Menu

 

A+ A A-

TIDURLAH KERANA IA ANUGERAH

“Di sebalik tidurmu ia mengungkap seribu kasih sayang dari Yang Maha Penyayang, hargailah tidurmu itu kerana ia adalah anugerah!”

Ramai yang tidak menyedari atau langsung tidak sedar akan aktiviti tidur mereka yang sering dilakukan setiap hari. Mengapa? Ini kerana tidur telah menjadi suatu rutin yang ‘simple’ dek kerana mata sudah tidak tahan, lantas tidur adalah ubatnya. Adakah ia semudah itu?

Kita sering kagum dengan kehebatan kejadian alam seperti matahari, planet dan sistem cakerawala tetapi adakah kita tahu kehebatan tidur yang amat ‘simple’ itu?

99Allah Menciptakan Tidur

Allah s.w.t. sebenarnya telah menceritakan kepada hamba-hamba-Nya bahawa tidur adalah salah satu tanda kebesaran-Nya selain daripada penciptaan alam semesta yang terbentang luas. Buka dan selak lembaran al-Quran ayat 23 daripada surah al-Rum, Allah yang Maha Penyayang berfi rman, maksudnya:

“Dan antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah tidurnya kamu pada waktu malam dan siang hari dan usaha kamumencari sebahagian daripada kurniaan-Nya. Sesungguhnya keadaan yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mahu mendengarkannya.”

Apakah Tidur?

Pelbagai definisi atau pengertian yang boleh diberikan kepada maksud tidur. Secara fisiologinya, tidur adalah satu proses yang kompleks bagi pemulihan dan pembaharuan untuk badan.

Mengapa Perlu Tidur?

Para saintis terus-menerus mengkaji tidur dan segala proses yang berkaitan dengannya bagi memahami keperluannya bagi manusia. Namun mereka masih belum menjumpai jawapan secara kukuh bagi menjawab persoalan ini. Berdasarkan kajian-kajian, dapatlah diketahui bahawa tidur umpama ‘switching off ’ bagi manusia. Selain itu tidur juga memberikan kesan secara fisiologi.

999Jam Tidur Biologi Manusia

Pernahkah anda merasai atau mendengar orang bercerita tentang ‘jet lag’? ‘Jet lag’ ialah putaran masa tidur seseorang yang terganggu disebabkan keletihan menaiki kapal terbang. Gangguan ini berpunca daripada perubahan zon waktu yang biasa dirasai oleh badan kepada zon waktu yang baru. Kebiasaannya, ‘jet lag’ ini akan mengambil masa satu hingga tiga hari untuk jam biologi badan menyesuaikan diri dengan zon waktu yang baru.

Maka jelas di sini Allah s.w.t. telah menjadikan di dalam tubuh badan manusia ini sebuah jam putaran waktu yang hanya diketahui oleh tubuh badan melalui proses-proses yang tertentu. Maha Suci Allah!

 

Tindak Balas Tubuh Badan

‘Sleep timing’ dikatakan dikawal oleh satu piawaian jam yang dipanggil ‘carcadian clock’. ‘Hypothalamus’ merupakan bahagian kecil daripada otak yang berfungsi sebagai jam loceng untuk menggerakkan fungsi badan yang berkaitan dengan dahaga lapar dan tidur. Oleh sebab itu, dalam waktu normal, manusia dapat tidur dalam putaran yang sama. Tetapi, apabila berlaku perubahan maka perubahan putaran tidur juga akan berlaku seperti kes ‘jet lag’, insomnia (kesukaran untuk tidur) dan sebagainya.

9Kaum yang Mendengarkannya

Berdasarkan kajian yang telah dilakukan tadi, ternyata tidur merupakan anugerah Allah yang sering diabaikan oleh manusia. Ibn ‘Ashur dalam tafsirnya merumuskan seperti berikut:

  • Tidur merupakan rutin yang tiada keistimewaan bagi manusia lalu Allah sebut agar difikirkan kehebatannya.
  • Menggambarkan kehebatan Allah yang menceritakan tidur tatkala manusia tidak mengetahui apa-apa apatah lagi semasa tidur.

Akhir bicara, kajian sains tentang tidur masih belum sempurna dan rahsia kebesaran Allah masih banyak yang belum tersingkap. Semoga tidurnya kita selepas ini persis tidur Nabi s.a.w. yang mengetahui hakikat sebenar lantas tidur Baginda adalah tidur seorang hamba. Hargailah anugerah Ilahi ini, jom tidur dalam iman.

 

   

Ustaz Amly Asener

Sumber artikel daripada Majalah GEN-Q Isu 09

 


 

Ustaz Amly Asenar

Sarjana Muda Syariah Universiti al-Azhar. Mempunyai pengalaman dalam bidang perguruan. Terlibat dalam penulisan buku dan majalah. Selepas buku pertamanya Ayuh Bersahur, kini karya keduanya Ayuh Haji sedang berada di pasaran. Kini editor Syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas