Menu

 

A+ A A-

WAJIB KEMBALI KEPADA SYARIAT DAN HUKUM ISLAM

Dr. Wahbah alZuhaili berkata, fiqah Islam pernah menjadi kebanggaan dan mesti mendapat penghormatan dalam kalangan sistem undang-undang di dunia ini. Ianya merupakan sebaik-baik gambaran praktikal kepada umat Islam, iaitu berjaya memenuhi tuntutan manusia dalam semua aspek peraturan dan undang-undang yang berkaitan perkataan, perbuatan, dan tingkah laku.

Ia mengatur peraturan hidup mereka. Melalui fiqah Islam ini, tersebarlah kebenaran dan keunggulan hukum alQuran dan sunnah Nabi. Dengannya terlaksanalah tujuan suci dan matlamat utama agama yang mulia ini, kerana apa jua prinsip yang dibawa oleh Islam sama ada akidah yang benar, ibadah yang sempurna atau muamalah yang betul lagi lurus pada hakikatnya, kesannya itu bertujuan melaksanakan matlamat pendidikan Islam yang berfungsi memperbetulkan urusan perhubungan dan pekerti mulia masyarakat.

 Fiqah dalam erti kata yang luas ialah mengenal diri dengan perkara yang patut dan wajar serta apa yang tidak patut dan tidak wajar. Fiqah dalam erti kata yang sempit termasuklah hukum syarak yang praktikal.

Semua ini merupakan terjemahan lengkap dan tepat kepada syariat Islam dan metodologinya. Dalil Kewajipan Kembali Kepada Syariat Islam Terdapat banyak dalil yang terdapat dalam alQuran dan hadis yang menggesa umat Islam supaya berhukum dengan hukum syariat.

Antaranya termasuk:

1. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Maka demi Tuhanmu (wahai Muhammad)! mereka tidak disifatkan beriman sehingga mereka menjadikan engkau hakim dalam mana-mana perselisihan yang timbul antara mereka, kemudian tidak pula berasa di hati  mereka sesuatu keberatan daripada apa yang telah engkau hukumkan, dan mereka menerima keputusan itu dengan sepenuhnya.” (Surah al-Nisa 4: 65). Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menyebut, Allah s.w.t. bersumpah dengan sifat Rububiyyah-Nya yang ditujukan kepada Rasul-Nya bahawa orang yang tidak suka berhakim kepadanya di samping orang munafik yang disebut itu, adalah yang tidak benar imannya, bahkan hanya dengan pengakuan sahaja.

Iman itu benar jika memenuhi tiga syarat:
 
Mahu berhakim kepada Rasulullah s.a.w. dalam segala yang diperselisihkan dan tidak diketahui ketetapan hukum yang sebenarnya. Tidak merasa keberatan atas ketetapan yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. Iaitu mereka menerima ketetapan itu dengan sepenuh hati sehingga tiada timbul keberatan untuk melaksanakannya. Ini disebabkan orang Mukmin yang sempurna imannya berlapang dada untuk menerima ketetapan hukum Rasulullah s.a.w. sebelum ia diputuskan. Yakin keputusan Baginda pasti benar dan menerimanya bererti menerima kebaikan daripadanya.

Patuh dan pasrah terhadap keputusan yang telah diambil oleh Baginda, kerana sering kali juga manusia itu tahu bahawa keputusan hukum yang telah dijatuhkan itu adalah benar, namun mereka tetap berusaha untuk mengelak serta mengingkari-Nya atau bersikap bimbang.

2. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah (kerana mengingkarinya), maka mereka itulah orang-orang kafir” (Surah al-Maidah 5: 44).

Syeikh al-Maraghi dalam tafsirnya menyebut, barang siapa membenci hukum berdasarkan firman Allah s.w.t. yang diturunkan dan menyembunyikannya, lalu dia mengambil hukum yang lain, seperti orang Yahudi yang menggantikan hukum rejam yang dikenakan terhadap penzina yang sudah bersuami atau beristeri dengan hukuman mukanya dicoreng-moreng dengan arang, lalu hukuman rejam yang sebenarnya mereka sembunyikan, atau dalam menjalankan hukuman terhadap pembunuh yang satu dikenakan denda penuh tetapi yang lain setengahnya. Padahal Allah s.w.t. menetapkan persamaan hukum bagi semua orang.

Oleh sebab tindakan mereka yang seperti itu, maka mereka adalah orang yang kafir, iaitu orang yang menutup apa yang seharusnya mereka ungkapkan dan jelaskan kepada manusia, tetapi mereka sembunyikan lalu mereka kemukakan yang lain dan mereka laksanakan hukuman lain.

Imam al-Razi menyatakan pendapat yang diambil daripada Ikrimah katanya:
“Orang yang menetapkan hukum selain daripada yang Allah s.w.t. turunkan dapat dikatakan sebagai kafir ialah jika orang itu mengingkari dengan hatinya secara pasti dan menyatakan penolakan dengan lisannya terhadap ayat-ayat Allah s.w.t. Tetapi orang yang masih mengakui bahawa hukum tersebut adalah hukum Allah s.w.t. lalu dia diajukan suatu hukum yang berlawanan dengan syariat Allah s.w.t. padahal dia seharusnya menetapkan hukum menurut ketentuan Allah s.w.t. namun dia meninggalkannya, maka orang seperti ini tidak termasuk ke dalam kategori perbincangan ayat ini.”

Ibn Jarir meriwayatkan daripada Abu Salih katanya: “Tiga ayat yang terdapat daripada surah al-Maidah ini, iaitu: “Dan sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t. dan seharusnya, mereka sedikit pun tidak dikira bersangkut dengan agama Islam, tetapi sebaliknya dinilai sebagai berkaitan dengan orang kafir.”

Daripada Sya’bi katanya: “Tiga ayat dalam surah al-Maidah ini, ayat pertama mengenai umat Islam, ayat kedua mengenai umat Yahudi dan ayat ketiga mengenai umat Nasrani.

3. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum Jahiliyah? Padahal kepada orang-orang yang penuh keyakinan tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih daripada Allah.” (Surah al-Maidah 5: 50)
Ibn Kathir dalam tafsirnya berkata, Allah menolak siapa yang menafikan hukum-Nya yang mengandungi kebaikan dan hukum yang melarang dari segala kejahatan. Sebaliknya mereka mudah terpengaruh pemikiran hawa nafsu dan istilah yang dibuat oleh manusia tanpa sebarang sandaran daripada syariat Allah sebagaimana ahli Jahilliah berhukum dengan kesesatan dan kejahilan berdasarkan pemikiran dan hawa nafsu mereka.

Terdapat juga hadis yang meminta manusia berhukum dengan hukum Allah. Antaranya:
Daripada Ibn Abbas r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda: “Manusia yang paling dibenci Allah ialah mereka yang mencari sunnah Jahilliah dan menumpahkan darah seseorang tanpa alasan yang dibenarkan Islam.” (Riwayat al-Bukhari)

Riwayat Huzaifah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Demi Allah yang jiwaku di tangan-Nya, kamu harus melakukan amar makruf dan nahi mungkar, jika tidak melakukan itu bererti sudah hampir Allah s.w.t. menurunkan seksa kepadamu, kemudian kamu berdoa maka tidak diterima oleh Allah lagi.”

Pemimpin Islam

Maulana Abi al-Hasan Ali al-Nadwi dalam Maza Khasaral Alam bin hitath al-Muslim berkata apabila umat Islam muncul memimpin dunia, mereka memecat umat palsu daripada kepimpinan umat manusia dengan penuh bijaksana dan adil. Mereka mempunyai rakyat yang sifatnya cukup melayakkan berada di bawah naungan dan pimpinan mereka.

Pertama: Para pemimpin Islam mempunyai al-Quran dan syariat yang diturunkan Allah s.w.t. Mereka tidak membuat undang-undang sendiri, kerana penggubalan undang-undang sendiri itu merupakan punca kesalahan dan kezaliman. Mereka tidak bertindak sembarangan dalam setiap ketika berinteraksi dengan manusia. Allah s.w.t. telah mengurniakan nur, yang membolehkan mereka berjalan dalam kebenaran. Allah s.w.t. mengurniakan syariat kepada mereka yang membolehkan mereka mengadili manusia. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud:
“Dan adakah orang yang mati (hatinya), kemudian Kami hidupkan dia semula, yang kemudian kami jadikan baginya cahaya (iman) yang membolehkan mereka berjalan dengan suluhan cahaya itu dalam masyarakat manusia, sama seperti yang tinggal tetap dalam gelap-gelita (kufur), yang tidak dapat keluar sama sekali daripadanya? Demikianlah yang ditunjukkan kepada orang-orang kafir berdasarkan apa yang mereka lakukan.” (Surah al-An’am 6: 122)

Firman Allah s.w.t. lagi yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang yang menegakkan keadilan dan menjadi saksi kebenaran. Dan jangan sekali-kali kerana kebencian kamu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu tidak berlaku adil terhadap mereka. Berlaku adillah kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa. Dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (Surah al-Maidah 5: 8)

Kedua: Para pemimpin Islam yang memegang teraju pemerintahan dan kepimpinan tanpa mendapat didikan akhlak dan tanpa menjalani pembersihan jiwa seperti kebanyakan umat, individu dan pegawai pemerintah dahulu dan sekarang, tetapi mereka tinggal sekian lama di bawah didikan dan kepimpinan Nabi Muhammad s.a.w. yang membersihkan jiwa mereka, mengajar adab sopan kepada mereka dan melatih mereka dengan sifat-sifat zahid, warak, bersih hati, dan amanah. Mereka mementingkan kebajikan orang lain, takut kepada Allah s.w.t. dan tidak bercita-cita serta tamak untuk menjadi ketua.

Dalam hubungan ini, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya kami, demi Allah, tidak akan melantik seseorang ke jawatan ini (jawatan ketua) mereka yang memohonnya atau seseorang yang amat meminatinya.”

Hal ini kerana mereka maklum firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Negeri akhirat itu, Kami sediakan untuk mereka yang tidak berkehendakkan ketinggian (jawatan tinggi) di muka bumi dan tidak inginkan kerosakan. Dan kesudahan yang baik itulah impian orang yang bertakwa.” (Surah al-Qasas 28: 83)

Justeru, mereka tidak berlumba-lumba untuk merebut jawatan, apatah lagi untuk mencalonkan diri mereka kepada jawatan ketua, atau menonjolkan kebaikan diri, atau berkempen untuk menaikkan diri masing-masing.

Dan jika mereka dilantik kepada jawatan pegawai atau pemerintah, mereka tidak menganggapkan jawatan itu sebagai satu keuntungan atau perolehan hasil pengorbanan usaha, tenaga dan harta mereka, malah mereka anggap ianya sebagai satu amanah yang diletakkan di atas bahu mereka dan sebagai suatu ujian Allah s.w.t. Mereka sedar bahawa mereka akan di bawa ke hadapan Allah s.w.t. dan bertanggungjawab kepada-Nya dalam semua urusan pentadbiran baik yang kecil mahupun yang besar.

Mereka sentiasa teringat kepada firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhan-Nya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.” (Surah al-Nisa’ 4: 58)

Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud: “Dan Dia-lah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu daripada sesetengah yang lain beberapa darjat, kerana Dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya, dan sesungguhnya ia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah al-An’am 6: 165)

Ketiga: Para pemimpin Islam bukannya berkhidmat untuk kepentingan perkauman, mereka bukannya wakil suatu bangsa atau suatu negeri yang berjuang untuk kemakmuran dan kepentingan bangsa dan negeri itu sahaja. Mereka juga tidak meletakkan bahawa bangsa dan negeri mereka sahaja yang mempunyai kelebihan mengatasi segala bangsa dan negeri lain untuk memerintah. Mereka tidak dilahirkan untuk membangun Empayar Arab yang mewah dan makmur supaya mereka boleh berlagak angkuh dan sombong di bawah naungannya dan mengeluarkan manusia dari penjajahan Rom dan Parsi kepada pemerintahan Arab.

Sesungguhnya mereka dilahirkan untuk mengeluarkan manusia yang menyembah sesama manusia kepada menyembah Allah Yang Tunggal seperti yang diucapkan oleh Rabi’ Ibn Amir di majlis Yazdajrad: Allah s.w.t. telah mengutus kami untuk menyembah Allah Yang Tunggal dan dari kesempitan dunia kepada keluasan akhirat, dan dari kezaliman agama kepada keadilan Islam.

Firman Allah s.w.t. yang bermaksud: “Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan berpuak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha mendalam pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu).” (Surah al-Hujurat 49: 13)

Anak Umar bin al-Khattab memukul seorang Mesir dan dengan berbangga pada keturunannya dia berkata, “Nah! Ambil ini dari seorang anak bangsawan!” Umar mengenakan hukuman pukul balas terhadap anaknya sambil berkata: “Bilakah kamu memperhambakan manusia, sedangkan mereka dilahirkan ibu mereka dengan keadaan merdeka?”

Mereka tidak memandang keturunan, warna kulit, dan negara apabila menghukum, memerintah dan menilai kelebihan, malah mereka laksana awan yang memayungi seluruh umat. Mereka juga laksana hujan yang mencurah ke atas bumi yang lembut mahupun yang keras, lalu dimanfaatkan oleh semua tempat dan manusia, mengikut kadar keperluan penerimaan masing-masing.

Keempat: Manusia itu dibina daripada jisim dan roh; yakni mempunyai hati, minda, perasaan, sentimen dan juga anggota. Justeru, manusia tidak akan berbahagia, berjaya dan mencapai kemajuan yang seimbang melainkan seluruh (kekuatan ini) subur dan berkembang seimbang. Tamadun yang baik tidak akan wujud kecuali manusia terdidik dalam persekitaran agama, didikan akhlak, didikan minda yang memungkinkan mereka mudah untuk mencapai kesempurnaan insaniah.

Jalan ini, jika sekadar pengalaman, tidak mungkin berlaku melainkan apabila teraju kepimpinan dan pentadbiran tamadun itu berada di tangan orang yang beriman Kejayaan itu nanti dapat menjadi contoh yang baik dalam kehidupan keagamaan dan akhlak serta mempunyai akal yang sejahtera dan bijaksana.

Keyakinan kepada Syariat Islam

Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami berkata, dia percaya, bahawa masa depan adalah untuk Islam, fiqah dan syariatnya, biar pun terdapat segolongan manusia yang berusaha menggagalkan rancangan atau usaha untuk memanfaatkan sistem Islam melalui undang-undang ciptaan manusia yang diimport. Saya sentiasa berusaha dan berhati-hati dalam menjelaskan hukum-hukum fiqah ini.

Beliau turut percaya bahawa usaha untuk menggagalkannya hanyalah satu reaksi sementara. Usaha itu tidak mempunyai asas yang kukuh dan tidak mendapat penghormatan dalam pemikiran kaum Muslimin. Ini dapat dibuktikan dengan lahirnya kesedaran yang nampak jelas sudah bermula sejak awal kurun ke 15H, iaitu kesedaran ingin melaksanakan kembali syariat Islam dalam segenap bidang.

Sebenarnya apa yang berlaku di negara Arab Saudi patut dicontohi oleh masyarakat negara lain yang inginkan keselamatan, keamanan dan keharmonian di dalam kehidupan seharian. Tindakan segera dan tegas yang berdasarkan kepada hukum-hukum Islam yang dijalankan oleh pihak yang bertanggungjawab di negara itu menyebabkan kadar jenayah yang berlaku menurun pada kadar yang jelas jika dibandingkan dengan apa yang berlaku di negara-negara lain.

Keberkesanan perlaksanaan pembalasan jenayah Islam begitu jelas perbezaannya antara negara yang tidak mengamalkannya dengan negara yang mengamalkannya. Apakah yang kita, sebagai penganut Islam takut dengan perlaksanaannya? Adakah takut dikatakan kolot kerana Islam sudah tua? Atau takut diri kita itu akan menjadi mangsa pertama perlaksanaannya? Atau takut kehilangan pengaruh kerana kita seorang tokoh politik? Atau kerana kita tidak yakin tentang kemampuannya dapat menyelesaikan masalah ummah?
Kata orang tua-tua: “Kalau mahu seribu daya, kalau tidak, maka seribu helah yang dicari.

 

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri
Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 7

 


 

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dilahirkan di Terengganu. Melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Madinah dalam bidang Syariah. Berpeluang belajar secara talaqqi dengan beberapa ulama tersohor di sana. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Jordan dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana (Masters) di Syria, seterusnya berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. Kini beliau bergerak secara bebas sebagai penulis. penceramah, penasihat agama dan pakar rujuk. Di samping itu, beliau ialah AJK Fatwa Terengganu (sejak 2005). Antara jawatan terkini beliau ialah ahli Panel Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji, ahli Panel Syariah dan Aqidah JAKIM dan ahli Panel Syariah Bank Muamalat. Beliau juga dikenali sebagai Muryid dalam rancangan al-Daurah di Radio IKIM.FM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

 

Kembali ke atas