Menu

 

A+ A A-

DAJAL KECIL DAN SIKAP KITA

DAJAL ialah gelaran yang diberikan kepada setiap orang yang sangat mahir berdusta dan menipu manusia untuk menjerumuskan mereka ke jurang kekafiran.

Hadis-hadis yang menceritakan tentang dajal sangat banyak sehingga mencapai darjat mutawatir. Semua riwayat berkenaan dengan hal ini menyebut bahawa dajal bukan hanya seorang, bahkan beberapa puluh orang. Semuanya mengaku sebagai nabi.

Rantaian dajal-dajal ini kemudian ditutup dengan Dajal Terbesar (al-Masih al-Dajal) yang tidak lagi mengaku nabi, malah mengaku sebagai Tuhan.

Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Tidak akan berlaku kiamat sebelum dibangkitkan 30 dajal pendusta hampir sebanyak 30 orang, semuanya mengaku utusan Allah.”

Hadis yang sama dengan hal ini diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Jabir bin Samurah, dan riwayat Abu Daud dan al-Tirmizi daripada Thauban.

Dalam sebuah hadis riwayat Imam Ahmad, al-Bazzar dan al-Thabarani daripada Huzaifah bin Yaman bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Dalam umatku ada para pendusta dan dajal sebanyak 27 orang. Empat antaranya perempuan. Aku penutup para nabi. Tidak ada nabi selepasku.”

Sanad hadis ini lemah, begitu juga hadis riwayat Abu Ya’la dan al-Tabarani yang menyebut bahawa bilangan dajal-dajal itu sebanyak 70 orang. Hadis yang menyebutkan bilangan sebanyak 30 orang, lebih kuat sanadnya.

Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban meriwayatkan daripada Samurah bin Jundab bahwa Nabi s.a.w. bersabda dalam khutbahnya setelah melakukan solat Gerhana Matahari berjemaah, “Demi Allah, tidak akan terjadi kiamat sebelum keluar 30 orang pendusta. Yang terakhir ialah dajal yang bermata satu (a’war), terhapus mata kirinya seperti mata Abu Yahya (atau Abu Tahya, orang tua daripada Ansar). Apabila keluar, ia akan mengaku sebagai Tuhan. Sesiapa yang mempercayai dan mengikutinya, maka tidak berguna amal ibadah yang ia lakukan sebelum itu. Dan sesiapa yang mendustakannya, maka ia tidak akan diseksa dengan amal perbuatannya sebelum itu.”

AKHIR ZAMAN - DAJAL KECIL DAN SIKAP KITA Umar M.Noor - SOLUSI 6 1

Dajal Kecil

Secara bahasa, dajal berasal daripada kata dajala yang bermakna “berbohong”, “menipu”, “menutupi” seperti “melapisi besi dengan emas”. Kata “dajal” merupakan bentuk hiperbola (sighat mubalaghah) daripada “dajala” untuk memberi pengertian sangat berlebihan dalam melakukan aktiviti kebohongan atau penutupan sesuatu dengan benda lain. Imam al-Azhari (seorang pakar bahasa Arab) berkata, “Setiap pembohong besar diberi gelaran dajal, jamaknya dajalun, sebab ia menutupi kebenaran dengan kedustaannya.”

Sebahagian ahli bahasa yang lain mengatakan bahawa sebab penamaan dajal adalah kerana ia memiliki pengikut yang sangat ramai sehingga mampu menutupi bumi dengan para pengikutnya. Sebahagian yang lain mengatakan bahawa penamaan itu kerana kemampuannya menutupi manusia dengan kekufuran. Ibn al-Manzur dalam Lisan al-Arab berkata, “Semua makna ini saling mendekati satu sama lain.”

Kita dapat menyimpulkan bahawa dajal ialah gelaran yang diberikan kepada setiap orang yang sangat mahir berdusta dan menipu manusia untuk menjerumuskan mereka ke jurang kekafiran. Kerana kemahirannya itu, dia berhasil menarik ramai pengikut yang mempercayai kata-kata dan ucapannya, lalu mematuhi semua perintahnya.

Al-Hafiz Ibn Hajar dalam Fath al-Bari berkata, “Hadis ini (tentang 30 orang dajal) tidak merujuk kepada setiap orang yang mengaku menjadi nabi. Sebab bilangan mereka tidak terhitung ramainya. Kebanyakan pengakuan ini lahir akibat kegilaan dan gangguan jiwa. Akan tetapi, hadis ini merujuk kepada para pengaku nabi yang memiliki kekuasaan dan Menciptakan kesamaran (dalam kalangan masyarakat).”

Saya pernah cuba mengumpulkan nama-nama para pengaku nabi sepanjang sejarah Islam. Hasilnya seperti mana ucapan Ibn Hajar: “Jumlah mereka sangat ramai.” Namun daripada sekian ramai pengaku nabi itu, sebahagiannya berhasil memperoleh popularity yang luas di negerinya bahkan berjaya menarik ramai pengikut dengan kemahirannya berdusta dengan cara yang menarik. Antaranya berupa sihir yang memukau, kemampuan meramal masa depan, kekebalan tubuh daripada senjata tajam, bahkan melalui propaganda politik seperti yang dilakukan al-Mukhtar bin Abi ‘Ubaid, yang akan dijelaskan. Mereka inilah yang disebut sebagai dajal-dajal kecil sebagaimana disebut dalam hadis.

Dajal pada Zaman Nabi s.a.w.

Beberapa dajal pernah muncul pada masa Nabi s.a.w. iaitu Musailamah al-Kazzab dan Aswad al-‘Ansi. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada Abu Hurairah bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Ketika tidur, aku (bermimpi) melihat dua gelang emas di tanganku. Kedua-duanya menyusahkan fikiran daku. Lalu diwahyukan kepadaku:

‘Tiuplah kedua-duanya.’ Aku lalu meniupnya, kedua-dua gelang emas itu pun terbang jauh. Aku mentakwil bahawa kedua-dua itu ialah dua orang pendusta besar setelahku; salah satunya al-‘Ansi dan yang lain ialah Musailamah.”

Musailamah bin Habib lahir di kota Yamamah. Ia pernah datang ke Madinah bersama kaumnya Bani Hanifah untuk menyatakan keislaman mereka di hadapan Rasulullah s.a.w. Setelah kembali ke Yamamah, Musailamah mengaku dirinya menjadi nabi dan mula membuat puisi-puisi untuk meniru al-Quran. Ia tetap mengakui Muhammad sebagai rasul Allah, namun pengakuan dirinya sebagai nabi ini merupakan pendustaan terhadap kenabian Rasulullah s.a.w. sebab Baginda pernah bersabda yang bermaksud, “Aku penutup para nabi. Tidak ada nabi selepasku.”

Oleh sebab itu, Rasulullah tegas menilai Musailamah (dan orang yang mengaku nabi setelahnya hingga hari kiamat) adalah pendusta.

Imam Ahmad, Ibn Hibban dan al-Hakim meriwayatkan daripada Abu Bakrah, katanya:

“Para sahabat Nabi s.a.w. membicarakan Musailamah al-Kazzab sebelum Nabi s.a.w. memberi apa-apa komentar. Baginda lalu berkhutbah di hadapan semua orang. Baginda memuji Allah lalu bersabda, ‘Kamu telah membicarakan hal lelaki ini. Sesungguhnya ia salah seorang pendusta daripada 30 pendusta yang keluar sebelum dajal.’”

Pengikut Musailamah semakin ramai setelah wafat Rasulullah s.a.w. sehingga dia berjaya menyebarkan pengaruhnya ke beberapa kota yang lain. Khalifah Abu Bakar segera mengutus pasukan yang dipimpin Khalid bin al-Walid untuk memerangi pendusta besar ini. Setelah hebat berjuang dan kehilangan 700 orang (70 orang antaranya ialah sahabat Nabi s.a.w.), pasukan Khalid berjaya mengalahkan tentera Musailamah. Dajal ini berjaya dibunuh oleh tombak Wahsyi dan dipenggal oleh pedang Abu Dujanah. Usia Musailamah pada waktu terbunuh mencapai 140 tahun.

Sementara itu, Aswad bin Ka’b al-‘Ansi muncul di kota San’aa, Yaman pada tahun 10 Hijrah (Rasulullah masih hidup). Sebelumnya dia ialah seorang bomoh (kahin) yang mampu melakukan pelbagai keajaiban dengan sihir dan silap mata (sya’wazah). Al-Zahabi berkata, “Ia didampingi syaitan yang selalu memberitahunya perkara-perkara ghaib.”

Kerana kemahirannya ini, Aswad kemudian mengaku menjadi nabi dan berhasil menarik ramai pengikut setia. Ia mengaku menerima wahyu melalui seorang malaikat yang mengenderai keldai. Popularitinya terus naik sehingga berjaya menguasai beberapa kota besar di Yaman seperti Najran dan Muzhaj setelah mengusir sahabat Nabi s.a.w. dari kota itu.

Dajal ini mati di tangan seorang sahabat Nabi s.a.w. yang bernama Fairuz al-Dailami pada bulan Safar tahun 11 Hijrah. Berita kematiannya diterima Rasulullah s.a.w. melalui wahyu ketika beliau dalam keadaan sakit tenat, sebelum wafat. Baginda amat gembira lalu bersabda, “Beruntunglah Fairuz.”

AKHIR ZAMAN - DAJAL KECIL DAN SIKAP KITA Umar M.Noor - SOLUSI 6 2

Dajal dalam kalangan Sahabat

Pada masa sahabat, dajal kecil ini kembali muncul dalam kalangan umat Islam. Kali ini, al-Mukhtar bin Abi ‘Ubaid al-Thaqafi Berjaya menyentuh hati umat Islam dengan kata-kata manisnya. Ia memulai dakwahnya dengan mengaku sebagai pembela keluarga (ahl albait) Nabi s.a.w., lalu menarik simpati umat dengan kempennya menuntut balas kematian Hussein cucu Rasulullah s.a.w. yang dibunuh dengan zalim.

Kempen itu terbukti membuahkan hasil yang besar, kerana kebanyakan kaum Muslimin sudah tentu mencintai keluarga Nabi s.a.w., sehingga ia telah menguasai Kufah dan membunuh Ubaidullah bin Ziyad, orang yang memerintahkan untuk membunuh Hussein. Keberhasilan ini memberanikan dirinya untuk kemudian mengaku menerima wahyu.

Sejak mengaku menjadi nabi, semua ulama mengecamnya. Antara lain Ibn Abbas, Ibn Umar dan Ibn Zubair (daripada kalangan sahabat), al-Ahnaf bin Qais, Ibrahim al-Nakha’i, Abidah bin ‘Amr dan lain-lain (daripada kalangan tabiin). Imam Ahmad meriwayatkan daripada Yusuf bin Mahran bahawa seorang laki-laki dari Kufah menceritakan kepada Ibn Umar tentang al-Mukhtar. Ibn Umar lalu berkata, “Jika kenyataannya seperti ucapanmu ini, aku pernah mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda: ‘Sebelum kiamat, akan datang 30 dajal pendusta.’” Abdullah bin Zubair (penguasa khilafah Islamiah pada waktu itu) berjaya membunuh dajal ini pada tahun 76H.

Beberapa puluh tahun kemudian, kes serupa kembali berulang di Kufah. Kali ini al-Mughirah bin Said mengaku menjadi nabi dan berhasil menarik pengikut dengan menggunakan cara yang digunakan oleh al-Mukhtar iaitu menjual keluarga Nabi s.a.w. Selain itu, ia juga seorang tukang sihir yang mengaku mampu menghidupkan orang mati. Al-Mughirah dan para pengikutnya kemudian dihukum mati oleh Khalid bin ‘Abdillah al-Qasri gabenor Iraq pada tahun 120H.

Berikutnya, sejarah menyaksikan dajal-dajal kecil terus bermuncul di pelbagai tempat dan masa. Pada tahun 235H, seorang dajal bernama Mahmud al-Naisaburi mengaku menjadi nabi juga sebagai Iskandar Zulkarnain di kota Samarra. Pada tahun 322H, lahir dajal lain yang mengaku menjadi nabi di Basind. Pada tahun 499H, lahir dajal yang lain di kota Nahawand. Pada tahun 720H, seseorang yang lain (bernama Abdullah al-Rumi) di kota Damaskus. Dan terakhir, pada tahun 1326H, Mirza Ghulam Ahmad yang mengaku nabi di Qadiyan, India, meninggal dunia.

Sikap Kita

Ruangan ini tidak cukup untuk menyebut semua dajal bersama kisah-kisah hitam mereka. Perkara yang lebih penting ialah bagaimana sikap kita dalam menghadapi dajal-dajal yang akan terus lahir sehingga Dajal sebenar datang nanti?

Jika kita perhatikan setiap kes yang berlaku dalam sejarah, kita akan melihat dua perkara yang sering berulang.

Pertama: setiap kali muncul nabi palsu, Allah sering membatalkan dakwahnya dan menyingkap kebohongan ucapannya.

Musailamah pernah meludahi sebuah perigi untuk memperbanyak airnya seperti yang pernah dilakukan Rasulullah s.a.w. Namun sebaliknya air di perigi itu menjadi kering. Dia juga pernah mencuba mengubati seseorang yang sakit salah satu matanya. Namun yang berlaku, mata yang sakit itu tidak jua sembuh, malah matayang sihat pula menjadi buta!

Ibn al-Athir bercerita dalam al-Kamil fi al- Tarikh mengenai seseorang mengaku menjadi nabi di Azerbaijan sekitar tahun 345H.

Dia mengharamkan pada dirinya memakan daging dan semua yang berasal daripada haiwan. Dia juga mengaku mengetahui perkara-perkara yang ghaib.

Suatu hari, seorang penduduk menjamunya makan lalu dalam diam dimasukkan minyak haiwan dalam makanan itu. Setelah selesai makan, orang itu bertanya kepada ‘nabi’ tersebut, “Bukankah kamu mengharamkan daging dan semua yang berasal dari haiwan, dan kamu juga mengetahui yang ghaib?” Ia menjawab, “Ya.” Orang itu berkata, “Pada hari ini, aku telah memberimu makanan yang dimasak menggunakan minyak haiwan. Mengapa kamu tidak tahu?”

Sejak peristiwa itu, semua orang meninggalkannya.

Kedua: Setiap kali nabi palsu muncul, orang awam yang jahil atau yang kurang berpengetahuan sering menjadi korban.

Orang awam sebegini memang mudah terpedaya melihat sesuatu yang aneh, sehingga Akhirnya akan termakan oleh kebohongan si pelaku. Sementara para cerdik pandai yang menggunakan akal fikiran, boleh menyingkap kedustaan dajal-dajal ini. Orang yang berilmu tidak akan tertipu dengan kebohongan dajal walau seindah mana pun kebohongan itu dinyatakan.

Seorang nabi palsu pada masa Khalifah Abdul Malik bin Marwan yang bernama al-Harits bin Said, dihukum mati dengan ditusukkan tombak kepadanya. Akan tetapi tombak itu tidak dapat melukai tubuhnya sedikit pun. Orang awam yang menyaksikan hal itu ada yang berkata, “Ia benar nabi. Sebab senjata tidak dapat melukainya.” Seorang pemuda segera mengambil tombak itu lalu menyebut nama Allah dan menusukkan semula ke tubuh Harits. Kali ini tombak tersebut menembus tubuhnya dan matilah dajal ini.

Imam al-Sakhawi dalam al-Durar al- Kaminah bercerita mengenai al-Hafiz Abu Ja’far al-Andalusi (wafat 708H) yang berjaya menangkap al-Fazzazi, tukang sihir yang mengaku nabi di kota Granada. Ketika hukuman mati dijalankan, ternyata tubuhnya tidak lut oleh apa jua senjata. Abu Ja’far segera berkata, “Buka bajunya.” Mereka mendapati tulisan-tulisan tertentu pada tubuhnya. Abu Ja’far segera menghapuskan tulisan tersebut. Juga ditemui sebuah batu nipis di bawah lidahnya, lalu segera dibuang. Tidak lama kemudian, kepala al-Fazzazi terpenggal jua oleh pancungan pedang.

Langkah-langkah Proaktif Masyarakat dalam Menangani Dajal Kecil

Para intelektual yang terdiri daripada para ulama dan cerdik pandai Islam, berkewajiban menjaga akidah umat dan melawan dajal-dajal kecil ini. Tugas ini boleh dilakukan dengan berbagai cara:

Ambil berat setiap masalah pendustaan akidah dalam masyarakat, Setiap masalah pendustaan akidah yang terjadi dalam masyarakat Islam hendaklah segera ditangani.

Kita patut meneladani sikap Rasulullah s.a.w. ketika mendengar berita tentang nabi-nabi palsu pada masanya. Al-Safadi dalam al-Wafi bi al-Wafayat meriwayatkan daripada Ibn Abbas, katanya: “Nabi s.a.w. memerangi al-Aswad, Musailamah dan Thulaihah dengan utusan-utusannya. Sakit kuat (yang sedang diderita) tidak menghalang Baginda untuk melaksanakan hukum Allah dan membela agama-Nya.”

Dalam sebuah hadis riwayat Abdullah bin Ahmad bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Tidak akan keluar dajal sebelum semua manusia tidak lagi menyebutnya dan sebelum semua imam tidak lagi menceritakannya di atas mimbar (Jumaat).” Namun salah seorang perawi hadis ini Baqiyyah bin al-Walid dikenal lemah.

Punyai Kemahiran dan Keberanian

Kita mesti memiliki kemahiran serta keberanian menyingkap pembohongan yang dihias indah itu. Ibn Hajar bercerita dalam al-Isabah fi Tamyiz al-Sahabah bahawa Zabyan bin Sa’ad (seorang sahabat Nabi s.a.w.) berkata dengan tegas kepada Thulaihah bin Khuwailid yang mengaku sebagai nabi: “Kamu hanya seorang bomoh yang kadangkala benar ucapannya dan kadangkala keliru. Datangkan bukti seperti al-Quran jika kau benar. Jika tidak, tinggalkanlah kami.”

Serius

Ini yang terpenting, yakni mesti serius berusaha menghapus kejahilan dan menyebarkan ilmu dalam kalangan masyarakat awam agar tidak lagi mudah tertipu oleh para pembohong profesional ini.

Ilmu adalah senjata utama dan terpenting dalam memerangi dajal-dajal kecil ini. Dan setiap individu Islam mesti membekalkan dirinya dengan senjata ini untuk menjaga akidahnya agar tidak dirosakkan oleh dajal.

Bukankah Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang menghafal sepuluh ayat dari awal (dalam riwayat lain: akhir) surah al-Kahfi, maka ia akan terpelihara daripada fitnah dajal.” (Riwayat Muslim daripada Abu Darda)

 

 Ustaz Umar Muhammad Noor

Sumber artikel daripada majalah Solusi 6


Umar Muhammad Noor

Lahir di Bekasi, Indonesia. Lulusan B.A. Usuluddin (TafsirHadis) dari UIN Syarif Hidayatullah, Jakarta dan Sarjana Usuluddin (Hadis) di Universiti Omm Durman, Sudan. Berpengalaman belajar daripada ulama-ulama Damaskus, Syria dari 2002-2008. Kini sebagai pensyarah Usuluddin dan Syariah di Kolej Marsah, Johor Bahru.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

  

 

Kembali ke atas