DISEGANI KERANA SUKA MEMBERI
- Ditulis oleh Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif
- Kategori Sirah Para Solifus Solih
- Read 5421 times
MUNGKIN tidak ramai yang pernah mendengar nama al-Nu’man bin Thabit bin al-Marzuban. Sebenarnya itulah nama seorang imam yang sangat masyhur yang dikenali sebagai Imam Abu Hanifah. Orangnya kacak, berbudi bahasa dan manis tutur katanya. Tubuhnya tidak terlalu tinggi dan tidak juga terlalu rendah. Ditambah pula dengan pakaiannya yang kemas dan harum semerbak. Orang ramai boleh menyedari kehadiran beliau melalui bau wangi tersebut walaupun tanpa melihatnya.
Imam Abu Hanifah merupakan seorang tabiin yang lahir pada 80 Hijrah. Beliau berkesempatan hidup pada akhir zaman pemerintahan Bani Umayyah dan permulaan zaman Bani Abbasiyyah. Pada zaman beliau, para khalifah dan pemerintah sentiasa mendampingi para ulama yang berkebolehan hingga mereka ini dapat hidup mewah kerana rezeki mereka datang mencurah-curah tanpa perlu bekerja. Namun demikian, Abu Hanifah tetap menjaga harga diri dan nilai ilmunya. Beliau berazam untuk bergantung hanya pada hasil usahanya sendiri dan sentiasa ingin memberi, bukannya menerima sedekah.
Tidak Suka Menerima
Banyak kisah-kisah hidup beliau yang boleh dijadikan iktibar dan panduan hidup. Sebagai contoh, suatu ketika khalifah al-Mansur pernah menjemput Abu Hanifah untuk menziarahinya. Apabila Abu Hanifah sampai, khalifah al-Mansur menyambut beliau dengan penuh hormat dan mesra, lalu dipersilakan duduk berdekatan dengannya. Kemudian, khalifah al-Mansur mengemukakan pelbagai soalan yang berkaitan dengan agama dan dunia.
Ketika Imam Abu Hanifah mahu berangkat pulang, khalifah al-Mansur menghadiahkan seuncang wang yang berisi 30 ribu dinar kepada Imam Abu Hanifah. Khalifah al-Mansur sebenarnya terkenal dengan sifat bakhil. Sambil tersenyum, Imam Abu Hanifah berkata: “Wahai Amirul mukminin, saya ini orang asing di Baghdad. Saya tiada tempat untuk menyimpan wang ini. Saya juga berasa bimbang akan keselamatannya. Simpankan wang ini di Baitulmal. Apabila saya memerlukannya, saya akan datang memintanya nanti. Khalifah al-Mansur menerima alasan beliau.
Walau bagaimanapun, tidak lama selepas peristiwa tersebut, Abu Hanifah meninggal dunia. Setelah kematian Imam Abu Hanifah, orang ramai menemui sejumlah harta di rumahnya yang jauh berlipat kali ganda berbanding hadiah yang diterimanya. Apabila khalifah mendengar khabar tersebut, khalifah al-Mansur menitis air mata seraya berkata: “Moga Allah merahmati Imam Abu Hanifah. Walaupun enggan menerima hadiah saya, tetapi beliau menolak dengan penuh sopan.”
Peniaga Yang Jujur
Imam Abu Hanifah telah memperuntukkan sebahagian masanya untuk berniaga. Beliau menjual kain bulu dan pakaian yang diperbuat daripada bulu. Perniagaan tersebut menyebabkan beliau terpaksa berulang alik ke kota-kota di Iraq. Beliau juga mempunyai sebuah kedai yang menjadi tumpuan orang ramai. Mereka menerima layanannya dengan jujur dan amanah ketika memberi dan menerima daripada Imam Abu Hanifah. Tidak hairanlah jika para pelanggannya dapat merasai kepuasan yang tinggi ketika berurusan dengan beliau.
Dengan izin Allah, perniagaan yang dijalankannya ini memberikan pulangan yang cukup lumayan. Beliau menerima daripada sumber yang halal dan melaburkannya pula di tempat yang sepatutnya. Setiap kali tiba akhir tahun, Imam Abu Hanifah akan menilai segala keuntungan hasil perniagaannya. Beliau akan mengambil apa yang cukup untuk perbelanjaannya, kemudian bakinya akan digunakan untuk membeli barangan keperluan untuk para qari, ahli hadis, ulama dan para penuntut ilmu seperti makanan, pakaian dan sebagainya.
Malahan Imam Abu Hanifah menyediakan peruntukkan khas dalam bentuk wang untuk mereka. Beliau akan menyerahkan wang ini kepada mereka dan berkata: “Ini adalah hasil keuntungan perniagaan yang Allah jalankan untuk kamu melalui saya. Demi Allah, saya tidak memberikan kamu wang saya sendiri, sebaliknya ini adalah kurniaan Allah untuk kamu melalui saya. Tiada sesiapa yang dapat menghalang rezeki Allah kepada sesiapa.”
Ustaz Mohamad Wahid Hanif
Sumber artikel daripada Majalah GEN-Q Isu 09
Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif
Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.