Menu

 

A+ A A-

DIRIKU HIDUP DENGAN MU DAN UNTUK MU

Adakah memadai menjadi seorang Muslim dari sudut akidah, ibadat dan akhlak sahaja?

Sebenarnya tidak memadai. Kita perlu hidup dengan Islam dan juga untuk Islam. Kita mesti meyakini bahawa kita perlu bersama-sama dengan Islam sebagai jalan yang kita reda dan diredai oleh Allah.

“Sesungguhnya solatku, ibadat-ibadatku, kehidupanku dan kematianku hanyalah untuk Allah Tuhan sekalian alam.” (Surah alAn’am: 162)

Maka seorang Muslim sebenarnya mempunyai dua jenis kehidupan yang perlu difahami agar dapat dilaksanakan amanah-amanah tersebut dengan baik dan tuntas. Dua jenis kehidupan itu ialah hidup dengan Islam dan hidup untuk Islam.

Hidup dengan Islam

Apabila bergelar seorang Muslim, maka seluruh kehidupan sepatutnya dengan gaya dan cara Islam. Oleh sebab itu, kita perlu tahu dan belajar untuk mempersiapkan diri menjadikan Islam sebagai kehidupannya.

Seorang Muslim berkewajipan untuk hidup dengan Islam dari sudut akidah, ibadat dan akhlaknya. Walaupun suasana hari ini tidak mendorong kita ke arah jalan yang diredai Allah tetapi itulah cabarannya, bak memegang bara api.

Hidup untuk Islam

Setelah berjaya mempersiapkan diri dengan cara hidup Islam dan mempercantik serta memperelok diri dengan akhlak Islam, maka kehidupan seorang Muslim tidak terhenti di situ sahaja. Disana menanti satu kehidupan lagi yang juga turut diredai oleh Allah malahan sangat-sangat diredai dan dicintai oleh-Nya. Kehidupan itu dinamakan hidup untuk Islam.

Dalam ayat yang dinyatakan di awal tadi ada disebutkan bahawa hidup dan mati kita adalah kerana Allah sahaja. Oleh sebab itu,amat wajarlah bagi mana-mana Muslim yang memahami tanggungjawabnya untuk menggunakan seluruh kekuatan dan kemampuannya demi menjadikan agama Allah itu sebagai agama yang bermartabat dan kuat.

Sunnah Para Rasul

Syariat yang dibawa Rasulullah adalah untuk dimartabatkan. Islam itu membawa agenda-agenda keadilan dan rahmat kepada semua makhluk di atas muka bumi ini. Keadilan dan rahmat Islam akan mengeluarkan manusia daripada perhambaan sesama manusia kepada kehambaan kepada Allah, kezaliman agama ciptaan kepada keadilan Islam dan kesempitan dunia kepada keluasan kehidupan sehingga ke akhirat. Apabila mesej sebegini sampai kepada manusia dan berjaya dibuktikan dengan pengamalan kehidupan yang praktikal maka Islam akan dihormati dan dipandang tinggi.

5 Perkara yang Perlu Diketahui

Bagi mencapai matlamat yang dinyatakan tadi maka sudah pasti ada beberapa perkara yang perlu difahami terlebih dahulu dengan baik bagi mendapatkan penghujung yang barakah. Ustaz Fathi Yakan, seorang tokoh ilmuwan Islam daripada Lubnan ada menggariskan ada lima perkara yang perlu diketahui:

 jadu

Serupa tetapi Berbeza

Seorang Muslim sama dan serupa dengan manusia yang lain. Namun ia berbeza apabila digabungkan matlamat hidupnya dengan Islam dan untuk Islam. Ada enam sifat yang menjadikannya berbeza dan mendapat keredaan daripada Allah:

1.Sentiasa memastikan urusanurusannya itu iltizam dengan Islam.

2.Sentiasa memikirkan kemaslahatan Islam dan umatnya.

3.Sentiasa berbangga dengan kebenaran.

4.Sentiasa yakin dengan Allah.

5.Sentiasa melakukan kerja-kerja untuk Islam

6.Sentiasa bekerjasama dengan mana-mana individu Islam yang hendak melakukan kebaikan untuk Islam seperti dakwah dan sebagainya.

Bekerjalah untuk agama-Nya

Jadikanlah dirimu secantik Islam dan bekerjalah untuk agamaNya agar kecantikan itu dapat dirasai oleh manusia yang lain. Janganlah simpan Islam sebagai koleksi peribadi yang cantik dan anggun di dalam rak kaca di rumah anda. Sebaliknya pamer-pamerkan Islam agar dapat dilihat oleh

semua.

Maka usaha untuk membuat pameran dan perkongsian sudah pasti memerlukan usaha dan tenaga yang sangat banyak bahkan tidak mustahil akan ditentang dan dihalang oleh mereka yang tidak faham tentang Islam. Setitis peluh anda menitis kerana bekerja untuk agama Allah, setitis hidayah turun mengetuk ketulan jahiliah dan setitis benih kecantikan Islam mula bercambah, ayuh bersyariat!

Wallahu a‘lam.

Ustaz Amly Asenar

Sumber artikel daripada Majalah Al-Ustaz Isu 09

 


 

Ustaz Amly Asenar

Sarjana Muda Syariah Universiti al-Azhar. Mempunyai pengalaman dalam bidang perguruan. Terlibat dalam penulisan buku dan majalah. Selepas buku pertamanya Ayuh Bersahur, kini karya keduanya Ayuh Haji sedang berada di pasaran. Kini editor Syariah di Telaga Biru Sdn. Bhd.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas