Menu

 

A+ A A-

REZEKI HARAM RAGUT KETENANGAN

SAHABAT saya, seorang bekas qadhi, pernah menceritakan betapa seorang ibu mengeluh tentang kelakuan buruk anaknya. Anak tersebut suka sangat mencuri. Habis semua barang milik teman-teman dicurinya. Kata ibu tersebut, “Entahlah, bagaimana saya harus menyelesaikan masalah ini. Hari-hari ada sahaja barang orang lain dicurinya semasa bersekolah. Hari ini pensil, esok pemadam… Puas saya nasihat tidak juga berkesan. Sudah saya ambil pensil dan pemadam pejabat saya bekerja.

Saya kira anda pasti tersenyum mendengar cerita ibu ini. Ibu yang umpama ketam mengajar anaknya berjalan betul. Inilah perihal, ibu yang ‘mencuri’ harta pejabat, untuk menyelesaikan masalah anaknya yang ‘mencuri.’

sumberrezekiharam-1

Mungkin sesetengah pihak menganggap adalah tidak logik  untuk mengaitkan antara perlakuan seseorang dengan sumber rezeki yang dimakan, digunakan atau dimanfaatkannya. Mana rasionalnya mengaitkan perlakuan anak yang mencuri dengan perlakuan ibu yang mencuri misalnya? Itu anggapan kebanyakan kita yang hanya melihat secara tersurat. Tetapi itu berbeza dengan pandangan ulama-ulama Islam khususnya para pendidik yang melihat secara tersirat – maksudnya selaras dengan pandangan syariat.

Mengikut para ulama terutamanya yang begitu mengambil berat soal sumber rezeki, perlakuan seseorang adalah ditentukan faktor ibu bapa, guru-guru, corak pendidikan yang diberi, persekitaran dan termasuk sumber rezeki yang membesarkannya. Ini bersandarkan firman Allah yang maksudnya: “Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.” (Surah al-Baqarah: 168)

Rasulullah s.a.w menguatkan lagi hakikat ini menerusi sabdanya: “Sesungguhnya daging yang dibesarkan dengan perkara yang haram, maka nerakalah yang lebih utama untuknya.” (Riwayat at-Tabrani)

Menghayati hakikat inilah yang menyebabkan Sayidina Abu Bakar pernah memuntahkan semula susu yang diminumnya apabila mengetahui sumber wang untuk membeli susu itu daripada hasil kerja bertenung nasib. Umar Ibn Aziz mengorek semula epal sedekah untuk rakyat yang sedang dikunyah oleh anaknya. Begitu juga ayah kepada Syeikh Abdul Qadir al-Jailani yang rela menghambakan diri kepada tuan punya ladang apabila dia termakan sebiji epal yang hanyut di sungai dari ladang tersebut. Imam Syafie pernah berhenti memakan kambing apabila didapati ada kambing zakat yang terlepas lalu bercampur gaul dengan kambing-kambing biasa.

sumberrezekiharam-2

Timbul persoalan, apakah kita mematuhi syariat di sebabkan faktor iman atau hanya faktor adat semata-mata? Mungkin, kita menyembelih ayam hanya berasaskan adat kita makan ayam sejak nenek moyang dahulu lagi mesti disembelih. Lalu adat itu dipatuhi secara turun-temurun menjadi budaya yang hilang makna dan falsafahnya.

Masyarakat kita sudah tidak tahu kenapa, mengapa dan kepada siapakah kita tujukan pematuhan syariat itu. Kalau kita sedar bahawa pematuhan syariat adalah berasaskan keimanan kepada Allah, maka kita akan memandang serius perbuatan mencuri ayam sama dengan memakan ayam yang tidak disembelih. Justeru, jika curi ayam itu dianggap dosa seberat (malah sebenarnya lebih berat) daripada dosa makan ayam tanpa sembelih, bagaimana pula dengan dosa ‘curi tulang’ (tenaga), curi masa dan berbagai-bagai lagi curi semasa kita menjalankan kerja sama ada di sektor swasta ataupun kerajaan?

sumberrezekiharam-3

Bagaimana ‘despatch boy’ yang ‘warmak’ (maksudnya melencong ke warong mamak) semasa menghantar surat atau pesanan? Begitu juga para eksekutif yang membuat kerja-kerja MLM (multi level marketing) peribadi mereka dengan menggunakan waktu pejabat? Atau pengarah yang melakukan rasuah semasa menjalankan amanah pengurusan dan pentadbiran syarikat?

Ramai yang beranggapan, selagi tidak ditangkap, dibuang kerja atau dihukum, semua perlakuan negatif di atas tidak ada masalahnya. Yang salah, kalau ditangkap. Tetapi sedarkah kita bahawa setiap perlakuan haram itu adalah berdosa? Mungkin kita terlepas daripada hukuman di dunia, tetapi masakan kita boleh lepas daripada hukuman di akhirat? Itu suatu yang pasti.

Individu yang terlibat dengan rasuah misalnya, akan dihumban ke dalam neraka. Rasulullah s.a.w. bersabda: “Orang yang memberi dan menerima serta perantara rasuah akan dimasukkan ke neraka.” (Diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar)

sumberrezekiharam-4

Begitu juga mereka yang terlibat dengan usaha penipuan, mencuri, merompak, riba, penzaliman dan sebagainya. Mereka yang benar-benar beriman akan menjaga sumber rezeki dengan berhati-hati. Apa lagi dengan yang haram, yang syubhat pun dijauhi sedaya mungkin. Bahkan bagi mereka yang muqarrabin (orang yang sangat hampir dengan Allah) yang halal itu pun masih ditangani secara berhati-hati, bimbang terjebak dalam perbuatan yang membazir, menimbulkan fitnah atau perkara yang sia-sia.

