Menu

 

A+ A A-

ISLAM MENJUARAI KEBERSIHAN

KEBERSIHAN dalam Islam amat luas pengertiannya. Ia merangkumi semua aspek dalam kehidupan kita sebagai orang Islam. Secara umumnya, kebersihan ini dibahagikan kepada dua bentuk, iaitu kebersihan rohani dan jasmani. Kedua-dua jenis kebersihan ini saling berkait rapat kerana kedua-duanya menjadi syarat untuk mencapai kesejahteraan di dunia dan akhirat.

Kebersihan juga berkait rapat dengan kesihatan. Seseorang akan mendapat kesihatan yang baik jika dia menjaga kebersihan. Syeikh Ibn Taimiyyah berkata: “Sunnah Rasulullah datang dengan membawa ajaran untuk menghindari kekotoran yang ada pada tubuh badan manusia, sebagaimana ia juga datang dengan membawa ajaran bagi menghindari kekotoran rohani.” Cuba fikirkan, adakah wujud ajaran dalam Islam yang bertentangan dengan prinsip-prinsip kebersihan? Jawapannya, tentu sekali satu pun tidak ada!

Rasulullah s.a.w. sangat menekankan aspek kebersihan dalam segenap kehidupan seperti kebersihan pakaian, rumah dan keseluruhan anggota badan. Diriwayatkan, Rasulullah s.a.w. pernah melihat seorang lelaki yang pakaiannya amat kotor. Baginda bersabda, maksudnya: “Adakah orang ini tidak mendapat sesuatu yang boleh digunakan untuk mencuci pakaiannya?” (Riwayat Abu Daud)

2Banyak lagi amalan kebersihan yang perlu diamalkan sebagai orang Islam. Kita sepatutnya menjuarai isu kebersihan dalam amalan seharian sehingga dapat mencerminkan keindahan Islam yang sebenar. Namun malangnya, sikap kita yang alpa dengan kebersihan menyebabkan kebanyakan orang bukan Islam masih belum nampak hakikat keindahan Islam yang sebenarnya. Kebersihan sesebuah negara itu bukan bermula daripada kerajaan, tetapi bermula daripada setiap individu. Sama-samalah kita mengamalkan kebersihan dalam setiap aspek kehidupan kita. Wallahuaklam.

Jom Jadi Pembersih!

1. TIDAK MEROKOK DAN TIDAK BERKAWAN DENGAN PEROKOK

Merokok merupakan satu amalan buruk.Seorang perokok biasanya dapat dikenali melalui bau rokok yang kurang menyenangkan daripada badan mereka. Seluruh anggota badan perokok akan mengeluarkan bau rokok yang busuk daripada tangan, mulut, nafas dan juga pakaian yang dipakai. Berkawan dengan penghisap rokok juga menyebabkan bau melekat pada baju kita dan sehingga kita dituduh sebagai perokok.

2. MENGURUS SAMPAH DENGAN BAIK

Membuang sampah merata-rata bukan akhlak orang Islam. Meskipun ia nampak kecil, namun impaknya sangat besar dalam kehidupan kita dan juga masyarakat setempat. Banyak contoh yang tidak sihat berlaku disekeliling kita. Antaranya seperti sebuah kereta lalu dihadapan kita, tiba-tiba plastik-plastik makanan ringan dibaling keluar melalui tingkap. Begitu juga sebaik sahaja selepas pasar malam, ceramah-ceramah (termasuk forum agama Islam), biasanya tempat itu akan dipenuhi dengan plastik-plastik sampah yang menyakitkan mata.

Tanamkan pada diri kita untuk memandang keji perbuatan tersebut. Jika kita mempunyai sampah tetapi tiada tong sampah untuk dibuang, simpan dahulu dan buang apabila berjumpa dengan tong sampah. Kita akan berasa lebih mulia dengan cara ini meskipun pada awalnya berasa “leceh” untuk membawa sampah. Mengurus sampah Nampak remeh, tetapi impaknya sangat besar.

Firman Allah s.w.t., maksudnya: “Sesiapa yangmengerjakan kebaikan walaupun seberat zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya. Sesiapa yang mengerjakan kejahatan walaupun sebesar zarah, nescaya dia akan melihat (balasan)nya.” (Surah al-Zalzalah 99: 7-8)

13. SENTIASA MENJAGA SOLAT

Solat menuntut kita sentiasa dalam keadaan yang bersih kerana tidak sah solat jika terdapat najis dan kekotoran pada pakaian atau badan kita. Orang yang menjaga solat biasanya akan sentiasa memastikan dirinya dalam keadaan bersih (termasuklah menjaga wuduk). Mereka akan segera menukar pakaiannya jika terkena kotoran. Hal ini secara tidak langsung akan memberi keselesaan pada tubuh badan kita.

4. KEBERSIHAN DI DALAM TANDAS

Kebiasaannya, jika tidak ada pekerja yang mencuci tandas-tandas awam di Malaysia, tentu sekali amat meloyakan. Jika tidak kerana “kecemasan”, kita lebih rela menahan daripada membuang! Begitu juga, amalan kencing berdiri pasti tidak dapat mengekalkan kebersihan seluar dan menyukarkan untuk solat apabila tiba waktunya.  Kita perlu sedar tandas awam milik bersama. Ia bukan untuk “dipakai buang” oleh seorang individu sahaja. Selepas digunakan, tandas perlu diflush dengan baik dan dijaga untuk kepentingan bersama.  

5. MEMASTIKAN KUKU PENDEK

Mereka yang suka menyimpan kuku panjang biasanya akan menyimpan kotoran pada badannya, iaitu kotoran yang melekat pada kukunya. Jika difikirkan, tidak ada kebaikan diperoleh daripadanya melainkan tercakar kulit sendiri, patah, sukar untuk beristinjak dan mengambil wuduk.

 

 

DR. FARHAN HADI MOHD TAIB

Sumber artikel daripada GEN-Q 10


 

Dr. Farhan Hadi Mohd Taib

Lulusan Perubatan UNIMAS dan merupakan seorang pegawai perubatan di sebuah Hospital. Juga sebagai penulis dan editor bagi Syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas