Menu

 

A+ A A-

GAPAILAH KEMANISAN YANG TULEN

JUJUR itu perit di permulaan tetapi manis selamanya. Sedangkan bagi mereka yang khianat akan menikmati kemanisan sementara di permulaan tetapi derita selamanya. Sifat manusia itu pelupa kerana manusia dijadikan tidak sempurna. Justeru dalam kehebatan yang ada, pujian daripada orang sekeliling dan kepercayaan yang diperoleh, agak sukar dan perit untuk menghilangkan kesemua kehebatan tadi hanya untuk menunjukkan kita lemah, pelupa dan pelbagai lagi kekurangan yang lain.

Namun jika ia tidak dilakukan, yakni terus memilih untuk tidak jujur, hati selalu tidak tenang, lambat laun kelemahan kita akan diketahui juga. Hal ini menyebabkan kepercayaan seseorang terhadap kita mulai hilang, dipandang dan dikenali sebagai orang yang tidak jujur, dihina serta dikutuk oleh manusia dan Allah sepanjang hidup.

Walaupun Diboikot 50 Hari

Inilah yang berlaku kepada talam dua muka (golongan munafik) di Madinah yang memberi alasan kepada Rasulullah kerana tidak turut serta dalam peperangan Tabuk sekembalinya Nabi s.a.w. daripada peperangan tersebut. Nabi mendengar dan memaafkan mereka walaupun Nabi tahu mereka pendusta. Adapun ia tidak berlaku kepada bagi tiga orang sahabat yang tidak ikut serta berperang. Mereka ialah Ka’ab, Murarah, dan Hilal yang digelar sebagai ahli Badar yang tinggi kepercayaannya kepada Islam.

Bezanya, mereka jujur ketika memberi alasan tidak turut serta dalam peperangan Tabuk. Walaupun Nabi marah dan memboikot mereka selama 50 hari bersama seluruh sahabat yang lain, dan hari yang ke-40 pula diminta mengasingkan diri daripada isteri masing-masing, tetapi Nabi tetap mengiktiraf secara terang bahawa mereka adalah orang yang jujur.

Ya, adakala kita perlu menerima yang kita sudah tersilap langkah. Pengakuan memang perit tetapi ketahuilah ia tenang di hati, pasrah dengan kelemahan diri, dan tidak malu memohon maaf berserta penyesalan yang hakiki. Orang yang dipohon maaf tadi pasti akan lembut hatinya, memberi peluang kedua atas penyesalan yang sejati. Hubungan silaturahim tetap terjaga dan sejahtera tanpa rasa ditipu dan diperbodohkan.

Tanam Sifat Jujur

gapai 1Nah, tiga orang sahabat tadi akhirnya disanjung sepanjang zaman akan kejujurannya dan kehebatannya disebut-sebut menerusi surah al-Taubah ayat 117 hingga 119. Nabi s.a.w. senyum berseri bak bulan menyatakan ini hari paling bertuah sepanjang kamu lahir di dunia, seluruh sahabat yang memboikot tadi berkejaran mendapatkan si jujur, berpelukan mengucapkan tahniah dan melahirkan kegembiraan.

Disamping itu, Allah mengangkat martabat orang jujur selepas para nabi, dan sebelum para syuhada dan orang soleh. Masya-Allah tingginya erti sebuah kejujuran. Di satu pihak yang lain pula, Allah mengeji mereka yang tidak jujur tadi dan ditempatkan di dalam neraka jahanam. Allah s.w.t. menempelak golongan ini sebagai fasik seperti maksud surah al-Taubah ayat 95-96. Mampukah kita mendepani azab neraka diakhirat dan digelar fasiq oleh insan di sekeliling kita? gapai

Sudah tentu pedih, bukan? Hubungan akan berantakan dan retak, nama baik akan tercemar dalam lipatan sejarah insan-insan yang dikhianati,  kepercayaan akan hilang, serta menderita kerana dibenci manusia. Bahkan impak ketidakjujuran itu bukan sekadar daripada kawan-kawan kita, tetapi daripada Allah; Pentadbir sekalian alam!

Ayuh, mari tanamkan sifat jujur, dilihat jujur, menambah upaya untuk jujur dan menampakkan hasil sebuah kejujuran terhadap diri, ibu bapa, keluarga, masyarakat sekeliling, dan yang terpenting dalam kehidupan beragama kita. Carilah pahit dan perit yang membawa manis selamanya, bukannya manis yang palsu lagi sementara tetapi derita pahit selamanya.

 

 

 

Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin 

Sumber artikel daripada QEN-Q 10


 

Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin

Penceramah Personaliti TV

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas