Menu

 

A+ A A-

PERKARA-PERKARA MAKRUH KETIKA BERPUASA

Apakah perkara-perkara yang dimakruhkan bagi seseorang yang berpuasa?

PERKARA-perkara yang dimakruhkan ketika berpuasa ialah seperti berkucup atau melakukan pendahuluan jimak walaupun melalui khayalan atau penglihatan, berkumur-kumur atau memasukkan air ke dalam hidung secara berlebihan, merasa makanan, berbekam atau menderma darah, bersiwak selepas gelincir matahari hingga terbenam matahari, sengaja melewatkan berbuka puasa, bercakap dengan percakapan yang sia-sia dan sengaja melewatkan mandi junub sehingga selepas terbit fajar.

Bukankah Nabi s.a.w. pernah mengucup isterinya ketika berpuasa?

Walaupun di sana wujud hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim yang meriwayatkan daripada Sayidatina Aisyah bahawa Nabi Muhammad s.a.w. mengucup dan bermesra dengan isterinya ketika Baginda s.a.w. sedang berpuasa, namun kebanyakan ulama berpendapat bahawa ia makruh kerana ditakuti seseorang itu tidak mampu mengawal nafsunya sepertimana Rasulullah s.a.w. Hal ini diperkuatkan dengan hadis yang juga datangnya daripada jalur Sayidatina Aisyah bahawa Baginda s.a.w. ialah seorang yang mampu menguasai perasaannya.

Adakah makruh berkumur-kumur secara berlebihan ketika sedang berpuasa merujuk kepada berkumur biasa atau mencukupi sekali berkumur ketika berwuduk?

Makruh berkumur-kumur secara berlebihan mencakupi ketika berwuduk dan di luar wuduk. Ini kerana berlebihan berkumur-kumur dikhuatiri akan terdedah kepada perbuatan terminum air yang akan membatalkan puasa. Maka berkumurlah dengan kadar yang biasa dan pertengahan sahaja tanpa berlebih-lebihan.

Bukankah “terminum” itu menunjukkan perbuatan tidak sengaja. Segala perbuatan tidak sengaja akan dimaafkan. Bagaimana?

Memang benar, perbuatan “terminum” tidak membatalkan puasa kerana ia tidak disengajakan. Bagaimanapun Islam hendak mengajar kita bahawa sekiranya sesuatu perkara itu maksiat yang mesti dihindari, maka jalan ke arah maksiat itu juga mesti dijauhi. Sebagaimana zina diharamkan, Islam juga menegah segala jalan yang menuju ke arah zina. Begitu juga dalam hal ini. Tidak berpuasa atau sengaja membatalkan puasa tanpa sebab yang dibenarkan syarak ialah terlarang. Maka segala perkara yang berpotensi membatalkan puasa juga wajar dijauhi. Hal ini bukanlah dikiaskan dengan masalah zina, tetapi hanya sekadar mendekatkan kefahaman dengan masalah yang dibincangkan.

perkara-makruh-ketika-puasa-1

Bagaimana pula penggunaan ubat gigi ketika berpuasa dan bersugi selepas gelincir matahari? Bukankah Islam menuntut amalan menjaga kebersihan?

Ya, memang benar Islam menuntut supaya menjaga kebersihan. Tetapi janganlah kerana menjaga satu maqasid, sehingga melanggar maqasid yang lain. Puasa mempunyai ruh dan maqasidnya yang tersendiri. Adalah terlebih baik kita menggabungkan dua maqasid tanpa bertembung dengan apa-apa masalah. Ulama mazhab Syafi’i berpandangan bahawa makruh bersugi selepas gelincir matahari kerana akan menghilangkan bau mulut orang berpuasa yang lebih harum daripada kasturi di sisi Allah s.w.t. sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al- Bukhari.

Maka sudah tentu termasuk juga dalam hal ini ialah memberus gigi dengan menggunakan ubat gigi yang sama sekali menghilangkan bau mulut orang yang berpuasa. Justeru, jalan yang terbaik adalah dengan menjaga kebersihan mulut sebelum gelincir matahari dengan bersugi, manakala selepas gelincir matahari, cukup sekadar berkumur-kumur yang tidak berlebihan.

Bolehkah menderma darah ketika sedang berpuasa?

Melakukan perkara tersebut adalah makruh kerana ada kemungkinan ia akan memberi mudarat kepada diri dengan keluarnya darah daripada tubuh badan. Orang yang berpuasa berada dalam keadaan lemah, maka jika dia mendermakan darahnya, dia mungkin akan bertambah lemah. Sedangkan apabila sedang berpuasa, kita dituntut untuk memperbanyakkan ibadah dan amalan. Apabila badan lemah, akan melemahkan juga semangat untuk beribadah.

Percakapan yang buruk dan sia-sia adalah ketika berpuasa. Bukankah ada hadis yang menyatakan bahawa perbuatan tersebut akan membatalkan puasa?

Berkata-kata dengan perkataan yang buruk tidaklah sampai membatalkan puasa. Ia hanya makruh sahaja. Namun sekiranya sehingga sampai ke tahap bercakap dusta, mengumpat, mengadu domba dan mencela orang lain, maka ia satu perbuatan yang diharamkan syarak. Namun puasanya masih sah dan tidaklah batal.

Riwayat yang menyatakan percakapan buruk membatalkan puasa secara jelas tidaklah ditemui. Bagaimanapun ada satu hadis yang dikeluarkan oleh Imam al-Bukhari sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan perkataan yang dusta dan beramal dengannya, maka Allah tidak berhajat kepadanya walaupun dia meninggalkan makan dan minumnya (berpuasa).”

Para ulama menyatakan bahawa maksud Allah tidak ada hajat padanya ialah sebagai kinayah (kata-kata kiasan) bahawa gugurnya pahala dan ganjaran puasa. Ini kerana puasa bukan sahaja menahan makan dan minum, tetapi turut menuntut menahan nafsu dan syahwat daripada melakukan dosa.

Mohd Azrul Ismail
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Ustaz Mohd Azrul Ismail

Sarjana Muda Usuluddin (Hadis dan Ulum Hadis) Universiti al-Azhar. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, Syeikh Dr. Yusri Rusydi al-Sayyid Jabr al-Hasani dan Syeikh Dr. Saad Jawish (ketiga-tiganya pakar hadis Universiti al-Azhar) Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kembali ke atas