Menu

 

A+ A A-

BERHUTANG DEMI HAJI

SOALAN: Bolehkah berhutang untuk pergi menunaikan haji? Lebih-lebih lagi untuk golongan yang ada masalah kewangan. Ada sahabat saya yang hampir-hampir berhutang kerana ingin turut serta bersama ahli keluarganya yang lain menunaikan haji pada tahun ini.

Perkara ini ada disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Auf: “Aku pernah bertanya kepada Rasulullah berkenaan dengan seorang lelaki yang tidak dapat pergi haji. Adakah dia boleh berhutang untuk pergi haji? Rasulullah menjawab: “Tidak.” (Riwayat al-Baihaqi)

Imam Nawawi berkata mengenai orang yang telah berhutang: “Sekiranya orang yang memberi hutang itu rela hutang itu dibayar semula sehingga selepas haji, maka tidak wajib haji ke atas orang yang berhutang itu.”

Beliau menyambung lagi: “Apabila tidak wajib haji bagi orang yang sudah sedia berhutang dengan sebab hutangnya itu, maka tidak wajib berhutang untuk pergi haji adalah lebih utama.”

Islam adalah agama yang mudah dan tidak menyusahkan. Dalam hal mengerjakan haji dan umrah, para ulama telah membuat syarat-syarat tertentu yang amat padat, kemas dan ringkas yang berdasarkan yang berdasarkan kepada al-Quran, hadis dan ijmak. Jika syarat-syarat itu tidak dapat dipenuhi oleh seseorang, maka tidak wajib baginya pergi mengerjakan haji, walaupun haji itu salah satu daripada rukun Islam. Begitulah Islam yang membawa rahmat dan tidak menyusahkan umatnya.

Oleh yang demikian, orang yang ingin mengerjakan haji dan umrah yang wajib tidak perlu menyusahkan dirinya dengan berhutang.

berhutang-demi-haji-2

Lebih-lebih lagi jika umrah yang akan dilakukan itu hanyalah sunat. Maka berhutang kerana tujuan itu adalah suatu perkara yang tidak dituntut oleh agama kerana ia akan menjadi beban di kemudian hari.  

Seandainya ajalnya tiba ketika menunaikan haji, maka akan menjadi suatu beban waris yang ditinggalkan untuk melangsaikan hutang itu. Manakala sekiranya dia selamat pulang, hutang itu akan menggangu fikirannya. Boleh jadi dia tidak dapat membayar hutangnya lagi kerana hartanya habis atau sebab-sebab lain yang menghalang.

Inilah yang dimaksudkan bebanan kepada dirinya. Bebanan itu bukan sahaja ditanggungnya semasa hajinya, tetapi juga akan ditanggungnya selepas kematiannya.

Perlulah diingat bahawa tuntutan beribadah itu tidak menginginkan kesusahan kepada diri sendiri atau orang lain. Allah berfirman: “Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.” (Surah al-Baqarah: 286) Allah menyatakan lagi belas kasihannya terhadap hamba-Nya: “Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran.” (Surah al-Baqarah: 185)

Sedekah atau Haji?

SOALAN: Dalam isu pergolakan di Syria yang masih belum surut, banyak organisasi kemanusiaan yang melancarkan misi bantuan melalui kutipan dana daripada masyarakat. Antara bersedekah dengan cara memberi bantuan kepada mujahidin dan melakukan haji sunat, mana yang lebih afdal, ustaz?

Syeikh bin Baz berkata: “Orang yang telah melaksanakan haji wajib, maka yang utama baginya adalah menyumbangkan dana yang akan digunakan kepada orang-orang yang berjuang di jalan Allah seperti kaum mujahidin di Afghanistan dan pelarian Islam di Pakistan.”

Nabi pernah ditanya: “Apakah amalan yang utama?”

Nabi menjawab: “Beriman kepada Allah dan Rasul-Nya.”

“Kemudian apa?”

“Jihad di jalan Allah.”

“Kemudian apa?”

“Haji yang mabrur.” (Riwayat al- Bukhari dan Muslim)

Haji yang dimaksudkan di sini ialah haji sunat. Kerana haji wajib adalah rukun Islam yang dilaksanakan apabila seseorang mampu. Nabi bersabda: “ Barang siapa yang membantu orang yang telah berjuang, maka sesungguhnya dia telah berjuang.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Orang-orang yang berjuang di jalan Allah sangat memerlukan bantuan daripada saudara-saudara mereka. Oleh itu, membiayai orang-orang yang berjuang lebih utama daripada melakukan ibadah sunat.

berhutang-demi-haji-3

Umrah Dulu?

SOALAN: Saya berumur dalam lingkungan 40-an dan bekerja di sebuah syarikat swasta. Pendapatan saya sederhana. Saya berada dalam dilema sama ada hendak menunaikan umrah terlebih dahulu atau terus mengerjakan haji? Bagaimana pendapat ustaz?

Pada pandangan saya, yang lebih afdal ialah haji dan umrah disekalikan. Ia bertujuan supaya saudara dapat melakukan kedua-duanya. Hal ini berdasarkan hadis Nabi: “Sesiapa yang ingin mengerjakan haji, maka bersegeralah.” (Riwayat Ahmad)

Tetapi jika sekiranya saudara mempunyai kewangan yang baik, adalah elok sekiranya saudara mengerjakan umrah dahulu sebelum melaksanakan haji. Hikmahnya supaya anda dapat memahami rukun-rukun haji dan umrah secara lebih mendalam.

Saya suka menyebut hadis Nabi: “Iringilah antara haji dan umrah kerana kedua-duanya boleh menghapuskan kemiskinan dan dosa.” (Riwayat al- Tirmizi)

Hadis ini menunjukkan bahawa umrah dan haji boleh mempermudah perolehan rezeki dan boleh menghapuskan dosa.

Wallahu a‘lam.

DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

Sumber artikel daripada majalah al-Ustaz isu No.19


Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri

Dilahirkan di Terengganu. Melanjutkan pelajaran di peringkat Ijazah Pertama di Universiti Madinah dalam bidang Syariah. Berpeluang belajar secara talaqqi dengan beberapa ulama tersohor di sana. Kemudian melanjutkan pelajaran ke Jordan dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana (Masters) di Syria, seterusnya berjaya memperolehi Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari Universiti Sains Malaysia. Beliau pernah bertugas di Kolej UNITI, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan. Kini beliau bergerak secara bebas sebagai penulis. penceramah, penasihat agama dan pakar rujuk. Di samping itu, beliau ialah AJK Fatwa Terengganu (sejak 2005). Antara jawatan terkini beliau ialah ahli Panel Penasihat Ibadat Haji Tabung Haji, ahli Panel Syariah dan Aqidah JAKIM dan ahli Panel Syariah Bank Muamalat. Beliau juga dikenali sebagai Muryid dalam rancangan al-Daurah di Radio IKIM.FM.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

  

 

Kembali ke atas