Menu

 

A+ A A-

MENJEJAKI CAHAYA DI BELANTARA

10 JUN 2007, AHAD:

Misi Kemanusiaan Orang Asli kali ketiga ini terdiri daripada sebuah bas persiaran yang membawa 44 orang sukarelawan dan tiga buah kenderaan pacuan 4-roda. Kami bertolak dari perkarangan Masjid Jamek Kajang jam 8.00 pagi selepas sarapan yang disediakan oleh pihak masjid. Kami flag-off dengan ucapan ringkas dan bacaan doa oleh Nazir Masjid Jamek Kajang, Dato Yaser Jaluli. Konvoi meluncur laju menuju Lebuh raya Karak.

Destinasi:Kampung Orang Asli Merbau, daerah Maran, Pahang. Sukarelawan terdiri daripada siswa siswi UKM, KUIS, UPM, Institut Perguruan Islam Bangi dan ahli Persatuan Belia Sri al-Ain (BerSAMA), sebagai NGO penganjur. Konvoi tiba di bandar Maran yang dikenali sebagai Bandar Ayam Kampung (agak melucukan). rombongan dijamu makan tengah hari secara bufet di Maran Golf resort yang terletak di atas bukit oleh wakil rakyat DUN Luit, Y.B. Dato Munawar Jalil.

Selepas makan kami singgah solat Zuhur dan Asar Jamak Takdim di Masjid Bandar Maran. Lepas solat perjalanan diteruskan. Konvoi menyusuri jalan kampung yang berliku-liku dan sempit, melalui hutan belantara, sungai dan kawasan paya. Kelihatan tanda nama Kampung Bak-Bak, Kampung Meragis, ladang felda dan akhirnya sampai ke destinasi kami, Kampung Merbau.

Ketibaan kami disambut oleh Tok Batin Omar bin Kilau serta anak buahnya. Kami terus disambut dalam Majlis Perasmian — siap dengan khemah dan pentas besar.

Perasmian disempurnakan oleh ahli Parlimen Maran, Y.B. Dato’ Ismail Hj Mutalib. Dalam ucapannya, antara lain Tok Batin memberitahu Kampung Merbau ini diteroka oleh kaum Asli sejak tahun 1972, dengan bila ngan penduduk pada masa itu seramai 15 orang sahaja. Hari ini penduduknya telah meningkat 25 keluarga seramai 120 orang. Mereka terdiri dari suku Semaq Beri dari Kuala Sungai Pahang.

kembara 2

Semuanya Murtad

Majlis perasmian berakhir dengan penyerahan anak angkat kepada keluarga angkat masing-masing. Maka bermulalah perjuangan pahit getir kami selama empat hari hidup dalam hutan belantara negeri Pahang itu dengan satu misi: Memahami hati budi orang Asli di kampung ini yang pernah memeluk Islam kira-kira 10 tahun yang lalu, tetapi pada hari ini cuma tinggal dua orang sahaja yang masih mengaku dan mengamalkan ajaran Islam. Yang lain semuanya sudah murtad! Sebuah surau yang dibina dahulu kini sudah ditumbuhi lalang, setinggi orang berdiri.

Tok Batin Omar dan sebahagian besar anak buahnya bercakap menggunakan loghat orang Pahang Hulu dan lazim menggunakan istilah Islam seperti memberi dan menjawab salam. Perkataan insya-Allah dan alhamdulillah meniti di bibir mereka, namun mereka tidak lagi mengaku beragama Islam. Nama-nama mereka semuanya nama Islam, lengkap dengan bin dan binti, bukannya menggunakan “anak lelaki” (a/l) atau “anak perempuan” (a/p). Ada yang masih berpuasa dalam bulan ramadan. Tok Batin sendiri memakai baju Melayu ala-raihan dan pernah berulang solat Jumaat di Masjid Bandar Maran. Sekarang semuanya tinggal kenangan. Kami bertanya kepada Tok Batin Omar, “Kenapa Tok Batin tak kekal memeluk Islam?” Jawabnya, “Kita ikut anak-anak buah kita. Kalau tidak mereka akan buang kita.”

Hari ini kalau seorang insan murtad di Putrajaya, seluruh negara sibuk berdemonstrasi.

Bagaimana dengan 120 orang yang murtad di tengah belantara negeri Pahang ini? Hari beransur petang. Sukarelawan mula memasak. Sepanjang misi kemanusiaan kami masak makanan kawah bergilir-gilir. Ada yang mencari kayu api dan ada yang mencari sayuran hutan seperti pucuk ubi, rebung, petai, jering, pucuk manis, jantung pisang dan pisang muda untuk dibuat lauk.

Cengkerik Bernyanyi

Malam melabuhkan tirainya. Matahari terbenam lebih awal dari yang kami jangkakan kerana hutan tebal. Cengkerik dan riang-riang hutan mula bernyanyi. Kami menghidupkan unggun api. Solat Maghrib berjemaah diadakan di tengah padang kerana surau tidak muat. Laungan azan bergema membelah belantara. Anak-anak orang Asli turut serta solat dan mengaminkan doa. Kem komandan kami ialah Majer (B) Alias Hamid, Presiden Kelab Komando 41. Beliau datang dengan beberapa orang dan ahli jawatan kuasanya. Suaranya sudah cukup mengecutkan perut sukarelawan. Agenda malam pertama ialah Malam Kebudayaan Deklamasi Puisi tentang kehidupan dan alam semula jadi bersama kaum peribumi.

Di samping para sukarelawan membaca puisi, anak-anak orang Asli turut naik ke pentas mendeklamasikan puisi. Tak kurang juga yang pandai berpantun dan bersyair. Sementara itu di sepanjang jalan Kampung Merbau peniaga-peniaga kampung Melayu berhampiran mengadakan pasar malam. Pada malamnya sukarelawan wanita tidur di surau sementara sukarelawan lelaki tidur dalam 10 buah khemah yang dipasang. Fajar hari kedua menyingsing cerah. Sukarelawan solat Subuh berjemaah di surau yang baru dihidupkan diikuti kuliah Subuh. Jam 7.00 pagi semua sukarelawan dan sebahagian penduduk kampung telah berkumpul di sekitar balai raya untuk acara senamrobik yang dipimpin oleh Majer Alias.

Lepas senamrobik kami sarapan pagi bersama sebahagian penduduk. Siang hari kedua diadakan aktiviti kesihatan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Maran dengan pameran, pemeriksaan kesihatan dan pergigian, bantuan makanan tambahan dan demonstrasi kebersihan. Anak-anak diajar kebersihan seperti mandi dan memakai pakaian bersih serta rawatan gigi seperti menggosok gigi dan mendapatkan rawatan gigi rosak. Seorang doktor gigi, Dr. Gurindu Kaur bertugas.

Pandai Baca al-Fatihah

Jam 11 pagi diadakan pelancaran Kelas Tadika raihan bertempat di balai raya sempena nama kumpulan nasyid terkenal tanah air, raihan, yang akan dating membuat persembahan konsert malam terakhir. 17 anak orang Asli yang berusia dari 4 hingga 6 tahun telah mendaftarkan diri untuk belajar. Mereka sangat berminat dengan buku, pensel dan krayon. Seorang ustazah dari kampung bersebelahan telah dilantik sebagai guru.

[Hari ini selepas 18 bulan anak-anak orang Asli sudah pandai membaca, menulis, mengira dan melukis. Malah ada yang boleh membaca al-Fatihah. –Penulis]

Selepas solat Zuhur berjemaah dan makan tengah hari diadakan pertandingan memancing antara sukarelawan dan kaum peribumi. Nampaknya semua para sukarelawan ketinggalan nombor corot. Ikan cuma kenal pancing kaum peribumi! Lepas pertandingan memancing kami mandi sungai beramai-ramai. Sukarelawan menyelam, memanjat pokok dan terjun ke dalam air seperti anak orang Asli juga. Maklumlah sekali sekala jumpa sungai. Jam 5 petang pula dilancarkan Kem Mesra Anakku untuk anak-anak kaum peribumi. Kem ini dipimpin oleh fasilitator dari Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) selama sehari semalam.

Dalam kem ini anak orang Asli dimandikan, disalin baju dan seluar dan diminyaki rambut. Mereka diajar membaca, menulis, mengira dan melukis. Mereka diajak bermain hingga ada anak-anak yang memanjat kepala abang dan kakak fasilitator. Apabila tiba waktu makan mereka diajar membaca doa dan makan dengan beradab. Agenda malam kedua ialah ceramah kemanusiaan. Seluruh penduduk kampung datang mendengar ceramah. ramai yang duduk di balik-balik pokok dan belukar – mendengar dari jauh kerana sifat malu mereka. Tanpa mengenal penat dan letih kami memulakan program night walk mulai jam 11 malam. Oh! Sungguh mencabar. Ada yang hilang cermin mata, tertinggal kasut dalam paya dan koyak baju. Yang penting kepuasan apabila program tamat. Jam 2 pagi baru selesai.

Digigit Pacat

Pagi hari ketiga, selepas sarapan pagi aktiviti jungle trekking pula diadakan dengan dipandu oleh trekker orang Asli. Kami merentas hutan, mendaki bukit, menuruni cerun, melintasi anak sungai dan mengharung kawasan paya. Tak kurang para sukarelawan yang cedera ringan, luka dikait duri pokok salak, kaki melecet dan digigit pacat. Kaum wanita orang Asli yang tidak mengikuti jungle trekking menghadiri kelas memasak yang dipimpin oleh seorang tukang masak yang didatangkan dari Muar. Selepas Zuhur pula diadakan demonstrasi survival dalam hutan, memburu, menjejaki tapak haiwan dan membina perangkap dan jerat binatang buas. Pertandingan menyumpit juga diadakan. Tok Batin menunjukkan kehandalannya menyumpit paling tepat.

Lepas Asar kumpulan raihan tiba bersama pengurusnya Hj. Mubbin dan sound engineer, Sam. Anak-anak orang Asli sudah mula berkerumun di pentas. Malam itu pasar malam bermula lebih awal daripada biasa. Malam ketiga ini ialah malam kemuncak dengan agenda Malam Kebudayaan Konsert raihan. Acara kemuncak ialah apabila raihan muncul. Selawat dan zikir memecah kesunyian hutan belantara Pahang. Sound dari speaker menggegar kampung. Mungkin binatang-binatang liar di hutan pun turut terhibur. Sampaikan Abang Burger turut naik ke pentas mendendangkan lagu 70-an.

Tok Batin Menari Sewang

Apabila sampai masa menari sewang mengikut lagu yang dinyanyikan raihan, ramai sukarelawan, anak-anak dan orang dewasa naik ke pentas menari sewang sambil memakai perhiasan pinggang dan kepala dari anyaman daun kelapa muda termasuk presiden persatuan, Puan rusnah dan Tok Batin. Hari keempat merupakan hari terakhir. Pagi-pagi lagi kami mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan sekitar tempat perkhemahan. Kumpulan chef mula masak untuk jamuan makan tengah hari dan majlis penutup. Misi kami berjaya membuat beberapa resolusi penting. Antaranya kami menubu kan tabung untuk membantu membina rumah penduduk yang terlalu uzur dan hampir tumbang.

[Hari ini, selepas 18 bulan berlalu, penduduk orang Asli Kampung Merbau telah mendapat 12 buah rumah batu baru 2 bilik dan bilik air di dalam yang dibina oleh kerajaan. Malah mereka turut mendapat sebuah perhentian bas yang canggih seperti perhentian bas di Kuantan, walaupun tidak ada perkhidmatan bas yang lalu di kampung itu. “Kadang-kadang kumpulan pendesak seperti NGO kami ini memainkan peranan penting,” bisik hati penulis.]

kembara 4

Usaha dakwah yang kami pelopori harus dipertingkatkan lagi kerana ada tanda-tanda mendapat tentangan hebat oleh sekumpulan keluarga orang Asli yang telah dipengaruhi oleh dakyah Kristian. Kumpulan mereka sentiasa memberi tekanan psikologi seperti memaksa anak-anak mereka supaya tidak turut serta dalam program yang kami anjurkan. Pada sebelah malam mereka akan mengedarkan minuman arak murah percuma kepada penduduk kampung. Kumpulan mereka ini mewah kerana menguasai ekonomi setempat seperti menyediakan perkhidmatan kedai runcit, kedai kopi dan membeli hasil hutan orang kampung seperti rotan, damar dan kayu gaharu.

