Menu

 

A+ A A-

TENTANG IKATAN SILATURAHIM

BERIKUT adalah perkara-perkara yang menguatkan ukhuwah islamiah berdasarkan panduan Rasulullah s.a.w.:

1.Memberitahu kepada sahabat bahawa tujuan ikatan persahabatan adalah kerana Allah:

Anas bin Malik r.a. meriwayatkan, “Ada seorang lelaki berada di samping Nabi s.a.w. lalu salah seorang sahabat lalu di hadapannya. Lalu dia berkata, “Ya Rasulullah! Aku suka kepada lelaki itu.” Nabi s.a.w. bertanya kepadanya, “Adakah kamu telah memberitahu kepadanya?” Dia menjawab, “Tidak.” Kemudian Rasulullah bersabda, “Beritahu kepadanya.” Lantas lelaki tersebut bertemu dengan sahabatnya seraya berkata, “Sesungguhnya aku menyukaimu kerana Allah.” Kemudian sahabatnya menjawab, “Semoga Allah mencintaimu kerana engkau mencintaiku kerana-Nya.” (Riwayat Abu Daud)

2.Saling mendoakan sahabat tanpa pengetahuannya:

Abu ad-Darda’ r.a. meriwayatkan bahawa beliau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, “Sesiapa yang mendoakan saudaranya ketika ketiadaannya, maka malaikat yang menjadi wakil untuknya akan berkata, “Amin! Engkau juga wahai yang berdoa mendapat seperti apa yang didoakan.” (Riwayat Muslim)

3.Menunjukkan kegembiraan dan senyuman apabila berjumpa:

Abu Zar al-Ghifari r.a. meriwayatkan, Nabi s.a.w. telah bersabda kepadaku, “Janganlah engkau meremehkan kebaikan, walaupun kamu berjumpa dengan saudaramu dengan wajah yang manis.” (Riwayat Muslim)

tentang-ikatan-silaturahim-1

4.Berjabat tangan apabila berjumpa:

Al-Bara’ bin ‘Azib r.a. meriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Tidaklah dua orang Muslim yang berjumpa lalu berjabat tangan melainkan kedua-duanya diampuni dosanya sebelum berpisah.” (Riwayat Abu Daud)

5.Mengetahui namanya dan ahli keluarganya:

Yazid bin Nu‘amah adh-Dhabbi r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila seorang lelaki menjadikan seorang lelaki sahabatnya, maka hendaklah bertanya tentang namanya, nama ayahnya dan siapakah dia. Sesungguhnya ia (perbuatan tersebut) lebih mengeratkan kasih sayang.” (Riwayat at-Tirmizi)

6.Memberikan hadiah pada waktu-waktu yang sesuai:

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Berikanlah hadiah nescaya kamu akan saling bertambah kasih sayang.” (Riwayat al-Baihaqi).

Ustaz Mohd Azrul Ismail

Sumber artikel daripada majalah Gen-Q isu No. 8


Ustaz Mohd Azrul Ismail

Sarjana Muda Usuluddin (Hadis dan Ulum Hadis) Universiti al-Azhar. Berguru secara langsung dengan ramai ulama besar antaranya Syeikh Muhammad Ibrahim al-Kattani, Syeikh Dr. Yusri Rusydi al-Sayyid Jabr al-Hasani dan Syeikh Dr. Saad Jawish (ketiga-tiganya pakar hadis Universiti al-Azhar) Kini editor syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

Kembali ke atas