Menu

 

A+ A A-

PENDIDIK BUDIMAN MEREALISASIKAN HARAPAN

Petang itu ayah dan ibu agak terkejut kerana aku sampai di rumah macam biasa. Padahal aku diminta oleh ayah berhenti sekolah dan mengikut Abang Dolah ke Kem Terendak kerana ada kerja sebagai penjaga stor di situ.

Tentunya mereka hampa kerana aku abaikan permintaan mereka. Macam-macam boleh berlaku. Ayah dan ibu mungkin marah dengan perbuatanku itu.

“Engkau tak ikut abang Dolah kau ke Kem Terendak?” tanya ayah semacam tidak sabar bila melihat aku sudah berada di rumah.

“Tidak ayah. Minta maaf kerana tak ikut cakap ayah dan mak,” aku menjawab lembut mohon belas kasihan.

“Mengapa?”

“Ayah dan ibu tolong izinkan saya kayuh basikal dan ke sekolah setahun lagi. Setelah hampir tiga tahun bersekolah saya patut tamat sehingga L.C.E. Kalau sekolah sekerat jalan aja asas untuk hari depan tidak ada.” Aku cuba memberi alasan mengapa pelawaan abang Dolah aku tolak.

“Tapi ayah dan mak kesian dekat kau,” suaranya tidak menampakkan kekesalan.

“Nak berjaya ayah kena susah sikitlah. Kena ada pengorbanan. Lagi pun saya tidak pernah kompelin kerana kesusahan ini. Cuma masalah duit memang saya faham

Susah payah ayah dan mak selama ini memang sangat saya fahami. Saya selalu percaya Allah akan membantu kita,” aku menjelaskan dengan nada meminta pertimbangan dari ayah dan ibu.

Aku lihat ayah tunduk terharu dan ibu memandang wajahku dengan kehibaan dan air jernih mengalir di pipinya. Peristiwa ini amat memberi makna kepada diriku, anak keluarga miskin yang bercita-cita tinggi untuk Berjaya dalam ilmu dan kehidupan. Aku semacam degil dengan saranan ayah dan ibu. Aku semacam tidak bersetuju dengan jalan yang dipilih oleh mereka.

Rupa-rupanya kehibaan wajah ibu tidak menjadikannya putus asa. Ibu mencari jalan ikhtiar yang lain pula. Ibu amat mengerti kepayahan yang aku hadapi. Ikhtiarnya tidak pernah putus. Dia tahu, untuk belajar aku memang agak degil sedikit. Tidak mudah mengalah hanya kerana kesusahan dan kemiskinan. Meskipun aku insaf bahawa perbuatanku ini menyusahkan ibu dan ayah, bagiku ingkar kepada kehendak ayah dan ibu menyuruhku berhenti tidaklah suatu derhaka.

Cuma mereka amat belas melihatku susah payah mengayuh basikal begitu jauh. Mereka juga malu dengan apa masyarakat kampong kata. Itulah cabaran yang perlu aku hadapi. Aku selalu yakin bahawa Allah itu Maha Pengasih dan Penyayang kepada hamba-Nya. Cuma ikhtiar dan pengorbanan adalah perlu.

Cahaya Harapan

Di suatu malam selepas mengaji al-Quran ibu memanggilku dan menyatakan sesuatu yang amat memberikan harapan untukku terus belajar.

“Mak ke Lubuk Redan petang tadi. Jumpa Cikgu Osman Johari.”

“Apa halnya mak jumpa Cikgu Osman?”

“Ceritakan masalah yang kau hadapi. Dia sekarang mengajar di Kampung Gelam dan tinggal di Limbungan.”

“Apa kata dia mak?”

“Selepas mendengar cerita mak, dia kesian kepada apa yang berlaku kepada kau. Dia mahu menolong kau. Dia pelawa kau tinggal bersamanya. Dia boleh ajar kau Bahasa Inggeris dan Ilmu Hisab.”

“Duit bulanan tinggal di rumahnya bagaimana mak?”

“Yang itu nanti mak dan ayah kau runding kemudian.”

“Alhamdulillah. Ada manusia yang masih kasihan kepada kita mak.”

“Itulah kekuasaan Allah.”

Perkhabaran dari ibu ibarat cahaya dan harapan bagiku. Limbungan tidak jauh dari bandar Melaka. Niat Cikgu Osman untuk mengajarku Bahasa Inggeris dan Matematik adalah suatu khabar baik. Subjek inilah yang menyebabkan aku lemah mengikuti pelajaranku. Cikgu Osman Johari adalah seorang anak kampung Lubuk Redan, iaitu bersebelahan kampungku, Kampung Pulau.

“Bila saya boleh tinggal dengan Cikgu Osman mak?”

“Minggu depan pun boleh.”

Berita ini amat menggembirakan diriku. Pertolongan Allah datang menggerakkan hati seorang insan yang memahami derita payah hidupku. Allah Maha Pengasih terhadap hamba-Nya seperti diriku. Aku bersyukur kerana jalan untuk masa depan sedang ditunjukkan. Moga ayah dan ibu tidak lagi merasa risau dan tertekan melihat susah payahku berbasikal ke sekolah.

“Kamu tinggal di sini buatlah macam rumah sendiri. Soal bayaran biarlah cikgu rundingkan dengan ayah dan ibu kamu. Yang penting kamu belajar sungguh-sungguh. Sekolah kamu pun tak jauh dari sini.” Aku masih ingat pesan pertama yang disampaikan oleh cikgu Osman apabila ayah dan ibuku menghantarku ke rumah sewanya di Limbungan. Limbungan tidak jauh dari bandar Melaka. Kalau mengayuh basikal pun tidaklah penat sangat.

Aku sangat terhutang budi dengan pertolongan Cikgu Osman. Setiap malam bila dia lapang dia mengajarku Bahasa Inggeris dan Matematik. Aku mengikuti dengan tekun. Perlahan-lahan aku mula faham apa yang diajar, dan membantuku mengikuti pelajaran di sekolah. Aku tidak lagi berpeluh-peluh apabila sampai ke sekolah. Kepenatan tidak semacam dulu.

Namun, kerap juga aku terkenang ayah dan ibu di kampung. Selalunya sepulang dari sekolah, aku menjual petai, menyabit rumput kerbau dan pada hujung minggu menjual kuih apam dan menolong datuk menjual petai di pekan Masjid Tanah. Tapi selepas tinggal di Limbungan, banyak masa aku habiskan untuk mengulang kaji pelajaran dan membuat latihan Bahasa Inggeris dan Matematik. Agaknya siapa pula yang membantu ayah dan ibu sewaktu ketiadaanku? Abangku Ninggal dan adik-adik yang lain tentu boleh membantu.

Ibarat Ayah Kami

Di Limbungan aku tidak keseorangan tinggal di rumah sewa Cikgu Osman. Ada cikgu-cikgu lain yang masih bujang tinggal di situ. Cikgu Adnan dan cikgu Ahmad Johari mengajar di sekolah sekitar Kelebang. Terdapat juga Baharuddin dan adiknya Rohani serta saudara cikgu Osman Samidah tinggal di situ. Mereka adalah anak-anak kampung Lubuk Redan yang awal belajar di bandar Melaka. Cikgu Osman adalah ibarat ayah kami di situ.

Dia menjaga kami ibarat anaknya sendiri. Dia sering memberi pesan dan nasihat kepada kami supaya belajar bersungguh-sungguh.

“Sidek! Ayah dan emak kamu orang susah. Pada kamulah mereka berharap. Hari depan orang kita terletak pada ilmu dan pelajaran. Ada ilmu ada pelajaran, kita boleh ke hadapan.” Pesan cikgu Osman kepadaku  selepas mengajarku subjek Bahasa Inggeris dan Matematik. Teringat pesan yang sama dibuat oleh datukku apabila aku bertemu dengannya.

Aku mengangguk faham. Nasihat seperti itu amat ku perlukan di saat peperiksaan hampirdekat. L.C.E. (Lower Certificate of Education) hanya beberapa bulan saja lagi. Aku perlu berusaha lebih bagi mencapai kejayaan.

“Tak ada jalan lain untuk kita mengatasi kemiskinan keluarga melainkan dengan belajar. Bila kamu berjaya nanti adik-adik kamu akan menjadikan kamu contoh. Kalau tidak kamu akan mewarisi kemiskinan keluarga.” Aku tersentuh dengan nasihat yang baik ini. Ia membawa kesan mendalam terhadap jiwaku.

Ia memberikan semangat yang tinggi untuk aku terus tidak putus asa dalam pelajaran.

Alhamdulillah, aku dapat menduduki peperiksaan L.C.E. dengan tenang. Bila keputusan diumumkan, aku hanya mendapat Pangkat B. Aku bersyukur kepada Allah kerana aku masih boleh naik ke Tingkatan Empat.

Antara orang pertama yang aku beritahu ialah Cikgu Osman. Dia amat gembira walaupun harapannya lebih tinggi daripada itu. Hari ini Cikgu Osman sudah tidak ada. Dia sudah menjadi arwah. Tapi jasanya yang murni tetap kukenang sehingga ke akhir hayat. Moga-moga Allah memberikan balasan setimpal kepada roh Allahyarham Cikgu Osman.

Ayah dan ibu sesungguhnya amat bergembira dan bersyukur. Pohon yang ditanam sudah menuaikan hasil. Kesyukuran ayah dan ibu tidak tergambar dengan kata-kata.

Di hari aku mengkhabarkan kepadanya bahawa aku lulus peperiksaan L.C.E., ibu memelukku dengan tangisan dan membisik,

“Cukuplah setakat ini nak kau belajar nak. Lebih tinggi ayah dan mak tidak mampu.”

”Mak, kalau Cikgu Osman tidak tinggal di Limbungan lagi, saya akan kayuh basikal semula mak. Saya mahu belajar sehingga ke tingkatan lima,” lafazku kepada ibu.

Esakan dan pelukannya semakin kuat kerana anaknya masih keras hati untuk bersekolah lagi.

Hikmah di Sebalik Kisah

Kebesaran Allah di sebalik keadaan kritikal yang dihadapi oleh penulis seorang guru yang budiman menghulur bantuan. Allah telah menggerakkan hati seorang insan bernama Cikgu Osman Johari yang sudi membantu penulis tinggal di rumah sewanya. Ia menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi oleh penulis. Cikgu Osman memberi nafas baru untuk penulis terus dapat bersekolah.

Kemungkinan penulis berhenti sekolah memang ada. Walaupun penulis keras hati untuk terus belajar, tetapi desakan ayah dan ibu kena juga diambil kira. Yang menanggung adalah mereka. Mereka sering sakit dan untuk menabung dan menanggung persekolahan anak-anak, bukan hanya suatu hal yang amat payah, malah membebankan.

Memang di awal tahun-tahun enam puluhan tidak ramai anak-anak Melayu yang sanggup ke sekolah menengah. Apalagi dari kampung yang jauh seperti kampong penulis. Rata-rata orang kampung hidup ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang. Keluarga penulis adalah salah satu darinya.

Pada waktu itu belum ada sekolah menengah di luar bandar. Di Bandar memang ada beberapa sekolah tetapi menggunakan Bahasa Inggeris.

Cabaran belajar di sekolah Inggeris kena menduduki Kelas Peralihan selama setahun. Kemudian barulah boleh meneruskan pengajian sekiranya berjaya. Ramai anak-anak kampung mencuba. Setengahnya berhenti setengah jalan kerana banyak sebab dan setengahnya berjaya setakat L.C.E. kemudian berhenti sekolah untuk mencari kerja.

Oleh sebab kemiskinan, menjadikan suatu hal yang pelik bagi penulis untuk terus belajar.  Apalagi dengan naik basikal dalam jarak yang begitu jauh. Ia jadi perbualan orang kampung. Kadang-kadang menjadi umpatan. Mana mungkin anak miskin melawan arus kebiasaan. Biasanya kalau ayah penoreh getah, anaknya akan berakhir sebagai penoreh getah juga.

Penulis membina tekad dan azam yang berlainan. Penulis cuba melawan arus. Tetapi bertemu dengan kepayahan mendapatkan sumber kewangan. Penulis tidak putus asa lalu mencari alternative lain. Walaupun jalan mengayuh basikal adalah payah namun ia tetap sabar. Ia menyebabkan ibu dan ayahnya membuat keputusan supaya penulis berhenti sekolah dan mula bekerja.

Penulis keras hati tidak mahu tunduk dengan cadangan ayah dan ibunya. Mujur ibu dan ayahnya tidak putus asa. Ikhtiarnya terus berjalan dan Allah menemukannya dengan hamba budiman bernama Cikgu Osman Johari. Dia adalah anak kampong Lubuk Redan yang mula menjadi guru dan mempunyai kesedaran yang tinggi untuk melihat anak bangsanya maju. Allah telah menggerakkan hati insan mulia ini untuk menghulur bantuan kepada penulis. Inilah kebesaran Allah bagi mereka yang sabar dan yakin akan pertolongan-Nya.

 

 

Dr.Sidek Baba

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8


 

Prof Dr Sidek Baba

Lulusan Ijazah Sarjana Muda (Pengajian Melayu) Universiti Malaya dan Sarjana Pendidikan Berbanding di Universiti Indiana, Bloomington, USA dan Ijazah Doktor Pendidikan di Universiti Northern Illinois, USA. Pernah menjadi pendidik, pegawai dan pensyarah, dan sekarang sebagai Profesor Pendidikan di Institut Pendidikan, UIAM.

Terkini daripada Prof Dr Sidek Baba

Kembali ke atas