Menu

 

A+ A A-

MUTIARA YANG PERLU DIJAGA

IKHLAS adalah satu perkataan yang sangat mudah diucapkan oleh setiap orang, termasuk orang munafik dan bukan Islam sekalipun. Walau bagaimanapun, perkataan inilah yang paling berat dan paling sukar untuk direalisasikan. Terkadang keikhlasan tersebut mampu dijaga di awal perbuatannya, namun akhirnya dia tewas dan jatuh ke lembah riyak dan ujub. Nauzubillahi.

Keikhlasan merupakan mutiara teramat mahal yang harus dimiliki setiap Mukmin. Mutiara yang harus selalu dibersihkan daripada pelbagai macam kotoran dan debu. Apatah lagi orang yang ikhlas akan senantiasa dibayangi oleh syaitan durjana yang ingin merosakkan amalan ikhlasnya.

Maksud Di Sebaliknya

Ikhlas dari segi bahasa ialah: bersih daripada kekotoran, manakala dari segi istilah syarak membawa maksud: berniat mengharapkan keredaan Allah dengan melakukan amal tanpa menyekutukan Allah dengan sesuatu apapun.

Seseorang yang ikhlas tidak akan mencemari amalnya dengan keinginan-keinginan jiwa yang bersifat sementara, seperti menginginkan keuntungan, kedudukan, harta, populariti, tempat di hati manusia, pujian daripada mereka, menghindari cercaan daripada mereka, menghindari bisikan nafsu dan sebagainya yang berbentuk duniawi.

Segala amal orang yang ikhlas dilakukan kerana Allah. Marilah sama-sama kita hayati firman Allah s.w.t. di dalam surah al-An’am ayat 162 yang bermaksud: “Katakanlah! Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah kerana Allah Tuhan Semesta Alam.” Ikhlas dengan pengertian seperti itu merupakan salah satu hasil daripada kesempurnaan amalan kita kepada Allah s.w.t.

mutiara yang perlu dijaga

Kelebihan Orang Yang Ikhlas

Terdapat banyak sekali kelebihan dan fadilat orang yang ikhlas dalam amalannya yang disebut oleh Allah s.w.t. di dalam al- Quran. Di antaranya adalah, Allah akan menolong hamba-Nya yang ikhlas, menjaga hamba-Nya dengan penglihatan-Nya yang tidak pernah tidur. Allah juga akan mengabulkan doa-doa orang yang ikhlas walaupun manusia sering lupa untuk bersyukur apabila Allah mengabulkan permintaannya.

Firman Allah s.w.t. di dalam surah Yunus ayat 22-23 yang bermaksud: “Dialah (Allah) Tuhan yang menjadikan kamu dapat berjalan di daratan, belayar di lautan, sehingga apabila kamu berada di dalam bahtera dan meluncurlah bahtera itu membawa penumpang-penumpang di dalamnya, dengan tiupan angin yang baik dan mereka bergembira kerananya, tiba-tiba datanglah angin badai, dan apabila gelombang dari segenap penjuru menimpanya dan mereka yakin bahawa mereka telah terkepung dengan bahaya, maka mereka berdoa kepada Allah dengan mengikhlaskan ketaatan kepada-Nya semata-mata seraya berkata: ‘Sesungguhnya jika Engkau menyelamatkan kami dari bahaya ini, pasti kami akan termasuk dalam kalangan orang yang bersyukur.’ Maka setelah Allah menyelamatkan mereka, tiba-tiba mereka membuat kezaliman di muka bumi tanpa alasan yang munasabah.”

Setiap amalan yang disulami dengan keikhlasan akan membuatkan jiwa pengamalnya menjadi tenang, tenteram serta hatinya tidak terkesan dengan pujian dan cacian manusia. Ini adalah kerana setiap amalannya hanya tertumpu kepada Allah s.w.t. semata-mata. Tanpa keikhlasan, ibadah yang dilakukan oleh sesorang itu hanya ibarat debu-debu yang berterbangan yang tidak memiliki erti sedikitpun di sisi Allah s.w.t. sungguhpun ibadatnya mencapai ribuan tahun.

mutiara yang perlu dijaga1

Firman Allah s.w.t. di dalam surah al-Furqan ayat 23 yang bermaksud: “Kami hadapkan segala amal perbuatan yang mereka kerjakan, lalu kami jadikannya bagai debu yang berterbangan.” Semoga Allah menolong kita untuk meraih keikhlasan yang hakiki. Insya-Allah. “Ya Allah, jadikanlah agama kami agama yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. Islam kami sebagaimana Islam Muslimin, iman kami sebagaimana iman Mukminin, solat kami sebagaimana solat orang yang khusyuk, amalan kami sebagaimana amalan orang yang soleh, niat kami sebagaimana niat orang yang ikhlas. Terimalah amalan kami Ya Allah.” Amin Ya Rabbal Alamin. ¤

 

Ustaz Muneer Mohamed Farid Al-Hafiz

Sumber artikel daripada majalah Gen Q isu No.1


 

Ustaz Muneer Mohamed Farid Al-Hafiz

Penceramah personaliti radio

Kembali ke atas