Menu

 

A+ A A-

HUKUM GUNA WANG BIASISWA UNTUK BERKAHWIN

SAYA seorang perubatan luar negara. Bolehkah saya menggunakan duit yang diberi kerajaan untuk perbelanjaan di luar negara itu untuk kegunaan persiapan perkahwinan? Bagaimana dengan status wang tersebut dalam hal ini?

MUKADIMAH: Menurut kefahaman saya, duit yang diberikan oleh kerajaan atas nama biasiswa adalah suatu tajaan belanja kepada pelajar untuk sara hidup pelajar. Asal hukum bagi penggunaan jumlah tajaan yang diberikan mestilah dirujuk pada kontrak biasiswa yang ditandatangani.

RINGKASNYA: Harus untuk menggunakannya untuk berkahwin.

HURAIAN: Status hukum Islam dalam soal ini adalah harus atau dibenarkan untuk pelajar menggunakannya bagi apa jua tujuan, kerana ia adalah wang yang telah diserahkan miliknya kepada pelajar. Justeru, selaku pemilik yang sah kepada wang tajaan itu, pelajar bebas menggunakan wang tajaan itu untuk sebarang tujuan yang dirasakan sesuai selagi menepati hukum Islam. Atas dasar tersebut, saudara selaku pelajar harus untuk menggunakannya untuk kahwin.

PERINCIAN: Pun begitu, perlu diingatkan sekali lagi, isi kandungan kontrak perlu disemak semula. Jika terdapat klausa di dalam kontrak yang menghalang pelajar untuk menggunakannya untuk berkahwin atau apa-apa tujuan lain, pelajar mestilah menepati apa yang telah dipersetujuinya. Ini berdasarkan hadis riwayat Abu Daud, bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Orang Muslim dipegang pada syarat yang dipersetujuinya selagi syarat tersebut tidak mengharamkan yang halal dan tidak menghalalkan yang haram.” Dan juga firman Allah s.w.t yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, tunaikanlah kontrak-kontrak kamu (janji yang dimeterai).” (Surah al- Ma’idah 5: 1)

remaja-bertanya-islam-menjawab-1

RUMUSAN: Kesimpulannya, rujuklah isi kontrak yang telah ditandatangani dan jika tidak dinyatakan apa-apa halangan, maka boleh digunakan untuk persiapan perkahwinan. Apa yang perlu difahami, biasiswa diberikan untuk menamatkan pengajian. Justeru, menjadi amanah dan tanggungjawab untuk menyelesaikan pengajian dengan jayanya jika berkahwin sewaktu belajar, lebih-lebih lagi menggunakan wang biasiswa.

Ustaz Dr. Zaharuddin Abd. Rahman

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.2


Ustaz Zaharuddin Abd Rahman

Lulusan B.A.(Hons), Usuluddin, Universiti Malaya dan M.A. Shari’ah (Jayyid Jiddan), Univ. Al-Yarmouk, Jordan. Kini sebagai pensyarah di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia; di samping Ahli Majlis Penasihat Shariah, C&S Consulting & Investment Ltd, British Virgin Islands (bersama Prof. Dr Monzer Kahf), Pengerusi Majlis Penasihat Shariah, OSK Investment (Islamic) Bank Berhad, Konsultan Shariah di Standard Chartered (Sadiq) Bank (Malaysia) Berhad, Kolumnis majalah I, majalah Iktisad dan Harian Metro Ahad. Pernah berpengalaman sebagai Penasihat Syariah di RHB Islamic Bank Bhd. dan Setiausaha Majlis Syariah, Asian Fianance Bank Bhd. Layari web beliau di www.zaharuddin.net

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  ptsb1444

 

Kembali ke atas