Menu

 

A+ A A-

HUKUM BERTEPUK TANGAN DALAM SESUATU MAJLIS

APAKAH hukum bertepuk tangan di dalam sesuatu majlis?

Terima kasih kepada yang bertanya. Perbahasan bertepuk tangan ini ada dijelaskan oleh Sheikh Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya ‘Fiqh al-Lahw wa al-Tarwih’. Bertepuk tangan telah digunakan oleh manusia untuk beberapa tujuan.

Antaranya ialah bertepuk tangan bagi wanita dalam solat sebagai peringatan kepada imam, bertepuk tangan untuk memuji dan memandang baik sesuatu perkara, masyarakat jahiliah pula bertepuk tangan ketika mereka beribadah pada zaman dahulu dan sebagainya. Maka hukum bertepuk tangan bergantung kepada keadaan ataupun situasi.

Maka jelas, bertepuk tangan bagi wanita untuk memberikan peringatan kepada imam harus di sisi syarak berdasarkan hadis sahih riwayat imam al-Bukhari daripada Sahl bin Saad r.a. bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya tepuk tangan adalah untuk wanita.”

Sekiranya bertepuk tangan sebagai cara beribadah, maka ia jelas sekali tidak diharuskan. Bertepuk tangan apabila memandang baik sesuatu perkara, contohnya para hadirin bertepuk tangan apabila nama seorang tokoh atau pemenang diumumkan, maka tidak ada dalil yang melarangnya.

hukum-tepuk-tangan-1

Begitu juga hukumnya apabila seorang ibu yang bermain-main dan bermanja dengan anak-anaknya dengan cara menepuk-nepuk tangannya. Maka ia adalah harus.

Cuma, ustaz ingin nasihatkan di sini, masyarakat perlu bijak untuk menyesuaikan tepukan dengan situasi dan tempat.

Contohnya, sekiranya sesebuah majlis yang baik dan dilakukan di dalam masjid, maka lebih utama untuk ditinggalkan kerana menghormati masjid dan tidak mengganggu orang lain yang sedang menunaikan solat.

Wallahu a’lam.

Ustaz Mohd Azrul Ismail
Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No.8


Ustaz Mohd Azrul Ismail

Sarjana Muda Usuluddin (Hadis dan Ulum Hadis) Universiti al-Azhar. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, Syeikh Dr. Yusri Rusydi al-Sayyid Jabr al-Hasani dan Syeikh Dr. Saad Jawish (ketiga-tiganya pakar hadis Universiti al-Azhar) Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kembali ke atas