Sesetengah mereka begitu takut untuk ‘tertawan’ oleh nikmat dunia hingga berkata: “Aku takut akan nikmat dunia kerana halalnya dihisab, manakala haramnya pula diazab.”

sumberrezekiharam-5

Perlu juga diingat bahawa satu kejahatan dan perlakuan haram itu bukan sahaja dibalas di akhirat, malah di dunia lagi kita akan menerima bahananya. Bagaimana? Jawabnya, perlakuan haram dan berdosa itu memberi kesan langsung kepada pembentukan peribadi kita, ahli keluarga bahkan generasi kita! Akibat sumber rezeki yang haram, anak, isteri malah diri kita sendiri akan cenderung untuk melakukan kejahatan. Isteri mungkin curang. Anak-anak mungkin menjadi degil dan payah diatur. Pendek kata, individu yang dibesarkan oleh sumber rezeki yang haram akan mudah melakukan ke jahatan dan sukar melakukan kebaikan.

sumberrezekiharam-6

Sayang sekali, sekiranya seorang ibu bapa menyedari benar-benar akan hakikatnya ini, pasti dia akan berhati-hati dalam memberi rezeki untuk anak-anaknya. Sekiranya, seorang sebaik Syeikh Abdul Qadir al-Jailani telah dilahirkan hasil menjaga sumber rezeki yang halal oleh ibu bapanya, maka perkara sebaliknya boleh berlaku apabila anak-anak diberi rezeki yang haram. Besar kemungkinan, gejala sosial di kalangan remaja seperti dadah, vandalisme, rempit, zina dan pendedahan aurat ialah akibat langsung daripada rezeki haram yang ‘membesarkan’ mereka.

Kalau begitu apa untungnya? Sumber rezeki yang haram bukan sahaja menyebabkan akan menghadapi seksa di akhirat bahkan di dunia lagi sudah terasa bahangnya. Bukan sahaja seksa di penjara, didenda atau sebat oleh para penguat kuasa undang-undang dunia ini, tetapi ‘seksaan dalaman’ yang berbentuk keresahan, kebimbangan, kemurungan, ketakutan dan lain-lain perasaan negatif akan menghantui kita sepanjang hidup.

Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah s.a.w. melalui sabdanya: “Dosa itu adalah sesuatu yang meresahkan hatimu!” (Riwayat Ahmad al-Darimi)

sumberrezekiharam-7

Sementelahan pula apa gunanya harta yang bertimbun-timbun, sekiranya isteri atau suami, anak-anak dan ahli keluarga kita yang lain menjadi orang yang jahat dan rosak akhlaknya? Apakah perasuah rela menggadai akhlak anaknya hanya dengan ribuan malah jutaan ringgit? Atau si pemakan riba tega mempertaruhkan kesetiaan isterinya dengan keuntungan yang berjuta-juta? Saya kira mereka tidak akan rela dan tega.

Anak, isteri dan suami adalah harta yang paling berharga buat seorang individu. Walaupun sejahat mana sekalipun seseorang individu namun dia tetap inginkan anak, isteri atau suami yang baik. Ini fitrah. Melawan fitrah ertinya melawan diri sendiri. Dan orang yang melawan dirinya pasti tidak akan bahagia dan tenang dalam hidupnya – bukan sahaja di akhirat, malah di dunia lagi!

sumberrezekiharam-8

Tidak syak lagi, perasuah, pencuri, pemakan riba dan golongan yang mengambil rezeki daripada sumber yang haram adalah pemusnah kehidupan dunia dan akhirat – diri, keluarga, masyarakat dan negara mereka. Orang yang berlaku zalim kepada orang lain, hakikatnya berlaku zalim kepada dirinya sendiri. Pada akhirnya, tidak ada siapa yang menang. Ini kerana wujudnya manusia di atas muka bumi adalah wujud secara bersama (co-existance). Maknanya, kebahagiaan dan ketenangan kita sangat berkait dengan manusia lain.

Kita akan gembira bersama dengan orang lain, kita juga akan menangis bersama dengan orang lain. Justeru, terkenallah ungkapan: “Kita tidak akan bahagia sehingga orang di sisi dan di sekeliling kita tidak bahagia.” Jadi, jangan sekali mengambil rezeki dari sumber yang haram
kerana itu bererti mengambil hak orang lain. Pasti ada yang terzalim dan teraniaya. Ingat, siapa yang menyemai angin akan terpaksa menuai badai. Perbuatan yang jahat, akan mendapat balasan! ¤


Pahrol Mohd Juoi
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.1

 


 

Pahrol Mohd Juoi

Seorang penulis buku, kolumnis majalah, pencipta lirik dan skrip, serta pengacara tv dan jurulatih berkelulusan UiTM, Shah Alam. Beliau berpengalaman mengendalikan program latihan dan motivasi untuk lebih 50 badan kerajaan dan swasta. Kini beliau sebagai Pengurus Besar dan Pengarah Penyelidikan di Fitrah Perkasa Sdn. Bhd. Bukunya Tentang Cinta mendapat sambutan yang baik di  kalangan remaja terutamanya pelajar pusat pengajian tinggi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  tbbk1289

GB0213  TBBK1267

 

 

Kembali ke atas