ETIKA DALAM MAJLIS
- Ditulis oleh Haji Muhammad Zakaria
- Kategori Kepimpinan
- Read 15123 times
WALAUPUN anda seorang pelajar namun anda sering menghadiri pelbagai jenis acara, majlis dan program, sama ada yang rasmi atau tidak rasmi. Ramai pelajar yang segan dan malu berada di dalam majlis. Kalau boleh, biarlah berada di barisan belakang sekali. Kalau ada tiang atau tembok mahu rasanya berlindung di sebaliknya.
Kadang-kadang anda mengambil tempat di tepi pintu belakang sekali supaya senang melarikan diri tanpa diperhatikan orang. Anda seolah-olah menjadi seorang cacat yang serba kekurangan.
Pada ketika lain, anda merasa kekok berada dalam sesuatu majlis. Ada ketikanya anda berasa “out of place” (berasa diri berada dalam majlis yang salah).
Mengapa terjadi demikian? Ini adalah kerana anda tidak melatih diri anda atau menambah pengetahuan anda dengan etika di dalam majlis atau kemahiran mengendalikan sesuatu majlis.
Adab Masuk ke Dalam Majlis
· Masuk melalui pintu hadapan.
· Berjalan dengan tegap jangan teragak-agak.
· Mulakan dengan salam jika majlis belum bermula.
· Tidak perlu memberi salam jika majlis sedang berlangsung sebaliknya masuklah dengan senyap supaya majlis tidak terganggu Jangan mengasak-asak, melanggar atau melangkah-langkah orang yang telah duduk terlebih dahulu.
· Bersalamanlah dengan orang bersebelahan yang berhampiran.
· Bersalaman dan tegur menegur dengan semua orang jika majlis belum bermula.
· Cari tempat duduk yang sesuai. Duduklah dengan tenang dan berbuallah dengan teratur.
Adab Ketika Majlis Sedang Berlangsung
· Jangan banyak menoleh ke kiri, ke kanan dan ke belakang.
· Jangan berdiri di tengah-tengah kumpulan orang yang duduk.
· Ikuti agenda yang sedang berlangsung dengan penuh perhatian.
· Jangan bercakap yang boleh menganggu konsentrasi orang lain (juga konsentrasi anda sendiri).
· Dengar percakapan dan mesej yang cuba disampaikan di dalam majlis dengan baik dan teliti.
· Elakkan dari menunjukkan kekaguman yang berlebihan (over acting) terhadap seseorang.
· Elakkan dari menyuruh seseorang mengulangi perbicaraannya
· Tutup telefon bimbit.
Aksi Ganjil Yang Buruk Dalam Majlis
· Tertawa berdekah-dekah. Anda memadai tersenyum sahaja. Rasulullah SAW hanya tersenyum dan tidak tertawa berdekah-dekah.
· Mengorek hidung, telinga atau gigi.
· Berludah, menghembus hingus atau berkahak.
· Berludah, menghembus hingus atau berkahak.
· Terkentut sama ada berbunyi atau tidak.
· Mengeliat dan menguap. Lebih teruk lagi jika anda mengeluarkan suara.
· Meniru-niru cara kaum wanita bergaya, berjalan atau berhias.
· Menggesa orang lain mendapatkan sesuatu keperluan untuk diri sendiri.
Tajuk Perbualan yang Dilarang
· Bercakap dengan angkuh.
· Tajuk yang mudah menyinggung perasaan para hadirin.
· Memuji dan berbangga dengan keistimewaan dan kecemerlangan anak-anak sendiri secara berlebihan.
· Keterlaluan dalam memperkataan hasil ciptaan dan keistimewaan diri sendiri.
· Jangan merendah diri dalam majlis sampai tahap menghina diri sebaliknya bersikap sederhana
Kelakuan yang Tidak Disenangi
· Resah gelisah apabila duduk dalam majlis seperti kata pepatah Melayu; Seperti kera kena belacan.
· Mengurut-ngurut janggut, mengusap-usap cincin atau mematah-matah dan menyilang-selikan jari.
· Menguap, bersin, meludah, berkahak atau membersihkan hingus berhampiran dengan orang lain. Palinglah ke belakang dan meludah di tempat yang sesuai.
Pergaulan
· Ikut peratutan memisahkan tempat duduk tetamu lelaki dengan tetamu perempuan.
· Jangan cuba bergurau senda dengan tetamu istimewa, VIP, VVIP, alim ulama dan orang bijak pandai. Jika perlu gunakan perkataan gurauan sepintas lalu, itu sudah memadai untuk menceriakan suasana.
· Jangan membuat lawak yang menyebabkan orang lain ketawa berdekah-dekah.
· Jangan bermain-main dengan orang yang kurang akal dan kanak-kanak kecil yang belum mumayyiz atau belum baligh.
Perkara Menyalahi Syariat
· Pergaulan bebas sesama berlainan jantina.
· Terdapat maksiat seperti minuman yang memabukkan dan perbuatan yang bersifat pemujaan jin atau syaitan.
· Mendorong orang lain melakukan kezaliman dan penganiayaan sesama manusia.
· Sengaja mengwujudkan selisih faham antara dua pihak.
