KISAH NABI MUSA : MUNAJAT MUSA. KAUMNYA MENYEMBAH PATUNG LEMBU
- Ditulis oleh Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif
- Kategori Sirah Para Anbiya'
- Read 29819 times
Samiri mencipta lembu betina daripada emas. Dia memasukkan segumpal tanah, iaitu tanah bekas tapak kaki kuda Jibrail ketika mengetuai Musa dan pengikutnya menyeberangi Laut Merah. Patung itu dijadikan Samiri boleh bersuara.
Setelah Musa a.s. dan pengikutnya (Bani Israel) diselamatkan daripada Firaun dan tenteranya, mereka menuju ke Bukit Sinai, untuk mendapatkan buku panduan daripada Allah s.w.t.
Sebenarnya sekadar mukjizat yang dikurniakan Allah kepada Nabi Musa, sudah cukup untuk menghentikan kaumnya daripada terus menyembah berhala. Akan tetapi pengaruh daripada pergaulan mereka dengan bangsa Mesir (Qibti) telah menjadikan penyembahan berhala sebagai suatu adat yang sukar ditinggalkan.
Dalam perjalanan, mereka melalui suatu kaum yang menyembah berhala. Kemudian mereka meminta kepada Nabi Musa untuk membuat sebuah berhala untuk disembah. Allah s.w.t. berfirman dalam surah al-A’raf ayat : 138 yang bermaksud:
“Dan Kami bawakan Bani Israel ke seberang laut (Merah) itu lalu mereka sampai kepada suatu kaum yang sedang menyembah berhala-berhalanya. (Melihat yang demikian) mereka (Bani Israel) berkata: ‘Wahai Musa buatlah untuk kami suatu tuhan (berhala) sebagaimana mereka mempunyai beberapa tuhan.’ Nabi Musa menjawab ‘Sesungguhnya kamu adalah kaum yang sangat jahil.’”
Bani Israel meneruskan perjalanan sehinggalah sampai ke padang luas semenanjung Sinai. Ketika itu panas matahari sangat terik dan tidak ada tempat berteduh sehingga mereka mengadu kepada Musa. Lalu Musa memohon kepada Tuhan agar diiringi awan. Ketika bekalan mereka hampir habis, Nabi Musa meminta makanan kepada Tuhannya. Maka Allah menurunkan Manna dan Salwa. Banyak lagi nikmat yang Allah kurniakan kepada Bani Israel, tetapi mereka kufur akan nikmat itu.
Firman Allah s.w.t. dalam surah Al-A’raf ayat 160 bermaksud: “Dan Kami membahagikan mereka (Bani Israil) kepada dua belas kumpulan. Dan Kami wahyukan kepada Nabi Musa, ketika kaumnya meminta air kepadanya:
‘Pukullah batu itu dengan tongkatmu.’ Maka terpancarlah darinya dua belas mata air. Setiap golongan (di antara mereka) mengetahui tempat minum masing-masing. Kami naungi mereka dengan awan, dan Kami turunkan untuk mereka manna dan salwa (lalu Kami berfi rman): ‘Makanlah makanan yang baikbaik yang Kami telah kurniakan kepada kamu.’ Tidaklah mereka menganiaya Kami (dengan kekufuran mereka), tetapi merekalah yang menganiaya diri mereka sendiri.”
Semasa di Mesir, baginda telah berjanji kepada kaumnya bahawa Allah s.w.t. akan membinasakan Firaun dan akan memberikan kepada mereka sebuah kitab panduan. Maka setelah berjuang menghadapi Firaun dan tenteranya, Nabi Musa a.s. memohon kepada Allah agar dikurniakan kitab suci untuk dijadikan pedoman dan risalah kepada kaumnya.
Allah s.w.t. memerintahkannya ber puasa selama 30 hari. Firman Allah: “Dan Kami telah janjikan masa kepada Nabi Musa (untuk memberikan Taurat) selama tiga puluh malam, serta Kami genapkan jumlahnya dengan sepuluh malam lagi, lalu sempurnalah waktu yang telah ditentukan oleh Tuhannya empat puluh malam.” (Surah al-A’raf: 142).
Bukit Thursina
Sebelum meninggalkan kaumnya untuk menuju ke Bukit Thur Sina, Nabi Musa berjanji kepada mereka untuk tidak meninggalkan kaumnya lebih daripada 30 hari. Untuk itu baginda telah meminta saudaranya, Nabi Harun, menggantikannya memimpin Bani Israel selama ketiadaannya.
Hal ini dinyatakan dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan berkatalah Nabi Musa kepada saudaranya Nabi Harun (semasa keluar untuk menerima Taurat):
“Gantikanlah aku dalam (urusan memimpin) kaumku dan perbaikilah (keadaan mereka sepeninggalanku), dan janganlah engkau menurut jalan orang-orang yang melakukan kerosakan.” (Surah al-A’raf: 142)
Ketika mahu bermunajat, baginda beranggapan bau mulutnya kurang menyenangkan. Lalu baginda menggosok gigi dan mengunyah daun kayu. Perbuatan baginda itu ditegur malaikat dan Baginda diperintahkan untuk berpuasa lagi selama 10 hari. Dengan itu Nabi Musa telah menyempurnakan ibadat puasa genap 40 hari. Ketika bermunajat Nabi Musa sangat rindu dan berhajat besar untuk melihat Tuhannya tetapi Allah menyatakan bahawa baginda tidak akan mampu untuk melihat-Nya. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-A’raf ayat 143 bermaksud:
“Dan ketika Nabi Musa dating pada waktu yang Kami telah tentukan itu, dan Tuhannya berkata-kata dengannya, maka Nabi Musa (merayu dengan) berkata: ‘Wahai Tuhanku! Perlihatkanlah kepadaku (Zat-Mu Yang Maha Suci) supaya aku dapat melihat-Mu.’ Allah berfirman:
‘Engkau tidak sekali-kali akan sanggup melihat-Ku, tetapi pandanglah ke gunung itu, maka kalau ia tetap berada di tempatnya, nescaya engkau akan dapat melihat-Ku.’ Maka tatkala Tuhannya tajalla (menzahirkan kebesaran-Nya) kepada gunung itu, (maka) gunung itu hancur lebur dan Nabi Musa jatuh pengsan. Setelah sedar semula, berkatalah dia: ‘Maha Suci Engkau (wahai Tuhanku), aku bertaubat kepada-Mu, dan akulah orang yang awal-awal beriman.”
Firman Allah s.w.t. dalam surah Taha ayat 83-85 bermaksud: ‘Dan apakah yang menyebabkan Engkau segera datang ke mari lebih dahulu dari kaummu wahai Musa?” Nabi Musa menjawab: “Mereka itu ada mengiringi aku tidak jauh dari sini; dan aku segera dating kepada-Mu, ya Tuhanku, supaya Engkau redha.” (Setelah selesai urusan itu) maka Allah berfirman kepada Nabi Musa: “Sesungguhnya Kami telah timpakan kaummu satu fitnah sepeninggalanmu, dan mereka kemudiannya disesatkan oleh Samiri.”
Keadaan itu berlaku kerana Nabi Musa tertunda 10 hari, di mana baginda berjanji kepada kaumnya untuk kembali selepas 30 hari. Ini kerana baginda terpaksa mencukupkan 40 hari berpuasa. Bani Israel yang kecewa dengan kelewatan Musa kembali kepada mereka berfikir keterlaluan dengan menyangka beliau tidak akan kembali lagi.
Mencipta Lembu Emas
Dalam keadaan itu, seorang ahli sihir bernama Samiri mengambil kesempatan menyebarkan perbuatan syirik. Dia mendakwa Musa tersesat dalam mencari Tuhan, dan tidak akan kembali. Kemudian Samiri mencipta patung lembu betina daripada emas. Dia memasukkan segumpal tanah, iaitu tanah bekas tapak kaki kuda Jibrail (ketika mengetuai Musa dan pengikutnya menyeberangi Laut Merah). Malah patung Samiri itu boleh bersuara.
Kemudian Samiri menyeru orang ramai:
“Wahai kawan-kawanku, Musa sudah tidak ada lagi dan tidak ada gunanya kita menyembah Tuhan Musa itu. Sekarang, mari kita sembah anak lembu emas ini. Ia boleh bersuara dan inilah tuhan kita yang patut disembah.”
Sekembali Musa dan melihat kaumnya menyembah patung anak lembu, beliau amat marah dengan perlaku Samiri itu. Allah s.w.t. merakamkan peristiwa itu dalam surah Taha ayat 92 hingga 97 yang bermaksud:
“Nabi Musa berkata: ‘Wahai Harun, apakah yang menghalangmu untuk bertindak ketika engkau melihat mereka sesat, hingga mereka tidak menurutku? Adakah engkau ingkar akan suruhanku?’
Nabi Harun menjawab: ‘Ya anak ibuku! Jangan engkau menarik janggutku dan jangan menarik (rambut) kepalaku. Sesungguhnya aku bimbang engkau akan berkata kepadaku: ‘Engkau telah memecah belahkan kaum Bani lsrael sesame sendiri, dan engkau tidak berhati-hati mengambil berat pesananku!’
(Sesudah itu Nabi Musa hadapkan kemarahannya kepada Samiri lalu) bertanya: “Apa pula halmu, wahai Samiri?” Dia menjawab: “Aku mengetahui apa yang sebelum ini mereka tidak mengetahui, lalu aku mengambil segenggam dari kesan jejak rasul itu, kemudian aku mencampakkannya; dan demikianlah aku diperdaya hawa nafsuku.”
Nabi Musa berkata kepada Samiri:
“Jika demikian, pergilah, (engkau adalah diusir dan dipulaukan), kerana sesungguhnya kamu dalam kehidupan ini akan memberi alasan: ‘Jangan sentuh daku’. Sesungguhnya telah dijanjikan untukmu satu balasan akhirat yang engkau tidak sekali-kali akan terlepas daripadanya. Dan (sekarang) lihatlah kepada tuhanmu yang engkau sekian lama menyembahnya, sesungguhnya kami akan membakarnya kemudian kami akan menghancur dan menaburkan serbuknya di laut sehingga hilang lenyap.”
Begitulah kisah kedegilan Bani Israel. Walaupun mereka telah melihat mukjizat kebenaran di hadapan mereka tetapi mereka masih tetap bersikap ingkar.
Mohd Wahid Abd Hanif
Sumber artikel daripada majalah Solusi 9
Ustaz Mohamad Wahid b. Abd Hanif
Lulusan BA (hons) Usuluddin (Akidah dan Falsafah) di Universiti al-Azhar, Mesir. Antara guru beliau Syeikh ‘Ali Jumaah (mufti Mesir) dan Syeikh Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki. Antara buku yang beliau hasilkan iaitu buku mengaji Kaedah al-Matien bersama Ustaz Zamri Zainuldin. Kini beliau bertugas sebagai Editor Majalah di syarikat penerbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.