Menu

 

A+ A A-

MAKAN UNTUK SIHAT

Masalah yang berkaitan dengan pemakanan ini tidak hanya melanda golongan dewasa, para pelajar dan remaja turut terlibat sama. Di negara kita, pernah timbul isu tentang cara-cara untuk mengelakkan gejala obesiti dalam kalangan pelajar sehingga timbul cadangan untuk melarang penjualan nasi lemak di sekolah-sekolah.

Apa yang kita harapkan daripada makanan yang disuap ke mulut kita ialah keberkatan. Dengan makanan yang berkat itulah kita akan memperoleh tenaga untuk sihat dan beribadat kepada Allah s.w.t.

Makanan tidak berkat yang masuk ke dalam badan kita, besar kemungkinan akan menyebabkan pelbagai jenis penyakit. Untuk mencari contoh terbaik dalam soal pemakanan, kita perlu mengikut cara dan tertib Rasulullah s.a.w. Baginda telah memberi satu panduan yang cukup berkesan dalam soal pemakanan, agar makanan yang masuk ke dalam badan kita benar-benar berkualiti dan terhindar daripada penyakit.

1. Tidak Menghina Makanan

Makanan tidak boleh dihina dengan apa-apa jua alasan, meskipun ia tidak disukai. Rasulullah s.a.w. tidak pernah menghina makanan yang diberikan kepada Baginda. Hadis Nabi s.a.w., maksudnya:

“Rasulullah s.a.w. tidak pernah menghina makanan (yang diberikan kepada Baginda), tetapi Baginda makan jika menyukai dan meninggalkannya jika tidak menyukainya.” (Riwayat Muslim)

2. Membaca Doa Sebelum dan Sesudah Makan

Makan dan apa-apa juga aktiviti orang islam sebenarnya ialah ibadat. ia harus dimulakan dan diakhiri dengan nama Allah s.w.t.

DOA SEBELUM MAKAN

“Ya Allah, berkatilah rezeki yang engkau kurniakan kepada kami dan jauhilah kami daripada azab api neraka.” (Riwayat al-Nasa‘i)

DOA SELEPAs MAKAN
“Maha suci Allah yang telah memberi rezeki kepada kami, dan menjadikan kami daripada golongan Muslimin.” (Riwayat al-Timizi dan Abu Daud)

3. Makan dengan Sedikit

salah satu prinsip kesihatan yang baik ialah diet yang seimbang. Rasulullah s.a.w. memberi penekanan untuk mengambil makanan dalam kuantiti yang sedikit sebagai langkah untuk mengelakkan penyakit. Logiknya, jika tidak mengurangkan makanan kita pasti akan cenderung untuk makan berlebihan. sabda Rasulullah s.a.w., maksudnya: “Tidak ada yang lebih buruk daripada seseorang yang mengenyangkan perutnya. Mencukupi untuk anak Adam mengambil beberapa suap makanan untuk melegakan laparnya. Jika dia mahu lebih daripada itu, memadai perutnya untuk satu pertiga makanan, satu pertiga air dan satu pertiga untuk dia bernafas.”
(Riwayat al-Tirmizi dan ibn Majah)

4. Makan dengan Perlahan

Makan dengan perlahan amat disarankan untuk tujuan kesihatan. Dengan cara ini, ia akan mengurangkan jumlah makanan yang kita ambil. Makan dengan perlahan juga membolehkan kita mengunyah makanan dengan berkesan. Ini membolehkan senaman pada rahang dan juga membolehkan pencernaan makanan dengan enzim yang terdapat dalam air liur. Pencernaan yang berkesan dapat berlaku kerana makanan dapat dikisar kepada bentuk yang lebih kecil.

5. Bersederhana

islam menggalakkan kita bersederhana dalam setiap perkara. islam meraikan umatnya untuk hidup selesa termasuklah dalam soal memilih makanan. Amalan yang sederhana boleh mengelakkan umat islam menjadi hamba kepada makanan, dan juga tidak menutup terus keperluan badannya untuk makanan. Firman Allah s.w.t. bermaksud: “Makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan sesungguhnya Allah tidak suka orang yang berlebihan.” (surah al-A‘raf 7: 31)

6. Makan Berjemaah

Makan bersama-sama boleh mewujudkan keadaan yang harmoni dan persefahaman yang baik. Kebiasaannya, manusia berasa lebih tenang apabila makan bersama-sama dengan orang lain. Sebab itulah islam menganjurkan setiap keluarga untuk makan bersama-sama kerana ini dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan dan mewujudkan persefahaman yang baik.

Hadis Nabi s.a.w., mafhumnya: “Makanlah bersama-sama dan janganlah berasingan, keberkatan itu bersama-sama dengan jemaah (kumpulan). “ (Riwayat ibn Majah).

Makan secara berjemaah di sini tidak termasuk bercampur gaul antara lelaki dan wanita. Wallahuaklam.

Oleh Dr Farhan Hadi Mohd Taib
Sumber Artikel daripada Majalah Gen Q Isu 7

 


 

Dr. Farhan Hadi Mohd Taib

Lulusan Perubatan UNIMAS dan merupakan seorang pegawai perubatan di sebuah Hospital. Juga sebagai penulis dan editor bagi Syarikat Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas