Menu

 

A+ A A-

KEDUDUKAN WANITA

ANTARA persoalan baru yang belum selesai diperkatakan ialah kedudukan kaum wanita. Dulu perbincangan tidak timbul kerana persetujuan umum seolaholah telah dicapai. Wanita mempunyai kedudukan mereka yang tersendiri dalam keluarga dan masyarakat. Mereka difahamkan sebagai golongan manusia yang tidak boleh menandingi kaum lelaki yang dilihat begitu dominan sekali.

Perubahan zaman mencetuskan perubahan pemikiran masyarakat sehinggalah lahir beberapa orang atau kalangan yang mula bercakap tentang kedudukan kaum wanita. Mungkin berpunca daripada provokasi dunia Barat yang terlebih dahulu berhadapan dengan persoalan yang sama; apakah kedudukan sebenar kaum wanita dalam masyarakat berbanding dengan kaum lelaki.

Di Timur Tengah nama seperti Qasim Amin dan sebagainya selalu dikaitkan dengan persoalan ini. Ramai orang yang sangat bersetuju dengan beliau dan ramai juga yang sangat tidak bersetuju. Akibatnya perbincangan menjadi hangat dan tuduh menuduh pun berlaku. Sehingga pada saat kematian beliau perbincangannya belum selesai, malah tidak menunjukkan uraura untuk selesai.

Antara Agama dan Adat

wanita1Mereka yang berpendapat wanita perlu diletak pada kedudukan yang kedua dalam masyarakat percaya itu adalah kehendak agama. Hal ini berdasarkan hadis yang menyatakan bahawa wanita itu kurang akal dan agama (naqisatu ‘aqlin wa dinin). Dalam hadis yang lain ada kenyataan bahawa mana saja masyarakat atau bangsa yang melantik wanita sebagai pemimpin mereka tidak akan berjaya.

Sementara golongan kedua pula berpendapat pandangan seperti itu tidak ada asas agama. Ia lebih merupakan adat yang biasa terpakai dalam kalangan masyarakat Arab sahaja. Sedangkan Islam tidak pernah membezakan antara wanita dengan lelaki. Banyak ayat yang memberi petunjuk seperti itu. Bagi mereka ini, yang membezakan antara seseorang dengan yang lain ialah nilai ketakwaan masing-masing kepada Allah.

Berdasarkan pandangan pertama terdapat ramai ulama yang mempertahankan pandangan mereka. Secara umumnya mereka berpendapat siapa saja yang bercakap tentang persamaan kedudukan antara wanita dengan lelaki tentu sekali dipengaruhi oleh gerakan wanita di Barat. Kerana bagi Islam jelas wanita itu tempatnya di rumah dan fungsinya melayan suami serta mendidik anak.

Pandangan Muhammad al-Ghazali

Antara ulama semasa yang paling tegas mempertahankan pandangan kedua ialah al-Syeikh Muhammad al-Ghazali. Beliau merupakan ulama Mesir yang sangat terkenal dan pernah ke Malaysia beberapa kali sewaktu hubungan Malaysia dengan ulama Timur Tengah begitu rapat suatu ketika dulu. Hampir senada dengan beliau ialah bekas pelajar beliau yang namanya tersohor sampai sekarang ini iaitu al-Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi.

Bagi al-Syeikh Muhammad al-Ghazali, mungkin ramai ulama membuat tanggapan yang salah tentang beberapa hadis Rasulullah s.a.w. yang menyebut tentang kekurangan akal dan agama pada kaum wanita. Kata beliau, Naqisatu ‘aqlin wa dinin bukan bermaksud kurang akal dan agama. Realitinya, kata beliau pada zaman Rasulullah s.a.w. kaum wanita belum begitu terpelajar. Maka yang dimaksudkan oleh hadis berkenaan ialah mereka pada waktu itu kurang berpengalaman kerana kurang berpendidikan. Berbeza sekali dengan keadaan yang ada pada hari ini. Malah ramai wanita pada hari ini lebih terpelajar daripada kaum lelaki.

Mengikut al-Ghazali lagi, satu daripada contoh bagaimana wanita diletakkan pada kedudukan yang sama dengan lelaki ialah Sayidatina Aisyah sendiri. Secara jelas Rasulullah s.a.w. mengiktiraf kedudukan isterinya yang tinggi dalam ilmu, sampai Baginda bersabda supaya umat Islam belajar daripadanya. Selain itu sejarah juga menunjukkan bahawa Islamlah yang membela kaum wanita.

Pada saat kelahirannya kaum wanita dalam masyarakat Arab jahiliah wanita seolah-olah barangan yang boleh dijual beli. Malah setiap anak perempuan yang dilahirkan dilihat oleh keluarga bakal menconteng arang ke muka mereka. Oleh sebab itu ada yang sanggup bertindak menanam anak hidup-hidup.

Mengenai sabda Rasulullah s.a.w. bahawa masyarakat yang melantik wanita sebagai pemimpin tidak akan berjaya, bagi al-Ghazali ada maksud yang tersirat. Sebenarnya, kata beliau hadis itu khusus tentang Raja Parsi pada waktu itu. Beliau adalah seorang perempuan yang menaiki takhta secara warisan dan bukan berasaskan kelayakan. Maksudnya, kedudukannya tidak kukuh dan mudah dikalahkan oleh tentera Islam yang sedang bersiap sedia bergerak ke sana.

Dengan kata lain, bagi al-Syeikh Muhammad al-Ghazali hadis tersebut bermaksud memberi semangat kepada tentera Islam yang sedang bergerak ke Parsi untuk berperang dengan negara yang kuat ketenteraan dan persenjataannya itu. Ia tidak sekali-kali mengandungi erti bahawa wanita itu tidak layak menjadi pemimpin.

Kedudukan Sosial

wanita2Antara topik lain yang dibincangkan oleh al-Syeikh Muhammad al-Ghazali sehubungan dengan kedudukan wanita ini ialah hadis yang melarang wanita musafir kecuali ditemani oleh mahram. Kata beliau, hadis ini bertujuan untuk memperkatakan tentang keselamatan wanita dan penjagaan maruah mereka secara umum.

Beliau dan Dr. Yusuf al-Qaradhawi juga membangkitkan tentang realiti hidup pada waktu itu, termasuk soal jaminan keselamatan diri dan maruah wanita. Bayangkan, bagaimana agaknya seorang perempuan musafir sendirian di padang pasir yang luas pada waktu itu? Tentu sekali sangat merbahaya sama ada terhadap dirinya atau terhadap maruahnya. Sedangkan sekarang, suasana perjalanan sangat berbeza sekali. Memandangkan keadaan telah berubah, maka hukum juga boleh berubah.

Apa yang penting, menurut mereka maksud atau objektif hadis berkenaan tetap dijaga. Kata al-Qaradhawi, dalam realiti perjalanan sekarang ini, seorang kawan perempuan yang terhormat sudah cukup untuk mengambil tempat mahram yang dimaksudkan oleh hadis berkenaan.

Walau bagaimanapun, pandangan al-Syeikh Muhammad al-Ghazali dan Dr al-Qaradhawi ini bukanlah penyudah. Polemik masih terus terbuka dan siapa saja yang berkelayakan dalam bidang membuat hukum boleh ikut serta dalam polemik di atas. Islam membuka ruang yang cukup untuk berijtihad asalkan saja ada keikhlasan dan ada kelayakan. Sebaliknya mereka yang tidak layak atau tidak ikhlas tidak patut campur tangan.

Ternyata dari sudut pandangan al-Qaradhawi dan Muhammad al-Ghazali budaya hidup memainkan peranan penting dalam menentukan hukum. Maksudnya, persekitaran hidup yang baik dan sihat boleh menjadi asas hukum dengan syarat tidak bertentangan dengan mana-mana nas daripada al-Quran dan al-Sunnah, ijmak atau qias. Ramai dalam kalangan ulama golongan tajdid yang memberi penekanan dalam hal seperti ini. Antara mereka ialah Ibnu Taimiyah dan Ibn al-Qaiyim.

Gerakan Wanita

Walau bagaimanapun, pandangan dua tokoh besar ulama semasa ini tidaklah sama dengan pandangan apa yang kita kenal sekarang sebagai golongan yang memperjuangkan kedudukan kaum wanita, baik di Malaysia sendiri atau di mana-mana. Hal ini kerana apa yang diperjuangkan oleh golongan ini bukanlah berasaskan kepada inti pati pengajaran Islam. Meskipun kadang-kadang mereka ini memakai nama Islam, namun Islam sebenarnya tidak pada nama.

Apa yang diperjuangkan oleh mereka lebih berlandaskan kepada idea Barat. Mereka bukanlah golongan yang mendukung tajdid atau ijtihad semasa. Sebaliknya mereka adalah golongan yang bertaklid dengan Barat. Apa saja yang laku di Barat mereka bawa ke sini untuk dipasarkan. Malah kadangkala mereka lebih barat daripada Barat sendiri. Bak kata Hamka, “Lebih Belanda dari Belanda.”

Oleh sebab itu, pandangan al-Ghazali dan al-Qaradhawi serta para pengikut mereka dalam masalah ini tidak boleh dianggap sebagai menyokong pandangan golongan wanita seperti ini. Antara keduanya terdapat perbezaan asas yang jelas. Yang pertama cuba mencari asas yang kukuh agar hukum Islam boleh dikembangkan bagi memenuhi keperluan hidup semasa. Sementara yang kedua pula cuba menafikan kebenaran Islam agar idea Barat boleh direalisasikan dalam masyarakat Islam tanpa ada apa-apa halangan.


Oleh Prof Dato’ Dr MAhmood Zuhdi
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 7

 


 

Prof Dato' Dr Mahmood Zuhdi Abd Majid

Dilahirkan di Kelantan. Mendapat pendidikan awal di Maa’had Muhammadi Kota Bharu, Kelantan sebelum ke Akademi Islam Universiti Malaya. Mendapat sarjana dari Universiti al-Azhar dalam bidang Syariah, dan University of Kent, England dalam bidang Pengajian Asia Tenggara, dan Ph.D dari Universiti Malaya dalam bidang Syariah. Pernah menjawat Dekan Fakulti Syariah Universiti Malaya dan Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya. Kini sebagai Profesor di Jabatan Fiqh dan Usul Fiqh, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Beliau telah menghasilkan 23 buah buku dan menyumbang artikel dalam 22 buah buku.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas