang pendek itu sama pahalanya dengan membaca surah yang panjang? Bagaimana pula dengan mendengar orang yang membaca al-Quran, adakah dia juga beroleh pahala yang sama banyak?

Ketika membaca al-Quran terdapat beberapa kaifiat yang khusus dan perbezaan dari segi fadilat. Walaupun semua ayat al-Quran itu baik untuk dibaca, namun setiap ayatnya mempunyai fadilat tertentu. Ada ayat yang memberi kebaikan dari segi perubatan, ada pula yang memberi penjagaan daripada makhluk halus dan ada juga ayat yang diberikan pahala yang besar dan sebagainya.

Anas bin Malik berkata, yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang membaca al-Quran sedangkan al-Quran melaknatnya?” (Ihya Ulumuddin) Mengapa pembaca boleh dilaknat oleh al-Quran? Ini disebabkan kesilapan pada tajwid dan sebutan huruf. Sesungguhnya, ramai orang yang mahu membaca al-Quran tanpa mempelajari ilmu tajwid terlebih dahulu. Inilah perkara asas yang paling utama dalam membaca al-Quran iaitu memperbetulkan tajwid. Apabila bacaan tajwidnya salah, maka segala fadilat al-Quran sama ada pahala dan fadilatnya akan terbatal. Maka sia sia sahaja bagi sesiapa pun yang membaca al-Quran dalam keadaan salah tajwidnya.

kelebihan-mendengar-bacaan-quran-1

Seterusnya, Allah s.w.t. melebihkan sesetengah ayat dari segi pahala. Namun tidak bermakna ayat lain tidak perlu dibaca. Ini menunjukkan bahawa Allah s.w.t. ingin memudahkan hambanya dalam beribadat, lalu diberi pilihan kepada sesiapa sahaja untuk beramal mengikut kadar kemampuannya. Sebagai contoh, antara surah yang paling banyak pahalanya ialah surah al-Ikhlas.

Diriwayatkan oleh Imam Malik dalam al-Muwatta’ daripada Abu Hurairah r.a. bahawa beliau sedang berjalan dengan Rasulullah s.a.w, lalu Baginda mendengar seseorang membaca surah al-Ikhlas. Baginda berkata: “Wajiblah.” Saya bertanya kepada Baginda: “Apakah yang wajib itu wahai Rasulullah?” Baginda menjawab: “Syurga (wajiblah syurga bagi si pembaca itu).” Beberapa sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Sesiapa yang membaca surah al-Ikhlas, maka seakan-akan dia telah membaca satu pertiga al- Quran.” (Riwayat Ahmad dan al- Nasa‘i)

Daripada Abu Hurairah r.a bahawasa Rasulullah s.a.w menceritakan tentang keutamaan Qulhuallahu ahad di mana baginda s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya surah itu sebanding dengan sepertiga al-Quran”

Daripada Anas r.a., ada seorang berkata: “Wahai Rasullah, sesungguhnya saya suka pada surah Qulhuallahuahad, Baginda bersabda “Sesungguhnya kecintaan mu terhadap surah itu dapat memasukkan kamu ke dalam syurga” (Riwayat al-Tarmizi)

“Ketika aku (Rasulullah s.a.w.) israk ke langit, maka aku telah melihat Arasy di atas 360,000 sendi dan jarak antara satu sendi ke satu sendi yang lain ialah 300,000 tahun perjalanan. Pada tiap-tiap sendi itu terdapat padang Sahara sebanyak 12,000 dan luasnya setiap satu padang Sahara itu seluas dari timur ke barat (mashriq ke maghrib) Pada setiap padang Sahara itu terdapat 80,000 malaikat dan kesemuanya membaca surah al-Ikhlas. Setelah selesai membaca surah tersebut, maka mereka berkata: ‘Wahai Tuhan kami, sesungguhnya pahala daripada bacaan kami ini, kami berikan kepada orang yang membaca surah al-Ikhlas sama ada ia lelaki mahupun perempuan.” (Riwayat Ibn Abbas)

Sesungguhnya kebaikan mendengar al-Quran itu sangat banyak. Bahkan Allah berjanji untuk memberikan rahmat kepada sesiapa yang mendengar dengan tekun bacaan al-Quran. Bahkan Rasulullah s.a.w. sendiri suka mendengar sahabatnya membacakan al-Quran kepadanya.

kelebihan-mendengar-bacaan-quran-2

Diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari, daripada Ibn Mas‘ud: Rasulullah s.a.w. bersabda, maksudnya: “Bacalah al-Quran.” Lalu aku berkata: “Wahai Rasulullah, apakah aku perlu membaca untukmu sedangkan al-Quran diturunkan kepadamu?” Baginda menjawab: “Sesungguhnya aku suka mendengarkannya daripada orang selainku.” Lalu aku membaca ayat daripada surah al-Nisa’ sehingga sampai pada sepotong ayat yang bermaksud: “Maka bagaimana apabila kami datangkan daripada setiap umat itu dengan ada penyaksi, begitu juga aku datangkan engkau atas segala umat ini sebagai penyaksi.” (Surah al-Nisa’ 4: 41) Lalu Nabi mencelah: “Cukuplah engkau sekarang.” Lalu aku menoleh kepada Baginda, tiba-tiba mengalir air mata pada kedua-dua belah matanya.

Semoga kita ini termasuk dalam kalangan orang yang sering mengulang bacaan walaupun dengan membaca ayat yang ringkas. Malah kita juga tidak lupa untuk mendengar bacaan al-Quran dalam setiap kesempatan yang kita ada. Amin.

A.Ubaidillah bin Alias

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2


Read 46764 times
A. Ubaidillah Alias

Lulusan BA (Hons) Usuluddin, syukbah tafsir dari Universiti al-Azhar, Kaherah. Pernah berforum di Radio Kelantan dan menjadi tetamu di tv al Hijrah. Telah menulis banyak buku kreatif seperti novel, majalah dan buku-buku ilmiah untuk bacaan umum. Aktif dalam berceramah masjid dan sekolah. Kini bertugas sepenuh masa di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan(PKINK) sebagai pegawai latihan sumber manusia. Antara guru-guru beliau Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al Banjari al Makki.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.