Menu

 

A+ A A-

PERSIAPAN MENGHADAPI PEPERIKSAAN

PEPERIKSAAN sangat besar ertinya bagi hidup seorang pelajar seperti anda. Adik-adik tahun enam akan menghadapi peperiksaan UPSR . Adik-adik tingkatan tiga akan menghadapi peperiksaan PMR .

Adik-adik tingkatan lima akan menghadapi peperiksaan SPM. Selain itu ramai lagi yang akan menghadapi peperiksaan STPM, STAM dan SMA. Paling tidak adik-adik lain akan berhadapan dengan peperiksaan hujung tahun masing-masing.

Semua tahap peperiksaan penting dan memerlukan persediaan lebih daripada sekadar membaca semata-mata. Tanpa persediaan yang rapi maka ramai pelajar yang akan mendapat keputusan yang tidak setimpal dengan usahanya. Anda tidak perlu takut atau bimbang dengan peperiksaan. Sama ada anda bersedia atau tidak, masa untuk berhadapan dengannya tetap akan tiba. Oleh itu lebih baik anda fokuskan kepada persediaan anda untuk berjuang.

Motto Peperiksaan

HENDAK SERIBU DAYA, MAHU SERIBU CARA, USAHA SERIBU JAYA.

Genggam tangan sambil melangkah dengan fikiran yang positif dan katakan, “AKU BOLEH BERJAYA!”

Fungsi Peperiksaan

Untuk mengukur kefahaman, ingatan, penguasaan, kemahiran, kebolehan dan penghayatan pelajar terhadap sesuatu subjek yang telah dipelajari. Mengukur kemampuan pelajar menterjemahkan ilmu yang telah dipelajari. Laluan kepada tahap pembelajaran yang lebih tinggi.

Membina keyakinan diri untuk terus menguasai bidang ilmu yang berkaitan.

Persediaan Menghadapi Peperiksaan

PERSEDIAAN FIZIKAL

1. Jaga Kesihatan

Gangguan kesihatan pasti tidak mengizinkan anda mengulangkaji dan ini akan membawa kepada tekanan emosi. Cepat berjumpa doktor apabila berasa hendak demam atau sakit. Kesihatan meliputi panca indera, pemakaian, tempat tinggal, pergaulan rapat dan kawasan persekitaran.

2. Cukup Tidur

Tidur yang cukup adalah antara 5–6 jam sehari. Kurang tidur menyebabkan anda rasa mengantuk, letih, tidak bermaya dan boleh jatuh sakit. Tidur yang berlebihan juga tidak baik untuk kesihatan. Imam al-Ghazali membahagikan waktu seharian kepada tiga: 1/3 untuk belajar atau bekerja, 1/3 lagi untuk rehat, tidur dan hobi dan 1/3 lagi untuk ibadah, keluarga, kebajikan dan sosial.

3. Pemakanan Berzat

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Makanlah dari makanan yang baik yang telah Kami berikan.” (Surah al-Baqarah: 57). Maksud baik di sini ialah: Sumber halal. Makanan yang haram akan menghitamkan dan menggelapkan hati.

Kualitinya berzat. Rasanya enak dan lazat. Kebersihannya tidak membawa penyakit dan kemudaratan.

4. Istiqamah Beriadah

Jangan beriadah sehingga meletihkan badan. Bermain hingga penat akan mengakibatkan anda rasa mengantuk untuk mengulang kaji pelajaran. Anda hanya perlu beriadah selama 20 minit sehari sebanyak tiga kali seminggu.

5. Keselamatan Diri

Jauhkan diri daripada aktiviti lasak yang boleh membawa kepada kecederaan. Elakkan kemalangan. Apakah anda mahu mengambil peperiksaan dalam wad hospital? Kecelakaan tidak pernah diundang. Tetapi kalau anda selalu cuai dan gopoh, anda sebenarnya mendedahkan diri kepada pelbagai bahaya. Pada musim menjelang peperiksaan, lebihkan masa untuk berada di rumah.

PERSEDIAAN MENTAL

1. Elak Gambaran Negatif

Jangan memikirkan kegagalan, kesusahan dan ketidakmampuan. Sebaliknya bawa gambaran kejayaan dan kecemerlangan. Bagaimana pun sedikit rasa bimbang penting terutama bagi pelajar cemerlang untuk meningkatkan usaha dan keyakinan.

2. Jangan Menyerah Sebelum Berjuang

Walau bagaimana lemah pencapaian anda menjelang musim peperiksaan, peluang anda untuk berjaya tetap ada. Orang yang kalah ialah orang yang menyerah sebelum berjuang. Penamat perjuangan ialah nyawa. Selagi jasad masih bernafas selagi itu perjuangan diteruskan.

3. Sentiasa Bersedia

Lengkapkan segala keperluan peperiksaan. Ibarat perajurit ke medan perang, semua senjata dan peralatan telah lengkap. Jangan kelam kabut. Susun agenda mengulangkaji anda dengan teratur.

4. Harapan Ibu Bapa Yang Tinggi

Tidak ada ibu bapa yang tidak mengharapkan kejayaan anak-anak. Ada ketikanya ibu bapa berulang kali menyatakan harapan mereka kepada anak-anak tanpa memikirkan kemampuan sebenar diri anak. Harapan yang terlalu tinggi ini ada ketikanya menjadi beban kepada anak-anak hinggakan mengganggu fikiran mereka.

5. Berfikiran Positif

Fokuskan fikiran anda kepada apa yang perlu anda lakukan dan apa pula hasil yang anda harapkan. Anda tidak perlu bimbang apa keputusan yang bakal diperolehi tetapi anda perlu bimbang kalau-kalau anda tidak menggunakan sisa-sisa masa yang masih ada untuk berusaha sepenuhnya. Dalam berusaha ini anda mesti berpegang kepada kata-kata: “Sedikit pencapaian itu lebih baik daripada tiada pencapaian langsung” atau “Something is better than nothing.”

PERSEDIAAN EMOSI

Dalam saat-saat menghampiri musim peperiksaan, anda perlu mengelak diri dari sebarang bentuk gangguan emosi. Perkaraperkara berikut perlu dielakkan:

·    Pertengkaran atau permusuhan dengan kawan-kawan.
·    Bersikap pemarah atau kepala angin.
·    Melakukan perkara yang membuatkan ibu bapa runsing atau marah.
·    Cinta monyet yang mungkin kecundang pada saat peperiksaan.
·    Bersikap terlalu yakin atau over confident.
·    Berprasangka buruk terhadap orang lain.

1. Tindak Balas Spontan

Tindak balas spontan adalah tindakan semula jadi anda. Apa perasaan anda kalau rakan membohongi anda? Anda mungkin menjadi marah serta-merta. Apa berlaku kalau rakan mengejek anda?

Anda mungkin rasa tersinggung dan kecil hati. Kalaulah begini tindakbalas spontan anda, apa akan berlaku dengan persediaan peperiksaan anda? Anda pasti tidak mampu memberikan tumpuan untuk mengulangkaji. Ada ketikanya luka di hati berkekalan hingga berhari-hari.


PERSEDIAAN ROHANI

Ketenangan jiwa dan fikiran sangat perlu pada saat-saat menghadapi peperiksaan.  Ketenangan ini boleh diraih antaranya dengan: Menunaikan solat wajib pada awal waktu, seboleh-bolehnya berjemaah.

Bermunajat kepada Allah dengan solat hajat dan pohon agar Allah campakkan ketenangan dan terangkan hati dalam menghadapi peperiksaan. Minta pada Allah agar apa yang dipelajari keluar dalam peperiksaan.

Minta restu kedua ibu bapa. Doa ibu bapa untuk anaknya sangat makbul. Mintalah mereka mendoakan kejayaan anda. Banyakkan selawat, berzikir dan membaca al-Quran. Hati yang banyak berzikir akan memperolehi ketenangan. Hati juga lebih terang apabila anda sering membaca al-Quran. Allah berfirman, “Sesungguhnya dengan mengingat Allah hati akan menjadi tenang.” (Surah al-Ra'ad 13: 36)

Jauhi maksiat dan dosa besar. Mereka yang bergelumang dengan maksiat mempunyai jiwa yang resah. Hidup juga tidak diberkati Allah. Banyakkan berdoa. Pastikan anda berdoa mengikut adab-adab berdoa dan mintalah kepada Allah dengan khusyuk dan bersungguh-sungguh.

PERSEDIAAN TEKNIKAL

Pastikan sukatan pelajaran sudah selesai dipelajari. Pastikan sudah boleh menguasai semua mata pelajaran yang diambil. Periksa tajuk-tajuk topikal yang belum dikuasai. Membuat semua soalan tahun-tahun lepas. Mengulangkaji nota secara menyeluruh. Tingkatkan bilangan jam belajar. Mengemas kini dan mempertingkatkan keberkesanan peta minda. Lebih banyak mengadakan sesi kumpulan belajar dan brain storming untuk mengimbangi pengetahuan. Bermain kuiz dengan kawan-kawan.

Penutup

Harus diingat bahawa dua tahun atau tiga tahun persediaan anda untuk menghadapi  peperiksaan hanya akan ditentukan oleh prestasi anda selama satu setengah atau dua jam ketika menjawab kertas soalan. Bayangkan pada hari keputusan peperiksaan keluar, semua orang akan bertanya, “Berapa “A” kamu dapat?” Dan bayangkan riak air muka dan senyuman ibu dan bapa serta eratnya pelukan mereka apabila mengetahui bilangan deretan “A” yang anda capai! ¤.


 
Oleh Hj Muhammad Zakaria
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 10

 


 

Haji Muhammad Zakaria

Lulusan University of Tasmania dan University of Newcastle, Australia, berpengalaman sebagai pendidik, pensyarah, CEO kolej swasta, master trainer, kolumnis, penulis, editor dan usahawan. Beliau kini menjawat sebagai Pengerusi Yayasan Antarabangsa Sri al-Ain-Aceh, Presiden Persatuan Belia Sri al-Ain (BERSAMA), Timbalan Presiden Persatuan Usahawan dan Pengurusan Islam Malaysia (URUS) dan Mudir Tahfiz Sri al-Ain. Sering muncul di kaca tv sebagai perunding motivasi, antaranya TV3, RTM1 dan juga Radio Ikim.fm. Beliau juga sering ke luar negara mengetuai misi kemanusiaan, antaranya ke Aceh, Jakarta, Kemboja dan juga masyarakat orang asli.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas