KHASIAT DAN FAEDAH BUAH ZAITUN
- Ditulis oleh Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif
- Kategori Kesihatan
- Read 13884 times
Allah s.w.t. menyebut dalam beberapa ayat mengenai buah zaitun, iaitu dalam surah al-Tiin: “Demi buah tin dan zaitun,” dan dalam surah an-Nur ayat 35, disebut mengenai minyak zaitun yang penuh berkat, iaitu “Lampu itu dinyalakan dengan minyak dari pokok yang berkat (atau banyak manfaatnya iaitu) pokok zaitun.”
Demikianlah, buah zaitun disebut dalam al-Quran yang tentunya mempunyai keistimewaan tersendiri.
Dalam al-Quran, buah zaitun disebut sebanyak tujuh kali; dua kali disebut zaitun bersendirian, lima kali disebut berserta dengan buahan lain, antaranya tamar, delima, anggur dan buah tiin.
Ini menunjukkan tentu ada banyak kelebihan atau khasiat buah zaitun yang Allah s.w.t. kurniakan, bagi faedah dan kebaikan kepada manusia.
Buah zaitun nama botaninya disebut olea europea banyak ditanam di kawasan Mediterranean, dan tempat penanamannya yang utama ialah di Sepanyol, Turki, Itali, Tunisia dan Morocco. Minyak zaitun atau olive adalah hasil perahan dari buah zaitun.
Dalam surah al-Nur ayat 35, Allah menyebut tentang buah zaitun, yang mana para ulama memberi pentafsiran dan pandangan yang sama merujuk kepada tempat dan taburan penanaman buah zaitun.
Dalam kitab Sunan al-Tirmizi dan Ibnu Majah, terdapat sebuah hadis daripada Abdullah bin Umar yang menyebut bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda: “Makanlah kamu minyak zaitun dan gunakanlah ia sebagai minyak rambut, kerana minyak zaitun dibuat daripada pohon yang penuh berkat.”
Begitu juga hadis riwayat al-Baihaqi dan Ibnu Majah daripada Abdullah bin Umar, Rasulullah s.a.w. bersabda: “Gunakanlah minyak zaitun sebagai lauk sekali gus minyak rambut, kerana ia berasal dari pohon yang diberkati.”
Minyak zaitun bersifat lembap pada peringkat pertama. Justeru, ada yang mengatakan ia bersifat kering adalah tidak benar. Teksturnya bergantung pada kandungan minyaknya. Minyak yang dihasilkan daripada buah zaitun yang sudah masak adalah yang paling elok dan yang paling stabil. Manakala yang dihasilkan daripada buah mentah pula cenderung sejuk dan kering.
Minyak yang dihasilkan daripada buah zaitun merah mempunyai kualiti sederhana. Minyak yang dibuat daripada zaitun hitam mampu memberi kehangatan sekali gus kelembapan dengan stabil. Antara khasiat minyak zaitun, ia boleh mengatasi racun, melapangkan perut dan mengeluarkan cacing.
Vitamin K yang baik untuk kesihatan kulit, terutama untuk rawatan kecantikan wanita. Jika diperah dengan campuran air, panasnya berkurang, lebih lembut, dan lebih berkhasiat.
Zaitun boleh menghaluskan kulit dan melambatkan pertumbuhan uban. Dengan menggunakan minyak zaitun setiap hari, rambut dan kulit bersinar. Kegunaan untuk tubuh adalah ia lazimnya disapu setiap kali selepas mandi pada permukaan tubuh. Minyak zaitun mudah meresap, sehingga tidak perlu bimbang ia melekit. Jus zaitun yang dicampur garam boleh menguatkan gusi. Daunnya boleh meredakan dan merawat demam, kesemutan, kudis dan mencegah peluh berlebihan.
Dari Sudut Saintifik
Dunia moden pada hari ini, melalui kajian-kajian sains, tidak dinafikan banyak yang mengiktiraf khasiat buah zaitun. Minyak zaitun adalah antara minyak yang bernilai tinggi dalam bidang kesihatan.
Selain minyak zaitun bertindak sebagai penambah zat makanan, ia juga bertindak mencuci dan membaik pulih perut dan menjadi penawar racun. Ia akan membantu pesakit gastrik dan juga yang mengalami kegagalan fungsi buah pinggang.
Minyak zaitun juga boleh diambil sebagai sapuan luaran, selain bertindak sebagai pelicin, ia sebagai pelembut kepada kulit yang mengalami ekzema dan psoriasis.
Menurut al-Tirmizi dan Ibn Majah, Nabis.a.w. bersabda, “Makanlah minyak zaitun, dan sapulah kulitmu dengannya kerana ia datang dari pohon yang diberkati.”
Dari sudut pandangan sains pemakanan, minyak zaitun mengandungi asid lemak tidak tepu yang dikelaskan sebagai “monounansaturated” yang mampu merendahkan kolesterol berbahaya dalam darah. Satu kajian yang dijalankan oleh pakar kesihatan di Institut Sains Kesihatan, Universiti Oxford, mengkaji perkaitan antara kanser dan pemakanan seseorang.
Didapati bahawa negara yang mengamalkan pengambilan daging yang kerap dan rendah dalam pengambilan sayur-sayuran, mempunyai risiko dan kes penyakit kanser yang tinggi tetapi pengambilan minyak zaitun akan mengurangkan kadar kes tersebut. Dalam Annals of Oncology (Januari 2005), pakar-pakar sains mendapati diet Mediterranean yang kaya dengan minyak zaitun boleh mengurangkan risiko seseorang mendapat kanser payudara, kerana kandungan oleic acid yang terdapat di dalamnya.
Khasiat Minyak Zaitun
Menurut Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah, mutu minyak zaitun adalah bergantung kepada pokok yang mengeluarkannya. Sebagai contoh, jenis yang terbaik adalah minyak zaitun yang dikeluarkan daripada buah yang masak, manakala minyak daripada buah zaitun yang belum masak adalah bersifat sejuk dan kering. Buah zaitun yang telah masak ranum, lebih cenderung menjadi panas dan mengurai.
Oleh sebab itu, jika ia diproses menggunakan air akan menjadikannya kurang panas, bertindak dengan lembut dan lebih berkhasiat. Walau bagaimanapun, semua jenis minyak zaitun boleh melembutkan kulit serta minyak zaitun. melambatkan proses penuaan.
· Minyak zaitun boleh melawan racun di dalam badan dengan bertindak sebagai laxative dan menyingkirkan cacing di dalam badan.
· Pengambilan minyak zaitun amat bermanfaat untuk mencegah penyakit jantung.
· Minyak zaitun banyak digunakan sebagai bahan asas produk kecantikan dan ramuan kosmetik.
· Minyak zaitun juga boleh diguna sebagai minyak masak. Walaupun banyak pendapat mengatakan bahawa makanan yang dimasak atau digoreng
menggunakan minyak zaitun tidak sesedap makanan yang digoreng dengan menggunakan minyak sawit, namun ia ada kelebihan tersendiri dari sudut kesihatan.
Minyak masak selain yang berasaskan zaitun jika diguna berulang kali menyebabkan jumlah kolesterol teroksida dan menjadi tepu serta tidak elok untuk kesihatan. Kesannya dapat dilihat apabila minyak tersebut memerangkap sisa makanan dan berubah warna dan bau. Namun berbeza dengan minyak zaitunkerana ia boleh digunakan berulang kali, tidak akan mengalami proses pengoksidaan serta tidak akan berubah dari segi warna dan bau.
Melihat kepada keadaan dan tahap kesihatan umum terkini, penyakit jantung yang dikatakan sebagai pembunuh secara senyap, boleh dikurangkan. Pengambilan minyak zaitun boleh mencegahnya, kerana ia kaya dengan bahan phenol. Bahan ini mempunyai bahan antioksidan yang tinggi dan mampu mencegah proses radang dan pembekuan darah.
Pada hari ini, produk berasaskan buah zaitun telah banyak dihasilkan dengan dipelbagaikan produknya dengan teknologi terkini, antaranya sebagai bahan untuk kegunaan asas seperti minyak masak, minyak rambut, barangan kecantikan, sabun dan juga sebagai makanan tambahan.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Nabi s.a.w. bersabda: “Ambillah minyak zaitun dan sapu ke kulitmu. Ia membantu mengubat tujuh puluh (beberapa) penyakit dan juga juzam (kusta).”
Justeru, khasiat buah zaitun merupakan anugerah Allah yang amat bernilai untuk dimanfaatkan, kerana bukan sahaja ianya disebut dalam al-Quran, malah pakar-pakar sains juga mengiktiraf keistimewaannya.
Oleh Ustaz Mohd Wahid Abd Hanif
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 8
Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif
Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.