TANGGUNGJAWAB HATI
- Ditulis oleh A. Ubaidillah Alias
- Kategori Ibadah
- Read 5308 times
I
SEORANG pemuda sedang berteluku di hadapan komputer. Tiba-tiba azan zohor berkumandang, kedua biji matanya masih ralit menatap skrin. Hatinya menggerutu, “Alamak, kenapa awal sangat masuk waktu solat zohor? Kerja aku masih banyak! Kalau aku solat dahulu, kerja ini entah bila akan siap.” Dia menggeliat kecil dan menatap monitor komputer, hatinya warawiri antara mahu menyambung kerja atau berhenti untuk solat berjemaah.
“Bukankah solat itu dituntut agar didirikan pada awal waktu?” Ilmu dan akalnya berdiskusi. “Ah! Apa boleh buat, kerja masih banyak. Kalau tidak pergi solat berjemaah pun tidak mengapa. Selepas ini aku tetap bersolat sendirian di bilik.” Akhirnya dia memilih untuk meneruskan kerja dan meninggalkan solat berjemaah pada awal waktu.
Beberapa jam kemudian dia menuju ke tandas. Terlebih dahulu dia membuang air kecil. Kelihatan percikan najis terkena pada seluarnya. Dia tepuk dahi “Adui! Macam mana aku mahu bersolat? Seluar kotor terkena najis. Nanti solat aku tidak sah” Ilmu dan akalnya berhujah lagi.
Sebaik keluar dari tandas, dia berwuduk sambil hati bercempera. “Ah! Pedulikan saja! Aku tidak bawa kain pelekat untuk menyalin seluar. Solat sajalah dengan seluar ini pun, bukan sesiapa pun tahu seluar ini terkena najis. Yang penting aku bersolat.”
II
Seorang pemudi sedang menunggu rakan sebiliknya yang menyalin pakaian. Mereka mahu keluar berjalan-jalan ke pasar raya. Beberapa minit dia menunggu kawan sebiliknya berdandan. Pemudi itu tertegun setagal apabila melihat pakaian kawan sebiliknya yang memakai tudung jarang dan berbaju ketat. Hatinya menggerutu, “Bukankah salah memakai tudung jarang? Apatah lagi memakai baju ketat. Perlukah aku tegur?” Hatinya warawiri. Dia menarik nafas panjang, “Ah! Buat apa sibuk menegur, nanti bergaduh pula jadinya. Orang lain masih ramai yang berpakaian begitu. Biarkan sajalah!” Dia menyerah kalah tanpa mahu mencuba dahulu.
Kawannya menghampiri si pemudi itu dan mengajaknya beredar keluar. Pemudi itu tercium bau wangi yang semerbak dari tubuh rakannya. Dia terpegun sekali lagi. Hatinya makin rimas, “Bukankah haruman yang semerbak itu adalah dilarang oleh Islam? Bolehkah aku membiarkan rakanku keluar dalam keadaan begitu? Kasihan pula jika dia berdosa.” Sekali lagi ilmu dan akalnya berdiskusi. Dengan rasa berat hati, dia memujuk diri sendiri, “Biarlah, bukan selalu dia memakai haruman begini. Kalau berdosa, dia yang tanggung. Aku tidak perlu peduli.” Si pemudi memujuk dirinya. Ilmu dikhianati dan nafsu dituruti. Dia tewas sebelum berjuang.
Ikhtisar
Apa yang telah berlaku pada pemuda dan pemudi itu sebenarnya? Benar! Mereka telah mencuaikan amanah terhadap ilmunya. Mereka tahu yang baik dan buruk, mereka tahu dosa dan pahala, mereka mengetahui batas-batas syariat, malangnya mereka berlaku khianat pada diri sendiri.
Lihatlah si pemuda itu, dia memungkiri temu-janjinya dengan Allah. Dia mencuaikan solat awal waktu. Apatah lagi dia rela menzalimi dirinya bersolat dalam keadaan pakaiannya bernajis. Perbuatan khianat terhadap ilmu itu membawa dosa dan kerugian kepada dirinya.
Lihat pula si pemudi tadi yang melihat suatu kemaksiatan pada rakannya. Dia mengetahui bahawa perkara itu salah, bahkan dia boleh menegur rakannya dengan cara yang lembut. Namun, kerana tidak mahu menyusahkan diri, dia membiarkan sahaja dosa itu berlaku. Sedarkah bahawa dia telah berlaku zalim pada rakannya? Dia sudah membiarkan rakannya mendapat dosa-dosa sepanjang mereka keluar bersiar-siar.
Konklusi
Saudaraku! Amanahlah pada ilmu. Zahirkan ilmu itu dan jangan diabaikan. Tiada amanah yang lebih besar untuk dijaga melainkan kita beramal dengan apa kita fahami. Berusahalah untuk mengamalkan setiap ilmu yang benar. Malah ajarilah ia kepada orang lain kerana itu dianggap sebagai amar makruf. Seandainya kita melihat sesuatu kemungkaran berlaku, maka cegahlah ia dengan berhemah kerana itu termasuk dalam nahi mungkar.
Sesungguhnya amanah itu wujud di dalam diri seseorang yang sentiasa melakukan suruhan dan menjauhi tegahan berdasarkan ilmu yang ada di dalam dadanya.
Riwayat Tabarani, Nabi s.a.w. bersabda: “Tiada iman bagi mereka yang tiada amanah dalam hatinya, tiada solat bagi mereka yang tidak bersuci, tiada agama bagi mereka yang tidak bersolat.” Mudah-mudahan kita kekal beramanah terhadap ilmu di dada kita. Insya Allah. Q
A. Ubaidillah Alias
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.2
A. Ubaidillah Alias
Lulusan BA (Hons) Usuluddin, syukbah tafsir dari Universiti al-Azhar, Kaherah. Pernah berforum di Radio Kelantan dan menjadi tetamu di tv al Hijrah. Telah menulis banyak buku kreatif seperti novel, majalah dan buku-buku ilmiah untuk bacaan umum. Aktif dalam berceramah masjid dan sekolah. Kini bertugas sepenuh masa di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan(PKINK) sebagai pegawai latihan sumber manusia. Antara guru-guru beliau Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al Banjari al Makki.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.