Menu

 

A+ A A-

PEMALAS ATAU ZUHUD

MASIH ada segelintir manusia yang bekerja cincai-cincai. Apabila ditanya sebabnya, maka dijawab: “Ini semua hal dunia, Allah tidak pandang!” Ada pula yang bersikap pemalas. Apabila ditanya, maka jawabnya: “Allah sudah tentukan rezeki kita di dunia. Saya rajin atau malas, hasilnya sama sahaja.

Lebih baik saya bertawakal!” Nabi s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Kalau kamu bertawakal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakal, Dia akan memberi rezeki kepada mu sebagaimana Dia memberi rezeki kepada burung yang berangkat pada pagi hari dengan perut kosong dan kembali ke sarangnya pada petang hari dengan perut kenyang.” (Riwayat al Tirmizi)

Cuba perhatikan hadis ini. Seekor burung mendapat makanan bukan dengan berdiam diri tetapi selepas berusaha iaitu dengan keluar dari sarangnya dan terbang ke sana ke mari dari pagi hingga petang.Maksudnya, tawakal itu datang selepas berusaha. Bukan tawakal namanya jika sekadar duduk menunggu rezeki jatuh dari langit. Itu pemalas!

Tangan yang Disukai Allah

Islam memuliakan sikap rajin dan mencela sikap pemalas. Rasulullah menyuruh kita berdoa agar menghindari penyakit malas. “Ya Allah, lindungi aku daripada sifat lemah dan malas.” (Riwayatal-Bukhari dan Muslim).

Sayangnya kita melihat ramai umat Islam termasuk yang berpendidikan agama pun bersikap sederhana dalam kerja harian. Tiada ketekunan ataupun itqan. Mereka beranggapan bahawa Allah menyukai kerja sambil lewa sahaja.

Mereka sebenarnya tertipu! Rasulullah amat menghargai jerih-perih orang yang bekerja sebagaimana Baginda menghargai mereka yang berjihad di jalan Allah. Dan Allah lebih menghargai tangan yang berkematu kerana bekerja daripada tangan yang lembut kerana tidak pernah membanting tulang.

Zuhud Tidak Bertempat

Namun ramai orang menyangka bahawa membuat kerja biasa-biasa sahaja itu zuhud. Maka sangkaan ini meleret pula kepada sikap malas, membuat kerja sambil lewa dan cincai-cincai. Betapa tertipunya mereka!

Walhal hakikat zuhud yang sebenar adalah sebagaimana yang disebut oleh seorang sahabat Nabi,Abu Zar: “ Zuhud terhadap dunia bukan bererti mengharamkan yang halal dan bukan juga mensia-siakan harta. Akan tetapi zuhud terhadap dunia ialah engkau begitu yakin terhadap apa yang ada di tangan Allah daripada apa yang ada di tanganmu. Zuhud juga bererti ketika engkau ditimpa musibah, engkau lebih mengharapkan pahala daripada musibah tersebut daripada kembalinya dunia itu lagi kepadamu.”

Kita boleh rumuskan bahawa zuhud merangkumi tiga perkara:

1. Meyakini apa yang ada di sis iAllah itu lebih mulia dan berkekalan daripada apa yang ada di sisi manusia.

2. Seandainya ditimpa musibah dalam hal dunia seperti kehilangan harta, anak atau selainnya, maka dia lebih mengharapkan pahala daripada harta itu kembali kepadanya. Sayidina Ali pernah berkata: “Siapa yang zuhud terhadap dunia, maka dia akan semakin ringan menghadapi musibah.”

3.  Merasa sama sahaja ketika dipuji atau dicela dalam kebenaran. Dia menganggap dunia itu perkara murahan. Justeru dia tidak merasa hairan dengan pujian atau celaan manusia. Sudah terang bahawa zuhud tidak seerti dengan malas. Malas ialah sifat tercela dalam apa jua keadaan. Zuhud ialah amalan hati. Hanya Allah sahaja yang mengetahui apa yang ada dalam hati manusia.

Jangan pula kita tersalah faham dengan menyamakan sikap malas itu setaraf dengan zuhud. Fudhail bin ‘Iyad pernah berkata pada Ibn Mubarak: “Engkau memerintahkan kami untuk zuhud dan sederhana dalam harta. Namun kami melihat engkau memiliki banyak harta. Mengapa begitu?” Jawab Ibnu Mubarak: “Wahai Fudhail bin ‘Iyadh, sesungguhnya hidupku seperti ini hanya untuk menjaga wajahku daripada aib meminta-minta. Aku juga bekerja untuk memuliakan kehormatanku agar mampu untuk taat pada Rabku.”

Semoga kita tidak tertipu dalam mendefinisikan zuhud dan pemalas. Insya-Allah kita menjadi umat Islam yang kuat bekerja!

 

Ustaz A.Ubaidillah bin Alias

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.8


A. Ubaidillah Alias

Lulusan BA (Hons) Usuluddin, syukbah tafsir dari Universiti al-Azhar, Kaherah. Pernah berforum di Radio Kelantan dan menjadi tetamu di tv al Hijrah. Telah menulis banyak buku kreatif seperti novel, majalah dan buku-buku ilmiah untuk bacaan umum. Aktif dalam berceramah masjid dan sekolah. Kini bertugas sepenuh masa di Perbadanan Kemajuan Iktisad Negeri Kelantan(PKINK) sebagai pegawai latihan sumber manusia. Antara guru-guru beliau Syeikh Ali Jumaah (Mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al Banjari al Makki.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

  

Kembali ke atas