Menu

 

A+ A A-

JENAYAH: SEBAB-SEBABNYA

PADA ruangan kali ini, penulis cuba mengemukakan sebab terjadinya jenayah dan kenapa seseorang berpotensi untuk melakukan jenayah.

Pertama: Hawa Nafsu

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Minhaj al-Abidin mencatat:“Kamu hendaklah mengawasi daripada nafsu amarah yang mendorong kejahatan kerana ia sebesar-besar musuh dan balanya paling sukar untuk dielakkan.” Justeru merawatnya amatlah payah, penyakitnya seburuk-buruk penyakit dan ubatnya pelbagai. Ini kerana nafsu mempunyai dua sifat iaitu musuh dalaman dan yang kedua sebagai musuh yang disukai. Hatta Imam al-Ghazali berkata, “Awal maksiat kepada Allah s.w.t. daripada iblis dan sebabnya selepas qadak yang terdahulu ialah hawa nafsu dengan takabbur dan hasad dengki.”

Firman Allah s.w.t. dalam surah Yusuf ayat 53 maksudnya: “Dan tiadalah aku berani membersihkan diriku; sesungguhnya nafsu manusia itu sangat menyuruh melakukan kejahatan.” Allah s.w.t. juga berfirman dalam surah al-Syams ayat 8 maksudnya: “Serta mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan, dan yang membawanya kepada bertakwa.” Ibn Asyur memahami kata alhamaha dalam erti anugerah Allah s.w.t. yang menjadikan seseorang memahami pengetahuan yang mendasar serta menjangkau hal-hal bersifat aksioma bermula dengan keterdorongan naluriah kepada hal-hal yang bermanfaat, seperti keinginan bayi menyusu, dorongan untuk menghindari bahaya, dan lain-lain sehingga mencapai tahap awal daripada kemampuan meraih pengetahuan yang bersifat aqliah.

Sayyid Qutub menulis bahawa daripada ayat-ayat di atas jelas pandangan Islam terhadap manusia dalam segala aspek. Manusia ialah makhluk dwidimensi dalam tabiatnya, potensinya dan kecenderungan arahnya. Ini kerana ciri penciptaannya sebagai makhluk yang dicipta daripada tanah dan hembusan roh Ilahi, menjadikannya memiliki potensi yang sama dalam kebaikan dan keburukan, petunjuk dan kesesatan. Manusia mampu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk, dia mampu mengarahkan dirinya menuju kebaikan atau keburukan dalam kadar yang sama.

Ibn ‘Atailah al-Sakandari menjelaskan dalam al-Hikam: “Asal semua maksiat, kelalaian dan syahwat ialah keredaan memuaskan hawa nafsu.” Syeikh Zarruq berkata: “Reda terhadap nafsu ada tiga tanda; melihat yang batil itu adalah baik (bagi nafsunya), suka akan yang batil serta mencari alasan logik supaya hatinya dan orang lain dapat menerima, iaitu dia melihat keburukannya sebagai baik dengan takwilan kerana dia mengetahui yang aib itu kemudian mendedahkannya sekalipun ia satu jenis daripadanya.”

jenayahsebab2bya

 

Kedua: Syaitan

Firman Allah s.w.t. dalam surah Yasin ayat 60 bermaksud: “Bukankah Aku telah perintahkan kamu wahai anak-anak Adam, supaya kamu jangan menyembah syaitan? Sesungguhnya ia musuh yang nyata terhadap kamu!” Imam al-Ghazali dalam Minhaj al-Abidin berkata: “Hendaklah kamu memerangi syaitan kerana dua perkara. Pertama, ia musuh yang nyata lagi jelas dan yang kedua kerana ia diciptakan untuk bermusuhan denganmu.”

Kata Yahya bin Mu’az al-razi: “Syaitan mempunyai masa lapang sedangkan kamu sentiasa sibuk. Dia melihat kamu sedangkan kamu tidak melihat dia. Kamu lupa kepadanya sedangkan dia tidak lupa kepadamu. Dan nafsumu membantu syaitan. Justeru semestinya kamu memerangi syaitan, jika tidak nescaya kamu binasa.”

Ketiga: Rakan Taulan

Hadis rasulullah s.a.w. bermaksud: “Manusia atas agama rakannya, maka lihatlah kamu siapa yang menjadi rakannya.” Pujangga berkata: “Kamu tidak perlu ceritakan siapa kamu, tetapi cukup terangkan siapa kawanmu, nescaya aku kenal siapa kamu.”

Terdapat riwayat bahawa Allah s.w.t. mewahyukan kepada Musa a.s. maksudnya: “Wahai Ibn Imran (Musa), jadilah kamu orang yang berwaspada dan carilah ikhwan (sahabat) bagi dirimu, dan setiap saudara dan kawan yang tidak menolong kamu untuk keredaan-Ku maka dia bagimu merupakan musuh dan penyebab kerasnya hatimu dan menjauhkanmu daripada-Ku.” Imam al-Ghazali menaqalkan syair gurunya: Zahirkan kebenaran dalam mencintai Allah Sama ada kamu bersama mereka atau berjauhan. Telitilah manusia berulang kali jika mahu, Nescaya kamu dapati mereka seperti kala jengking (yang akan membunuhmu).


Keempat: Dunia

Imam Ahmad bin Sahl al-Balkhi berkata: “Musuhmu yang sebenar ada empat iaitu:
1. Dunia. Senjatanya makhluk dan penjaranya uzlah.
2. Syaitan. Senjatanya kenyang dan penjaranya lapar.
3. Nafsu. Senjatanya tidur dan penjaranya berjaga malam.
4. Hawa (nafsu). Senjatanya bercakap dan penjaranya diam.”

Firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran, ayat 14-15 bermaksud: “Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak daripada jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang ternakan dan tanah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia dan di sisi Allahlah tempat kembali yang baik (syurga).”

“Katakanlah: ‘Inginkah Aku khabarkan kepadamu apa yang lebih baik daripada yang demikian itu?’ Untuk orang yang bertakwa (kepada Allah), pada sisi Tuhan mereka ada syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai. Mereka kekal di dalamnya. Dan (mereka dikurniakan) isteri-isteri yang disucikan serta keredaan Allah. Dan Allah Maha Melihat akan hambahamba- Nya.”

Imam al-Ghazali dalam kitabnya Minhaj al-’Abidin menyebut tentang penghalang ibadah, antaranya ialah dunia dan isinya. Apa yang dimaksudkan dengan dunia ialah semua yang bukan untuk akhirat. Untuk menyelamatkan diri daripada segala godaannya (rintangan), kita harus menjauhi dan memalingkan diri daripada dunia itu, iaitu jiwa dan raga tidak sepenuhnya hanya untuk mencari dunia.

Kedua-dua dunia dan isinya akan menghalang seseorang daripada beribadah, sebab perhatiannya hanya satu iaitu dunia. Jika seseorang telah disibukkan oleh suatu urusan, maka ia akan memutuskan urusan yang lain. Dunia dan akhirat diibaratkan sebagai timur dan barat. Jika mengarah kepada salah satunya, tentu kita akan berpaling dari yang satu lagi. Jika kita menghadap ke barat, tentu kita akan membelakangi arah timur dan begitulah sebaliknya.

Ada orang berpendapat mengimbangi dunia dan ibadah adalah mustahil, seperti mana yang dinyatakan oleh Abu al-Darda’ r.a., “Aku berkeinginan menghimpunkan berniaga dengan ibadah. Tetapi, kedua-duanya tidak dapat berkumpul. Maka, aku memilih ibadah dan meninggalkan niaga.” Itu tarekat (jalan) Abu al-Darda’ r.a. Lain pula tarekat Abd al-rahman bin Auf r.a., beliau dapat menjalankan ibadah dalam masa yang sama berjaya dalam perniagaan.

Dengan demikian, tarekat itu ada berbagai-bagai. Ia bergantung kepada kekuatan dan kemampuan masing-masing, sebagaimana sabda rasulullah s.a.w. bermaksud: “Jalan untuk beribadah kepada Allah itu banyak, sebanyak nafas makhluk.” Ada orang yang mendekatkan dirinya kepada Allah s.w.t. dengan menuntut ilmu. Ada yang dengan bersedekah, dan ada juga dengan menolong masyarakat dan sebagainya. Semuanya itu dibenarkan oleh rasulullah s.a.w.

Jika seseorang berasa tenteram dengan sesuatu hal, contohnya dia boleh mencari rezeki sambil beribadah, maka dia tidak perlu meninggalkannya. Orang yang sudah berasa tenteram mengerjakan ibadah sambil berusaha ala kadarnya, jangan sekali-kali berkeinginan menjadi saudagar besar hingga meninggalkan ibadah. Demikian pula, seorang saudagar kaya-raya yang berasa tenteram menjalankan ibadah, hendaklah tidak membuang hartanya sia-sia, sebab dikhuatirkan setelah hartanya habis dibuang, ibadahnya pun menjadi terhenti. Sayidina Umar r.a. berkata: “Jika dunia dan akhirat dapat berkumpul pada orang lain, tentu pada diriku pun dapat. Sebab aku diberi oleh Allah s.w.t. kekuatan dan kehalusan.”

jenayahsebab2bya2


Kelima: Didikan di Rumah

Sesungguhnya anak-anak pada asalnya dilahirkan dalam keadaan fitrah yakni bersih dan suci daripada dosa. Justeru, yang mewarnainya nanti ialah ibu bapanya. Sabda rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Setiap anak lahir dalam keadaan fitrah. Kedua-dua ibubapanyalah yang mencorakkannya sama ada menyahudikannya, mengkristiankannya atau memajusikannya.” (riwayat Ahmad, Abu Ya’la dan al-Tabarani) Syeikh Abdullah Nasih Ulwan dalam Tarbiyah al-Aulad berkata: “Semua pakar dalam bidang pendidikan sependapat bahawa anak yang dilayan di rumah oleh ibu bapa atau para pendidiknya dengan cara kasar dan keras, atau didera, dan dipukul secara keterlaluan atau dicaci, dihina dengan menonjolkan kelemahannya di hadapan orang lain, akan wujud tindak balas pada kelakuannya kelak.

Fenomena ketakutan dan perasaan pengecut akan ternyata pada tingkah lakunya. “Kadangkala keadaan begini boleh menyebabkan anak itu melawan ibu bapanya. Ataupun mungkin dia akan meninggalkan rumah bagi melepaskan diri daripada kekerasan dan layanan menyakitkan yang diterimanya. “Tidaklah menghairankan jika dalam keadaan begini, anak itu menjadi seorang penjahat dalam masyarakat dan menjadi manusia yang berperangai ganjil serta menyeleweng. Tidaklah hairan juga jika dia membesar dalam keadaan tidak betul dan tiada pegangan.”

Benarlah sabda rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Jika Allah mahu mengurniakan satu kebaikan kepada mana-mana keluarga, ia menjadikan mereka bersifat lembut. Sesungguhnya jika kelembutan itu merupakan suatu perangai (tabiat) nescaya manusia tidak akan mendapati perangai yang lebih baik daripadanya. Dan sesungguhnya kekasaran merupakan suatu perangai (tabiat) nescaya manusia tidak akan dapat perangai yang lebih buruk daripadanya.” (riwayat Ahmad dan al-Baihaqi) Syeikh Abdullah Nasih Ulwan berkata: “Ketahuilah wahai para pendidik serta para pengasuh, pemulihan mengikut metodologi Islam dalam pendidikan dan caranya dalam usaha pembaikan, supaya mengikuti metodologi yang benar (betul) dalam pendidikan generasi sekarang dan mengikuti cara pemulihan kemasyarakatan yang betul dan lurus.


Keenam: Persekitaran dan Masyarakat

Pepatah Arab ada menyebut: “Siapa yang membesar dalam keadaan tersebut, nescaya dia akan terpengaruh.” Imam al-Nawawi dalam riyad al-Salihin menukilkan sebuah hadis yang panjang: Daripada Abu Sa’id, Sa’ad bin Malik bin Sina al-Khudri bahawa Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Ada di kalangan sebelum kamu seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang. Kemudian beliau bertanya orang yang alim, lalu ditunjukkan kepadanya ahli ibadah. Lantas beliau mengunjunginya seraya berkata: ‘Sesungguhnya aku membunuh 99 orang, adakah bagiku peluang untuk bertaubat?’ Jawab rahib tersebut: ‘Tidak.’ Selepas itu dibunuhnya rahib itu, maka jadilah 100. Selepas itu dia bertanya orang yang paling alim di bumi dan ditunjukkan kepadanya seorang lelaki yang alim.

Lantas beliau bertanya: ‘Sesungguhnya aku telah membunuh 100 orang. Adakah peluang untukku bertaubat?’ Jawabnya: ‘Ya. Apakah yang menghalangmu daripada bertaubat? Pergilah ke negeri sekian-sekian kerana di sana ada manusia yang beribadah kepada Allah s.w.t. dan beribadahlah kamu bersama mereka. Jangan kamu pulang ke negerimu kerana ia mempunyai masyarakat jahat…’” (riwayat Bukhari dan Muslim) Syeikh Soleh al-Uthmain dalam Syarah Riyad al-Salihin berkata: “Orang alim telah menunjukkan negeri yang penduduknya beribadah kepada Allah dan seolah-olah tempat asalnya tempat yang kufur. Justeru disuruh berhijrah ke negeri di mana penduduknya beribadah kepada Allah itu.”

punca jenayah

Ketujuh: Pemimpin dan Ketua Masyarakat

Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Manusia atas agama raja-raja mereka.” Di sini jelas bahawa rakyat jelata amat terkesan dan terpengaruh dengan segala tingkah laku, perbuatan dan sikap pemimpin masing-masing. Jika baik mereka maka baiklah rakyatnya dan jika tidak baik sudah tentu membawa kepada masalah.

Dengan sebab itu, antara syarat-syarat yang disebut oleh ulama berkenaan dengan pemimpin ialah bersifat adil. Al-’Iz bin Abdul Salam berkata: “Pemimpin dan pemerintah yang adil mendapat ganjaran yang sangat besar jika dibandingkan dengan semua makhluk berdasarkan pendapat yang disepakati oleh majoriti umat Islam, kerana mereka memikul bebanan menjaga kebaikan sejagat dan membanteras kerosakan yang menyeluruh. Katanya lagi: “Ganjaran pemimpin tertinggi melebihi ganjaran mufti dan kadi, kerana manfaat yang diperoleh dan kemudaratan yang dihindari lebih sempurna dan menyeluruh”. (Al-Qawa’id jil. 1, hlm. 104, lihat Muamalat al-Hukkam, hlm. 58) Inilah faktor-faktor utama yang menyumbang kadar jenayah atau pelaku maksiat.¤
                 

Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.4


Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dilahirkan di Terengganu. Melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Madinah dalam bidang Syariah. Berpeluang belajar secara talaqqi dengan beberapa ulama tersohor di sana. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Jordan dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana (Masters) di Syria, seterusnya berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. Kini beliau bergerak secara bebas sebagai penulis. penceramah, penasihat agama dan pakar rujuk. Di samping itu, beliau ialah AJK Fatwa Terengganu (sejak 2005). Antara jawatan terkini beliau ialah ahli Panel Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji, ahli Panel Syariah dan Aqidah JAKIM dan ahli Panel Syariah Bank Muamalat. Beliau juga dikenali sebagai Muryid dalam rancangan al-Daurah di Radio IKIM.FM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

 

Kembali ke atas