Menu

 

A+ A A-

ADAB MAKAN MAKAN BERADAB

KETIKA tetamu datang ke rumah, Hasanah menghidangkan masakan tengah hari yang sungguh menyelerakan. Meja yang berkerusi sepuluh itu cukup menampung lima tetamu dan dua orang anaknya. Tiba-tiba kedua-dua anak lelaki Hasanah berebut mencapai peha ayam di dalam piring. Alangkah malunya! Tetamu belum pun dijemput mulakan makan, anaknya telah menjangkau tangan.

Situasi ini sering terjadi pada anak-anak kita. Ada yang bukan setakat berebut, malah berbalah atau bergaduh di meja makan. Oleh itu Imam al-Ghazali telah menyenaraikan beberapa adab dan tata tertib ketika menghadapi hidangan. Jangan lupa ibu ayah adalah contoh ikutan. Jika kita buruk makan, si anak nanti pula bagaimana? Jangan hingga ada yag berkata, “Kuat mentedaghah, macam mak bapaknya...” Malu kita.

Mulakan mengambil makanan yang ada dekat di hadapannya dahulu. Setelah menjamah, baru mengambil makanan atau lauk yang lain. Jika sedap, ucapkan alhamdulillah. Tak sedap, tinggalkan sahaja. Rasulullah s.a.w. tidak pernah mencela makanan yang dihidangkan kepadanya. Jika baginda tidak suka, makanan ditinggalkan begitu sahaja.

 

makanberadab

 

1. Sumber yang halal.

Pastikan makanan itu daripada sumber yang halal. Yakni sumber mendapatkan rezeki itu hendaklah halal. Kalau curi duit kawan beli makanan halal, hasilnya tak halal juga.

2. Basuh tangan sebelum makan.

Maklumlah, tangan anak-anak mudah kotor selepas bermain atau memegang sesuatu. Sekalipun jika memakai sudu, basuhlah tangan supaya sentiasa bersih dan suci.

3. Berdoa.

Mulakan dengan membaca doa (dibaca kuat sedikit), atau setidak-tidaknya membaca Basmallah. Doa makan (maksudnya): “Ya Allah, berikanlah berkat bagi makanan yang telah Engkau rezekikan dan jauhkan kami daripada api neraka.”

makanberadab2

4. Makan untuk apa?

Niatkan makan supaya ada kekuatan beribadah kepada Allah s.w.t. Bukan semata-mata hendak kenyang. Kita bukan burung atau ikan buntal.

5. Syukur dengan rezeki.

Didik anak supaya redha dengan apa yang dihidangkan. Setiap rezeki adalah daripada Allah, wajib kita syukuri.

6. Kunyah makanan sehingga lumat, barulah ditelan.

Makanan yang lumat mudah dihadamkan. Makanan yang tidak hadam menyebabkan perut sebu, senak dan mudah sembelit.

7. Elakkan minum terlalu banyak.

Ketika makan. Kecuali jika tercekik atau terlalu dahaga.

8. Bersabar.

Bersabarlah jika makanan agak panas dan menanti makanan sejuk. Ini adalah latihan supaya anak-anak tidak mempunyai sikap gopoh-gapah dan sentiasa tenang dalam setiap keadaan. Sekiranya lauk yang dihidangkan adalah sedikit, ambillah secubit untuk merasa. Mengambil banyak lauk tanpa menghiraukan orang lain boleh menyuburkan sifat tamak anak-anak.

9. Makan bersama.

Amalkan makan bersama-sama satu keluarga. Hidupkan suasana kasih sayang ketika makan dengan berbual-bual perkara yang berfaedah. Mana tahu ada masalah yang dapat diselesaikan di meja makan.

 

10. Berhenti makan sebelum kenyang.

Jika terlampau kenyang, badan akan lesu dan mengantuk. Pada zaman Nabi s.a.w., para Sahabat mengamalkan sikap berhenti makan sebelum kenyang. Ternyata perut mereka sihat dan susah mendapat sakit. Tak percaya? Genggam kedua-dua tangan dan rapatkan. Itulah besar perut kita. Jika dua pinggan masuk dalam perut,sempitlah ruang perut. Mana nak isi air, minum petang dan sebagainya.

11. Basuh tangan setelah selesai makan.

Keringkan dengan tuala pengelap atau tisu. Berdoa (doa sesudah makan) atau sekadar melafazkan ‘alhamdulillah’. Makna doa selepas makan: “Segala puji bagi Allah, yang telah memberi kita makan dan minum. Dan telah menjadikan kita orang-orang Islam.” ¤

 

Rashidah Mustafa

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu Perdana

 


 

Kembali ke atas