Menu

 

A+ A A-

MENGEJAR FATAMORGANA KARAN DI LAUTAN GELITA

Seorang rakan bukan Islam pernah bertanya kepada penulis, “Mengapakah Islam tidak adil? Kenapakah kami yang banyak melakukan kebajikan kepada manusia malah haiwan tetap dimasukkan ke dalam neraka?”

Penulis memang mengagumi sahabat berbangsa Cina dan beragama Kristian ini. Dia tidak minum arak, sangat benci judi dan menjalani hidup berkeluarga dengan baik. Dia juga antara aktivis yang ringan tulang menghulurkan apa-apa sahaja bantuan kepada mereka yang memerlukan daripada orang tua yang tidak bermaya sehinggalah kepada anak-anak yatim dan mangsa banjir. Secara zahirnya, penulis terpaksa akui sahabat ini lebih mulia daripada beberapa orang rakan seislam yang penulis kenali sebagai kaki botol, kaki clubbing dan kaki “auta”.

fAyat 39 daripada surah al-Nur memberikan jawapan kepada persoalan ini. Allah s.w.t. menegaskan bahawa segala amal perbuatan seorang itu tidak akan diambil kira jika tidak beriman dengan-Nya. Tidak kira berapa gunung emas disedekahkan, berapa juta ringgit didermakan, berapa buah yayasan anak yatim dan orang miskin yang dibinanya, semua itu tidak akan berguna di akhirat kelak.

Allah mengumpamakan kebajikan orang yang tidak beriman ini seperti khayalan fatamorgana yang kelihatan seperti air.

Mereka menyangka segala kebaikan yang mereka lakukan di dunia ini bakal membantu mereka di akhirat kelak ketika mereka sangat memerlukannya. Tapi sayangnya, apabila berada di akhirat kelak, ketika mereka sangat mengharapkan syafaat daripada amalan mereka, tiba-tiba mereka dapati semua perbuatan mereka tidak dihitung. Mereka berasa sangat hampa dan kecewa.

Seperti seorang pengembara yang sangat haus melihat air di atas bukit. Dengan sisa-sisa tenaga dan harapan yang ada dia mendaki bukit tersebut dengan payah. Namun setelah tiba di puncaknya, dia mendapati apa yang disangkanya air hanyalah bayangan wap panas yang kelihatan seperti air. Alangkah kecewanya dia!

Amaran kepada Jutawan

Amaran dan peringatan dalam ayat di atas tidak hanya ditujukan kepada orang bukan Islam, tetapi juga kepada jutawan, hartawan dan dermawan Muslim yang rajin berderma, aktif bersedekah tetapi bakhil beribadat kepada Allah. Ingatlah, segala harta kekayaan yang anda berikan untuk membantu orang lain tidak akan dapat membantu anda di akhirat kelak. Jangan sesekali anda berasa ujub dengan segala kebaikan yang dilakukan sehingga menyangka anda tidak perlu lagi solat, menunaikan haji atau menutup aurat. Seolah-olah infak harta mereka terlalu besar sehingga dapat menghapuskan dosa-dosa mereka yang lain.

Allah bukan hanya tidak menerima amalan mereka, malah disediakan juga kepada mereka azab seksaan yang maha pedih.

Karam dalam Kegelapan Lautan

Selepas menerangkan kebajikan mereka yang tidak beriman, Allah menceritakan pula keadaan orang yang bukan sahaja tidak beriman tetapi juga melakukan kemungkaran dan maksiat. Dalam ayat berikutnya Allah berfirman yang bermaksud:

“Atau (orang kafir itu keadaannya) adalah umpama keadaan (orang yang berada dalam) gelap-gelita di lautan yang dalam, yang diliputi oleh ombak bertindih ombak. Di sebelah atasnya pula awan tebal (demikianlah keadaannya) gelap-gelita berlapis-lapis apabila orang itu mengeluarkan tangannya, dia tidak dapat melihatnya sama sekali dan (ingatlah) sesiapa yang tidak dijadikan Allah menurut undang-undang peraturan-Nya mendapat cahaya (hidayah petunjuk), maka dia tidak akan beroleh sebarang cahaya (yang akan memandunya ke jalan yang benar).” (Surah al-Nur 24: 40)

f2Allah menggambarkan kegelapan yang dialami oleh mereka seperti keadaan gelapnya dasar laut yang dalam dan tidak disinari cahaya. Tidak cukup dengan itu, ia juga ditutupi oleh ombak dan awan hitam yang menyebabkan keadaannya bertambah gelap. Demikianlah dahsyatnya keadaan orang yang bukan sahaja tidak beriman dengan Allah, tetapi juga melakukan pelbagai maksiat, dosa, kemungkaran dan kedurjanaan. Mereka berada dalam kegelapan demi kegelapan, kejahilan demi kejahilan. Bermula dengan kegelapan akidah, mereka juga sesat dalam kegelapan akhlak sehingga menyebabkan kehidupannya terumbang-ambing.

Dalam keadaan terumbang-ambing ini, mereka terjebak dengan penyalahgunaan dadah sehingga menyebabkan mereka muflis dan sakit. Mereka juga terlibat dengan perjudian, rompakan dan peras ugut yang akhirnya membawa mereka ke dalam penjara atau maut di hujung pistol. Mereka mengamalkan seks bebas dan pelacuran sehingga mengheret mereka ke lembah kehinaan, diserang pelbagai penyakit dan hidup dalam keadaan menderita batinnya. Tidak pernah aman dengan kesusahan, mereka terus-menerus dilanda malang dan derita.

Demikian betapa kelamnya kehidupan mereka yang ingkar kepada perintah Allah dan enggan mengesakan-Nya.

Kepada sahabat tersebut, penulis menjawab. “Kalau you nak masuk syurga juga mudah aje, you masuk Islam!”

Dan seperti biasa dia hanya tersenyum dan membalas, “Belum dapat hidayah.”

f1


Rohidzir Rais

Sumber artikel daripada majalah Solusi 6

 


 

Rohidzir Rais

Lepasan Universiti al-Azhar, Mesir dalam bidang Syariah Islamiyyah. Kini berkhidmat sebagai editor dan penulis sepenuh masa di Telaga Biru Sdn. Bhd. Pernah berkhidmat sebagai pensyarah di Kolej al-Azhar, Pulau Pinang. Aktif dan berpengalaman mengendalikan kursus-kursus fardu ain, al-Quran dan bahasa Arab di seluruh Malaysia. Telah berjaya menulis dan menterjemah 30 buah buku dalam pelbagai bidang. Layari blog beliau di www.al-zuhaily.blogspot.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

IMBK1002

  IMBK1002

Kembali ke atas