Menu

 

A+ A A-

KEMUSYKILAN SOLAT WITIR

Ditulis oleh 

Maksud Solat Witir

APA yang saya tahu solat tarawih bermaksud solat “rehat”. Jadi apa pula maksud solat witir?

Jawapan:

Dari segi bahasa: Witir atau watir bermaksud bilangan yang ganjil seperti satu, tiga dan lima (Lisan al-Arab). Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah itu witir dan Dia suka kepada yang ganjil.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dari segi istilah: Ia bermaksud solat yang dilakukan selepas solat Isyak hingga terbit fajar dan diakhiri solat malam dengannya.

Ia dinamakan demikian kerana dilakukan dalam jumlah rakaat yang ganjil iaitu sama ada satu rakaat, tiga, lima atau seterusnya. Sekali-kali tidak boleh menggenapkan bilangan rakaatnya.

Ulama berbeza pendapat tentang hakikat solat witir. Adakah ia sebahagian daripada solat malam (tahajud) ataupun tidak.

Imam al-Nawawi dalam al-Majmu’ (jil. 4, hlm. 480) mengatakan bahawa ia sebahagian daripadanya. Begitulah yang dinukilkan dalam al-Um dan al-Mukhtasar.

Manakala sebahagian ulama Syafi‘i mengatakan sebaliknya.

kemusykilan-solat-witir-1

Pelbagai Cara Solat Witir

Saya masih keliru tentang cara sebenar mengerjakan solat witir. Ada masjid, imamnya yang melakukan solat witir dengan tiga rakaat sekali salam. Manakala imam di masjid lain pula melakukannya dengan dua kali solat iaitu solat pertama sebanyak dua rakaat dan solat kedua satu rakaat.

Jawapan:

MUKADIMAH: Sebenarnya ada beberapa cara melakukan solat witir yang dibincangkan oleh ulama. Kesemua pendapat tersebut kita rai dan hormati.

Secara umumnya boleh kita kategorikan kepada tiga:

Solat witir dengan satu rakaat.

Solat witir dengan tiga rakaat.

Solat witir dengan lebih daripada tiga rakaat.

HURAIAN:

1 Solat witir dengan satu rakaat.

Para ulama bersepakat bahawa boleh melakukan solat witir biarpun dengan satu rakaat sahaja.

2 Solat witir dengan tiga rakaat.

Terdapat tiga cara yang boleh dilakukan:

2a Melakukan solat sebanyak dua kali.

Solat pertama sebanyak dua rakaat dan salam. Kemudian disusuli dengan solat satu rakaat dan salam. Cara ini menurut mazhab Syafi‘I dan Hanbali. Mereka berpendapat menceraikan rakaat lebih baik daripada menyambungnya kerana ada penambahan salam dan selainnya. Ini berdasarkan hadis daripada Ibn Umar r.a.: “Adalah Nabi s.a.w. menceraikan antara rakaat genap (dua rakaat) dan witir (satu rakaat) dengan salam.” (Riwayat Ahmad)

2b Melakukan solat tiga rakaat sekali gus dengan satu salam tanpa duduk tahiyat awal pada rakaat kedua.

Bagi mazhab Syafi‘i dan Hanbali, cara ini lebih utama daripada cara yang berikutnya (cara ketiga). Mereka berhujah dengan hadis Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Baginda melakukan solat sunat witir lima rakaat, Baginda tidak duduk tahiyat melainkan pada rakaat akhir.” (Riwayat Muslim)

2c Melakukan solat tiga rakaat sekali gus dengan satu salam disertai duduk tahiyat awal pada rakaat kedua.

Cara ini seperti solat fardu Maghrib. Cuma bezanya, pada rakaat ketiga dalam solat witir dibacakan surah selepas al-Fatihah. Cara ini khusus bagi mazhab Hanafi. Manakala ulama Syafi‘i berpendapat bahawa cara ini diharuskan berserta makruh kerana menyerupai solat fardu Maghrib.

3 Solat witir dengan lebih daripada tiga rakaat

Cara ini dibolehkan menurut mazhab Syafi‘i dan Hanbali. Bagaimanapun ulama Syafi‘i berpendapat bahawa menceraikannya dengan satu salam pada setiap dua rakaat adalah lebih afdal.

Ini berdasarkan riwayat Aisyah yang bermaksud: “Nabi s.a.w. solat antara selepas selesai solat Isyak hingga fajar sebanyak 11 rakaat. Dan Baginda memberi salam pada setiap dua rakaat serta melakukan solat sunat witir dengan satu rakaat.” (Riwayat Muslim)

Manakala ulama Hanbali pula berpendapat sekiranya seseorang itu ingin melakukan solat sunat witir sebanyak lima atau tujuh rakaat, dia hendaklah menyambungkan kesemuanya tanpa duduk tahiyat melainkan pada rakaat terakhir.

Ini berdasarkan hadis Ummu Salamah r.ha.: “Rasulullah s.a.w. melakukan solat sunat witir sebanyak lima dan tujuh rakaat. Baginda tidak menceraikan antaranya dengan salam.” (Riwayat al-Nasa’i)

Hukum Solat Sunat Lain Selepas Solat Witir

Sekiranya seseorang itu telah melakukan solat sunat witir selepas solat sunat tarawih, bolehkah dia mengerjakan solat-solat sunat yang lain sekiranya dia bangun pada tengah malam?

Jawapan:

RINGKASNYA: Boleh, namun ada caranya.

HURAIAN: Terdapat dua cara yang dibincangkan oleh ulama:

1 Terus melakukan solat sunat lain tanpa perlu solat witir selepas itu.

Ini ialah pandangan umum mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali. Pandangan ini juga masyhur dalam kalangan ulama Syafi‘i. Mereka berhujah dengan hadis Nabi s.a.w.: “Tidak ada dua witir dalam satu malam.” (Riwayat al-Tirmizi)

2 Menggenapkan solat witir terlebih dahulu dengan melakukan solat witir satu rakaat yang baru. Selepas itu, bolehlah dia solat sunat yang lain. Kemudian diakhiri dengan solat witir satu rakaat.

Pandangan ini dinyatakan oleh sebahagian ulama Syafi‘i. Hujahnya hadis Nabi yang bermaksud: “Jadikanlah akhir solat kamu pada waktu malam dengan satu witir.” (Riwayat al-Bukhari, al-Majmu’, jil.4, hlm. 16)

RUMUSAN: Daripada penerangan ini, jelaslah bahawa solat sunat witir boleh dilakukan dengan pelbagai cara. Ia boleh dilakukan secara sendirian mahupun berjemaah. Sebarang perbezaan pendapat, kita rai dan hormati. Namun lebih baik kita mendahulukan mazhab Syafi‘i supaya tidak timbul kekeliruan dalam kalangan orang awam.

 

Fuad Ismail
Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.4


Read 27941 times
Fuad Ismail

Sarjana Muda Syariah di Universiti Al-Bayt, Jordan. Berpengalaman dalam bidang penulisan buku-buku agama dan bahasa Arab untuk sekolah rendah agama (SRA), KAFA, j-QAF dan untuk sekolah menengah. Kini menjawat jawatan sebagai Editor di Telaga Biru Sdn. Bhd.