Menu

 

A+ A A-

JANGAN SEKADAR MANTAP FIZIKAL

APABILA kita lapar, nasi dan lauk-pauk pasti dicari untuk mengisi perut yang berkeroncong. Begitu juga apabila dahaga, pantas sahaja minuman berais yang menguja dicapai untuk diteguk, semata-mata mengisi tuntutan dan keperluan fizikal. Bahkan diri akan memberontak apabila keperluan itu tidak dapat dipenuhi dan duit sedia dikeluarkan untuk memenuhi selera mata dan tekak itu.

Keperluan Unsur Roh

JANGAN SEKADAR MANTAP FIZIKAL 1Namun harus diingat, manusia terdiri daripada dua unsur yang besar iaitu roh dan jasad atau fizikal. Keperluan fizikal sentiasa dipenuhi dan dilayani, manakala keperluan roh selalu terabai kerana diabaikan. Sedangkan apabila ditanya keperluan antara jasad dan roh, hampir semua bersetuju bahawa roh lebih penting untuk diisi berbanding fizikal. Tanpa roh, terkulai dan menjadi bangkailah jasad itu. Ini bermakna, jasad seseorang itu (akhlak dan tingkah lakunya) bergantung pada kewujudan dan kekuatan rohnya. Namun, roh ini selalu meronta-ronta kelaparan, menjerit-jerit kehausan, memberontak dan lemah kerana tidak diberikan makanan dan minuman sepertimana keperluan fizikal dipenuhi.

Untuk memberi daya tenaga dan makanan kepada roh dan jiwa yang kosong, perlu diketahui jenis makanan dan keperluannya. Jiwa ‘mat rempit’, penagih, penzina dan peminum arak turut berkehendak perkara yang sama, bukan sekadar ‘mat skema’, tok imam dan para ustaz dan ustazah sahaja. Jiwa secara fi trah berkehendak melakukan perkara yang betul, bukan penyelewengan. Jiwa dan roh juga berkehendak kepada sesuatu yang bersifat ritual dan pengabdian pada Sang Pencipta. Dan jiwa juga mendamba meninggalkan legasi dan jariah yang boleh dimanfaatkan oleh manusia walaupun setelah ketiadaan kita di dunia fana ini. Justeru, inilah makanan yang diabaikan dan sengaja diabaikan sehingga menyebabkan jiwa dan diri kita terlantar di wad ICU. Parah menanti rebah!

Ubat Jiwa

Namun, setiap penyakit ada ubat dan penawarnya, setiap masalah ada penyelesaiannya. Segalanya bergantung pada kita untuk memilih dan mengambil ubat untuk kebah atau membiarkan diri kian parah. Pilihan fitrah adalah pilihan untuk baik dan kebah. Justeru, walaupun ia bersifat ubat yang pahit dan menyusahkan, tetapi ia membuahkan hasil yang positif setelah mujahadah melazimi ubat tersebut. Itulah tamsilan kepada sebuah penawar jiwa yang kosong.

Kita mulakan dengan bersifat jujur dengan diri sendiri dalam pilihan yang kita buat setiap hari, adakah ia betul menurut kata iman yang sentiasa benar atau kita memilih sebuah penyelewengan? Kalau ini pun kita gagal mengesannya, benarlah jiwa dan roh kita cacat dan parah. Tidak tahu membeza yang mana hak dan batil, buta dalam menilai yang mana baik dan buruk.

Hidup adalah untuk membuat pilihan, daripada celik mata hingga tidur kembali, tidak lepas daripada membuat pilihan. Pilihan untuk bangun solat Subuhberjemaah atau terus tidur hingga naik matahari, pilihan untuk solat dengan khusyuk atau bak burung mematuk padi, pilihan untuk berzikir selepas solat atau bergegas untuk urusan dunia, pilihan untuk bersedekah di tabung Jumaat atau membiarkan tabung berlalu di hadapan mata, memilih untuk berpuasa sunat, atau makan saban hari, memilih untuk menambah ilmu dengan membaca dan menghadiri kuliah agama atau melayari Internet dan melayan rancangan realiti TV yang menggoda!

Turutkan Pilihan Fitrah

Pilihan fitrah membuatkan jiwa terubat walaupun pahit pada permulaannya. Jiwa terus mahu diubati dan mengembara mencari penawar yang lebih berkesan dengan memberi dan mengusahakan sesuatu yang bermanfaat kepada orang lain. Nama akan disebut-sebut, kebaikan dijajakan di sana sini, ilmu diwarisi dan diulang cetak untuk disebar luas walaupun setelah ketiadaan kita di dunia yang fana ini.

Apakah agaknya ya? Ya, kongsikan kemahiran dan potensi yang ada pada diri. Tulislah untuk dimanfaatkan, ajar dan didiklah orang lain untuk disebarluaskan ilmu dan potensi itu, korbankan tenaga untuknya, sumbanglah idea dan realisasikannya di kampung dan taman kita. Kembangkan potensi original kita melalui jaringan Facebook dan rakan taulan, wakaf dan sedekahkan harta untuk badanbadan jariah, dan akhirnya kita mampu mengubatinya. Jiwa pun akan terubat, kenyang, tidak kosong dan sunyi. Barulah ‘mantop’!

 

Haji Mohd Zamri Hj Mohd Zainuddin

     Sumber artikel daripada Majalah GEN-Q Isu 09

 


 

Ustaz Mohd Zamri Mohd Zainuldin

Penceramah Personaliti TV

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas