Menu

 

A+ A A-

TERIMA CELAAN SEBAGAI CABARAN

SIFAT seseorang yang lemah apabila disindir dan dicela adalah tanda kelemahan. Seseorang yang kuat tidak akan terkesan oleh celaan. Cemuhan tidak menyedihkan dirinya dan sindiran tidak menghalang langkahnya. Sebaliknya, dia menerima setiap cemuhan sebagai cabaran untuk membuktikan dirinya.

Syeikh Muhammad Ismail

Semasa Syria masih di bawah jajahan kerajaan Turki Uthmani, di situ hidupnya seorang pemuda bernama Muhammad Ismail. Beliau pemuda biasa yang bekerja sebagai penjahit. Beliau bukan seorang pelajar, namun selalu menghadiri kelas-kelas agama di masjid. Bukan untuk belajar, tapi hanya untuk mendapatkan berkat sahaja. Setiap kali kelas bermula, Ismail selalu terlihat di barisan pertama. Melihat ketekunannya ini, guru yang mengajar berusaha mengajaknya untuk menimba ilmu. Dengan lembut guru itu berbicara dengan Muhammad Ismail dan menasihatinya. Ternyata kata-kata gurunya ini sangat berkesan di hati Muhammad Ismail. Muhammad Ismail menjadi bersemangat.

Beliau segera membeli kitab yang diperlukan, lalu mengkajinya siang dan malam. Permasalahan yang tidak difahami, beliau tanyakan kepada rakan-rakannya. Beberapa masa kemudian, beliau telah menguasai pelbagai ilmu. Semua itu beliau lakukan tanpa meninggalkan profesionnya sebagai penjahit. Orang ramai mula datang ke kedai Muhammad Ismail. Mereka datang bukan untuk menjahit pakaian, namun kebanyakannya datang untuk meminta fatwa. Jawapan pemuda ini selalu mengagumkan. Bahkan tidak dapat dilakukan oleh para ulama besar di kota itu.

“Engkau hendak ke mana, wahai syeikh? Nak pergi ke Istanbul untuk meminta jawatan mufti?”

Sindiran Mula Timbul

Fenomena ini tentu sahaja tidak disukai oleh para penyokong mufti Syria pada saat itu. Ini kerana orang ramai tidak lagi bertanya masalah kepadanya, malah bertanya kepada Muhammad Ismail. Antara sebab lain pula ialah Muhammad Ismail tidak bergantung kepada wang kerajaan sedikit pun. Pekerjaannya sebagai penjahit sudah cukup untuk memberi nafkah kepada diri dan keluarganya. Pada suatu hari, Muhammad Ismail berjalan di hadapan orang yang membencinya. Beliau mengucapkan salam kepada mereka. Namun mereka menjawab salamnya dengan penuh sindirian: “Engkau hendak ke mana, wahai syeikh? Nak pergi ke Istanbul untuk meminta jawatan mufti?” Lalu mereka ketawa beramai-ramai. (Istanbul ialah ibu kota kerajaan Turki Uthmani. Di kota ini bersemayamnya sultan dan para pegawainya.

Merekalah yang menetapkan siapa berhak menjawat jawatan penting termasuk jawatan mufti Syria.) Mendengar sindiran itu, Muhammad Ismail hanya menjawab singkat, “Insya-Allah.” Kemudian beliau pulang ke rumah dan memberitahu keluarganya akan hajatnya untuk ke Istanbul. Satu demi satu negeri beliau lalui, hingga akhirnya tiba di Istanbul. Beliau menetap di sebuah kedai bersebelahan dengan pejabat Syeikhul Islam. Syeikhul Islam ialah mufti tertinggi di kerajaan Turki Usmani. Beliau berhak mengangkat atau menurunkan seseorang mufti di pelbagai negeri-negeri jajahan Turki Uthmani. Selama duduk di Istanbul, pekerjaan harian yang dilakukan oleh Muhammad Ismail hanya membaca buku dan menulis sahaja.

CABARAN

Jawapan Kepada Soalan Rumit

Suatu hari, seseorang berkata kepada Muhammad Ismail, “Hari ini sultan mengajukan soalan yang membingungkan para ulama di pejabat fatwa. Mereka tak mampu menjawabnya, tapi sultan tetap memaksa untuk meminta jawapan. Bolehkah kamu melihat permasalahan ini? Siapa tahu Allah membukakan jawapannya kepadamu?” Muhammad Ismail pun berkata, “Ya.” Orang itu berkata lagi, “Mari ikutku ke pejabat Syeikhul Islam.” Muhammad Ismail menyambut, “Bismillah.” Lalu mereka pun berjumpa pembantu Syeikhul Islam untuk bertanyakan masalah tersebut.

Pembantu itu memandang Muhammad Ismail dengan sinis – kerana penampilan Muhammad Ismail bukan seperti ulama. Kemudian pembantu itu menyerahkan soalan kepada Muhammad Ismail dan menyambung pekerjaannya semula. Muhammad Ismail mengeluarkan kaca matanya, lalu memakainya. Beliau membaca permasalahan itu beberapa saat, lalu mengeluarkan penanya. Beliau pun menulis jawapan untuk soalan itu yang ternyata mencapai hingga 10 lembar kertas. Kemudian beliau menyerahkan kertas itu kepada pembantu Syeikhul Islam dan sebelum pergi beliau menuliskan alamat rumahnya.

Pengangkatan Jawatan Tertinggi

Syeikhul Islam terkejut bercampur gembira apabila membaca kertas jawapan itu. Dengan segera Syeikhul Islam meminta agar Muhammad Ismail datang berjumpa dengannya dan akhirnya kedua-duanya pun dapat bertentang mata. Syeikhul Islam sangat menghormati dan memuji Muhammad Ismail. Syeikhul Islam berkata, “Mintalah daripadaku apa yang kamu inginkan.” Muhammad Ismail meluahkan, “Aku minta jawatan sebagai mufti di Syria dan guru besar di kubah Nasr.” (Kubah Nasr ialah tempat paling terhormat yang diduduki seorang ulama. Hanya ulama terbesar di Syria sahaja yang layak mengajar di tempat itu. Tradisi itu telah berlangsung sejak ratusan tahun lalu hingga ke hari ini.) Syeikhul Islam segera berkata, “Kedua-duanya milikmu.” Lalu dituliskan surat pengangkatan jawatan Muhammad Ismail dan memberinya wang sebanyak seribu dinar.

Pulang Ke Syria

Muhammad Ismail segera pulang ke Syria. Di tengah jalan, beliau kembali berjalan di hadapan orang yang selalu menghinanya. Seperti biasa, mereka bertanya kepada Muhammad Ismail dengan penuh sindiran dan sambil tertawa-tawa: “Dari mana kamu, wahai syeikh? Lama kita tidak bertemu.” Muhammad Ismail menjawab dengan tenang, “Dari Istanbul. Aku sudah meminta jawatan mufti seperti yang kamu suruh.” Beliau terus berjalan ke pejabat gabenor untuk menyerahkan surat pengangkatannya. Tidak lama kemudian dengan rasminya Muhammad Ismail menjawat jawatan mufti Syria dan disambut dengan perayaan yang sangat mewah.

Moral : Usah takut akan celaan, sindiran dan cemuhan. Terimanya sebagai cabaran yang mesti dimenangi. Wallahuaklam.

 

Ustaz Umar M Noor

Sumber artikel daripada Majalah Gen Q Isu 3

 


 

Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas