Menu

 

A+ A A-

3 PESANAN AGAR HUBUNGAN TERPELIHARA

Ditulis oleh 

Diriwayatkan daripada Abu Dzar al-Ghifari beliau berkata: “Rasulullahs.a.w. telah bersabda kepadaku,(maksudnya): ‘Bertakwalah kepada Allah di mana-mana sahaja kamu berada, susulilah kejahatan dengan suatu kebaikan,  dan berakhlaklah dengan manusia dengan akhlak yang baik.’”(Riwayat al-Tirmizi)

 

Pesanan Pertama: Bertakwa kepada Allah s.w.t.

Allah s.w.t. banyak menyebut dalam al-Quran yang memerintahkan manusia supaya sentiasa bertakwa dalam kehidupan mereka. Itulah nilaian yang paling berharga daripada bekalan amalan manusia ketika menghadap Allah s.w.t. pada hari kiamat kelak. Semulia manapun seseorang itu, belum menjamin dirinya daripada dipandang dan dikasihi oleh Allah. Allah s.w.t. membidas sangkaan mereka yang menganggap bahawa kemuliaan sebenar dicapai melalui keturunan dan sebagainya melalui firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang paling mulia daripada kalangan kamu ialah orang yang paling bertakwa dalam kalangan kamu.” (Surah al-Hujurat 49: 13)

Malah, pesanan takwa turut disampaikan oleh utusan-Nya yang mulia; Nabi Muhammad s.a.w. Dalam hadis di atas, Baginda telah memberikan tiga pesanan yang mempunyai kaitan dengan ‘hablumminallah’ (hubungan dengan Allah s.w.t.) dan ‘hablumminannas’ (hubungan dengan manusia). Baginda mendahulukan konsep takwa yang perlu diamalkan di mana-mana sahaja sama ada ketika berada di khalayak ramai mahupun bersendirian.

Semestinya,  perkara yang didahulukan perlu diberikan perhatian sepenuhnya oleh kita. Bahkan, hadis Nabi s.a.w. ini berbentuk umum kepada umatnya walaupun ia seolah-olah ditujukan kepada sahabat tertentu. Namun, apa itu takwa? Secara ringkasnya, ia boleh difahami dengan dua perkara:

• Melakukan segala perintah Allah s.w.t. iaitu kewajipan sebagai seorang Muslim dan amalan-amalan kebaikan yang lain.

• Meninggalkan segala larangan Allah s.w.t. yang boleh mengundang kemurkaan dan azab-Nya.

berakhlak 4

Pesanan Kedua: Amalan kebaikan menghapuskan kejahatan

Memang tidak dinafikan ramai manusia hari ini tidak dapat mengamalkan konsep takwa sepenuhnya dalam kehidupan mereka. Hari-hari yang dilalui bercampur baur antara kebaikan dan kemungkaran. Siangnya dipenuhi dengan ibadah, malamnya pula dicemari dengan maksiat dan dosa. Mana mungkin orang sebegini dapat merasai nikmat iman dan kepatuhan kepada Allah s.w.t. Akibatnya, hati menjadi gelap dan sukar untuk dipujuk supaya sentiasa menjaga anggota badan lain mengikut kehendak Islam.

Sesungguhnya Allah s.w.t. Maha Mengetahui hakikat tersebut. Sebab itulah banyak ajaran Islam yang diperintahkan-Nya mengandungi saranan supaya manusia bertaubat daripada kesalahan yang telah dilakukan. Bukan itu sahaja, amalan kebaikan yang dilakukan pula mampu menghilangkan kotoran dosa si pelakunya. Maka, bersegeralah memohon taubat kepada Allah s.w.t. dan tanamkan azam untuk tidak mengulanginya lagi. Mulakan kehidupan baru dengan mengerjakan kewajipan yang sebenarnya sebagai seorang hamba Allah s.w.t. Solat sunat, sedekah, puasa, istighfar, zikir dan sebagainya akan menghapuskan kesilapan lalu. Malah, satu kebaikan akan digandakan antara 10 hingga 700 kali ganda. Sedangkan satu kesalahan yang dilakukan pula hanya ditulis sebanyak sekali sahaja. Jika seseorang melakukan 10 kebaikan dalam satu hari dan digandakan sebanyak 10 kali ganda pada setiap satunya, maka kesemuanya berjumlah 100 kali ganda. Sudah tentu ia mampu menghapuskan 100 kesalahan orang tersebut. Alangkah besarnya rahmat Allah s.w.t. Ayuh, rebutlah peluang penghapusan dosa yang cukup hebat ini!

Pesanan Ketiga: Berakhlak mulia sesama manusia

berakhlak 5Berakhlak baik digambarkan sebagai suatu amalan yang cukup mulia. Dalam hadis lain, Nabi s.a.w.pernah bersabda yang bermaksud: “Kebaikan itu ialah akhlak mulia.” (Riwayat Muslim) Segala perbuatan yang menyenangkan orang lain serta tidak melanggar perintah Allahs.w.t. akan dikira sebagai akhlak yang baik. Ingat mafhum pesanan Baginda: “Tidak ada ketaatan yang perlu diberikan kepada makhluk pada perbuatan yang merupakan maksiat kepada Allah Azzawajalla.” (Riwayat Ahmad)

Sebenarnya, banyak perbuatan baik yang boleh dilakukan kepada manusia lain. Syaratnya, ia perlu mematuhi ajaran Islam yang murni. Menolong orang lain, menghormati, menggembirakan, dan memenuhi hajat mereka termasuk antaranya.

Di samping itu, jagalah anggota badan daripada menyakiti mereka. Pandulah diri mengikut landasan al-Quran dan hadis Nabis.a.w. Rasulullah s.a.w. menunjukkan sikap seorang Muslim yang berakhlak mulia menerusi hadisnya yang bermaksud: “Seorang Muslim yang sebenar ialah orang yang membuatkan orang Islam lain berasa selamat dan aman daripada (kejahatan yang dilakukan oleh) lidah dan tangannya.” (Riwayat al-Bukhari) Semoga kita dapat memelihara ‘hablumminallah’ dan ‘hablumminannas’ dalam kehidupan seharian.

berakhlak 6

 

 

Ustaz Muhammad Yusuf A Kadir 

Sumber artikel daripada Majalah Gen-Q 10


 

Read 2337 times
Ustaz Muhammad Yusuf b. Abd Kadir

Beliau editor Unit Terjemahan Telaga Biru Sdn. Bhd. Lulusan Universiti al-Azhar (B.A. Hons Usuluddin: Hadis dan Ulum Hadis) dan merupakan salah seorang kolumnis Majalah GenQ. Antara guru beliau adalah Syeikh ‘Ali Soleh iaitu seorang guru di Masjid al-Azhar.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.