· Menganggap harta kekayaan itu lebih mulia daripada harga diri.
Mengawal Diri Dalam Majlis
· Jangan hilang kawalan diri dan kawalan emosi seperti menangis, melolong, marah, berang, memekik, memaki hamun atau mengamuk.
· Jika anda hilang kawalan diri seketika, segeralah bertenang. Jangan mengambil tindakan melulu atau bertindak mengikut nafsu. Hentikan perbicaraan.
· Apabila telah reda baharulah berbicara semula. Jauhi sikap keras hati.
· Jangan pentingkan diri sendiri atau kroni (kumpulan).
Majlis yang Melalaikan
Suatu ketika anda terkepung dalam sebuah majlis yang melalaikan. Apa yang dimaksudkan dengan majlis yang melalaikan? Antara ciri-ciri majlis yang melalaikan:
· Banyak perbualan kosong.
· Membazir masa.
· Membawa kepada kelalaian.
· Mengadu domba. Mengumpat.
· Memfitnah.
· Meninggalkan waktu solat.
· Bercampur gaul dengan agenda maksiat
· Terdapat ciri menzalimi orang lain, maka hendaklah minta izin untuk beredar sambil beristighfar dan berzikir.
·
Kemahiran Mengendalikan Majlis
Sekali-sekala anda ditonjolkan untuk mara ke hadapan mengendalikan sesuatu majlis. Apa tindakan anda? Menolak dengan pelbagai alasan? Atau terus menghilangkan diri dan tak muncul-muncul lagi!
Hakikatnya apabila anda disuakan untuk mengendalikan sesuatu majlis, maknanya orang telah mula memberi kepercayaan kepada anda. Anda harus sahut cabaran itu dan buat yang terbaik.
Inilah masanya anda membangunkan diri dan potensi anda di tengah masyarakat. Orang mula menghargai peranan anda atau kehadiran anda di tengah masyarakat. Anda seorang yang berpotensi.
Peranan Seorang Pengacara dan Juruhebah Majlis (MC)
· Kawal majlis dengan baik dan bijaksana.
· Pastikan semua orang dapat mendengar percakapan anda dengan jelas.
· Jangan cakap laju sangat, perlahan-lahan (step-by-step).
· Jangan cakap perkara yang anda tidak mahir atau anda tidak pasti.
· Pandang muka semua orang dari kiri ke kanan, dari hadapan ke belakang majlis.
· Jangan menyentuh perasan sensitif yang tidak disenangi orang ramai.
· Perbagaikan intonasi suara anda.
· Cakap perkara yang ringan dan sekali-sekali boleh buat jenaka ringan untuk mengurangkan ketegangan dan kebosanan pendengar.
· Tepati masa.
· Jangan meleret-leret.
· Beri ucapan penghargaan kepada pihak yang telah berbuat sesuatu kebaikan.
Pengucapan Awam (Public Speaking)
Untuk mengendalikan sesuatu majlis dengan baik anda hendaklah berlatih teknik pengucapan awam (public speaking atau khitobah). Ciri-ciri pengucapan awam yang baik:
· Mudah difahami pendengar.
· Menggunakan bahasa yang mudah dan teratur.
· Bercakap lancar dan bukannya membaca catatan atau teks.
· Intonasi atau tinggi rendah suara yang menarik.
· Direct to the point.
· Tidak meleret-leret.
· Isi bernas dan padat.
· Suara jelas.
· Menggunakan sistem siaraya yang baik dan jelas.
· Ada perhubungan harmoni dua hala antara penceramah dan pendengar.
· Pendengar tidak diasak untuk menerima sebaliknya pendengar menerima ucapan dengan rela hati.
· Diselang-seli dengan rencah yang merehatkan penerimaan pendengar seperti bahan jenaka, cerita, pantun, nyanyian dan sebagainya.
· Ada aliran cerita dan bukannya khutbah semata-mata.
Kesimpulan
Majlis ialah medan atau gelanggang komunikasi pelbagai pihak untuk mendapatkan maklumat dan merapatkan silaturahim. Untuk mendapat kesan yang optimum, etika atau adab di dalam majlis harus dijaga dan kemahiran mengendalikan majlis tersebut harus ditingkatkan termasuk meningkatkan kemahiran berkomunikasi antara ahli.
Oleh Hj Muhammad Zakaria
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 7
Haji Muhammad Zakaria
Lulusan University of Tasmania dan University of Newcastle, Australia, berpengalaman sebagai pendidik, pensyarah, CEO kolej swasta, master trainer, kolumnis, penulis, editor dan usahawan. Beliau kini menjawat sebagai Pengerusi Yayasan Antarabangsa Sri al-Ain-Aceh, Presiden Persatuan Belia Sri al-Ain (BERSAMA), Timbalan Presiden Persatuan Usahawan dan Pengurusan Islam Malaysia (URUS) dan Mudir Tahfiz Sri al-Ain. Sering muncul di kaca tv sebagai perunding motivasi, antaranya TV3, RTM1 dan juga Radio Ikim.fm. Beliau juga sering ke luar negara mengetuai misi kemanusiaan, antaranya ke Aceh, Jakarta, Kemboja dan juga masyarakat orang asli.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.