NGO kami juga bercadang menubuhkan sebuah koperasi untuk orang-orang kampung menjual hasil hutan dan kraf tangan mereka. Selama ini hasil hutan mereka diraih oleh pemborong dari Kuala Lumpur yang menindas mereka dengan harga yang paling murah. Sebatang rotan yang dijual di Kuala Lumpur dengan harga RM1.50 – RM2.00 dibeli dari orang Asli dengan harga cuma 4 sen! Sebelum pulang kami telah “menghidupkan” surau— memasang karpet, memasang pembesar suara, memasang lampu, menyambung bekalan air yang sudah dipotong, membekalkan sejadah, al-Quran dan surah Yaasin, meracun lalang yang tumbuh liar di kawasan sekitar dan membaiki tandas dan dapur.

NGO kami juga dapat menggaji seorang guru agama sepenuh masa, Ustaz Mufarrid al-Hafiz. Di samping menghidupkan surau, mengajar anak-anak mengaji dan berkhidmat untuk penduduk kampung, beliau turut bermain sepak takraw dengan belia setempat pada sebelah petang. Dua orang remaja orang Asli dari Jerantut yang telah tamat berkursus di Pusat Tamadun Kaum Peribumi di Kuantan turut berkhidmat untuk masyarakat mereka. Beberapa keluarga orang Melayu di kampung bersebelahan turut menghidupkan solat berjemaah lima waktu. Kelas mengaji al-Quran untuk kanak-kanak bergema pada waktu senja.

Hadiah Seekor Kancil

Majlis Penutup disempurnakan oleh Pengarah Bahagian Perancangan, Jabatan Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, En. Mohd Nazir Don yang tiba bersama isteri dari Kuala Lumpur. Kami menghadiahkan satu set alat muzik yang terdiri daripada tiga buah gitar elektrik dan sepasang dram serta aksesori untuk digunakan oleh para belia orang Asli. Sebagai penghargaan Tok Batin menghadiahkan kami seekor kancil. Beliau berucap, “Harap janganlah buat lagi 3T kepada kami; Tebas, Tanam dan Tinggal.” Puan presiden memberi jaminan, “Insya-Allah kami Tebas, Tanam dan Tadbir.” Semua orang ketawa dengan seribu harapan. Sebelum berpisah ada ibu dan bapa angkat yang menangis serta berpelukan dengan anak-anak angkat mereka. Ada adik-adik angkat anak orang asli yang tak mahu berpisah – mahu ikut pulang ke Kuala Lumpur. Menjelang Asar bas sukarelawan melungsur perlahan meninggalkan Kampung orang Asli Merbau pulang ke Kuala Lumpur dengan tangis sayu dan lambaian tangan-tangan kecil, seolah-olah menggamit kami untuk datang lagi dan terus menyuluh mereka dengan sinar tauhid di tengah belantara Pahang Darul Makmur.¤

 

          Haji Muhammad Zakaria

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.4

 


 

Haji Muhammad Zakaria

Lulusan University of Tasmania dan University of Newcastle, Australia, berpengalaman sebagai pendidik, pensyarah, CEO kolej swasta, master trainer, kolumnis, penulis, editor dan usahawan. Beliau kini menjawat sebagai Pengerusi Yayasan Antarabangsa Sri al-Ain-Aceh, Presiden Persatuan Belia Sri al-Ain (BERSAMA), Timbalan Presiden Persatuan Usahawan dan Pengurusan Islam Malaysia (URUS) dan Mudir Tahfiz Sri al-Ain. Sering muncul di kaca tv sebagai perunding motivasi, antaranya TV3, RTM1 dan juga Radio Ikim.fm. Beliau juga sering ke luar negara mengetuai misi kemanusiaan, antaranya ke Aceh, Jakarta, Kemboja dan juga masyarakat orang asli.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas