PECUTAN BELAJAR AWAL TAHUN
- Ditulis oleh Haji Muhammad Zakaria
- Kategori Tips
- Read 10398 times
SEBAGAI seorang pelajar pada awal-awal tahun begini, kondisi minda anda masih segar. Kerja rumah belum banyak. Ujian bulanan masih jauh. Aktiviti kokurikulum belum pesat. Latihan sukan tahunan belum bermula.Tapi awas anda jangan terlalu relaks! Inilah masanya anda memecut melakukan permulaan yang baik untuk tahun ini.
Pernah dengar cerita arnab dengan kura-kura dalam dongeng Melayu? Kura-kura memenangi perlumbaan dengan arnab kerana awal-awal lagi dia memulakan perlumbaan tersebut dengan niat untuk menang. Kemudian dia istiqamah dalam usahanya untuk menang itu. Anda juga boleh menang jika mengambil iktibar daripada usaha gigih sang kura-kura.
Betulkan Niat
Lazimnya pada awal tahun begini tubuh badan anda masih segar. Minda anda ceria. Betulkan niat anda untuk belajar bersungguh-sungguh. Berniatlah untuk menuntut ilmu yang diredai Tuhan. rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Setiap amal bermula dengan niat. Setiap orang akan mendapat apa yang diniatkan.” (riwayat al- Bukhari dan Muslim) Buangkan hasrat untuk ponteng jauh-jauh dari lubuk hati. Ingatlah bahawa hanya anda sendiri yang mampu untuk menggapai kecemerlangan. Orang lain tidak mampu untuk menggerakkan usaha anda sepanjang masa.
Kawan Baru
Mungkin pada awal tahun begini anda sedang berada di sekolah baru. Sebahagian besar rakan-rakan baru masih belum anda kenali dengan erat. Ayuh mari segera berkenalan dengan mereka. Ingat nama mereka. Selidik latar belakang mereka. Jadikan mereka kawan baru yang setia. Berkawanlah dengan orang yang baik-baik sahaja, rajin belajar, baik akhlak, suka menolong orang susah, ringan tangan, rajin beribadah dan tidak menyusahkan orang lain. Jalin hubungan baik dengan semua orang. Cuba sebaik mungkin untuk bekerjasama dan bertolak ansur dengan kawankawan. Sentiasalah bersedia membantu kawan-kawan yang memerlukan pertolongan.
Jaga Nama Baik Sekolah
Tanamlah rasa bangga serta pertahankan nama baik sekolah tempat anda belajar. Pepatah Melayu ada mengatakan: Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung. Jangan menconteng arang di muka sendiri. Ingatlah bahawa sekolah merupakan rumah kedua bagi anda. Sekolah melindungi anda sekurangkurangnya tujuh jam sehari.
Sayangi Guru
Sukailah semua guru di sekolah anda terutama guru-guru yang mengajar anda. Ucapkan terima kasih setiap kali lepas dia mengajar. Mohon maaf jika anda melakukan kesalahan terhadap mereka. Mohon halalkan ilmu yang diajarinya. Mohon doa kejayaan daripada guru. Berbaik sangkalah dengan guru. Jangan sangka yang bukanbukan. Beri penghormatan kepada mereka selayaknya. Tanamkan rasa ikhlas dan berlapang hati terhadap guru. Tanya perkara yang tidak difahami dengan rendah hati.
Suka Semua Subjek
Sukailah semua mata pelajaran yang anda ambil. Semua mata pelajaran sama penting. Fahami semua tajuk (topikal) bagi setiap subjek. Lengkapkan diri anda dengan buku teks, buku rujukan, buku nota dan soalan peperiksaan tahun-tahun lepas. Ambil tuisyen bagi mata pelajaran yang anda lemah. Bentuk kumpulan belajar (study group) di sekolah bersama kawan-kawan dan di rumah bersama adik-beradik. Anda akan dapat belajar dengan lebih berkesan dalam kumpulan belajar.
Hadir Semua Aktiviti Sekolah
Ada pelajar yang memandang tidak penting aktiviti selain belajar. Anggapan ini amat salah sekali. Sekolah menyediakan pendidikan yang holistik (menyeluruh) buat anda. Semua aktiviti penting termasuk minggu orientasi, perhimpunan mingguan atau harian, mesyuarat persatuan, taklimat, latihan sukan, perayaan sambutan hari-hari tertentu dan sebagainya.
Cergas dalam Kokurikulum
Anda hendaklah bergerak cergas dalam aktiviti kokurikulum mulai awal tahun. Paling kurang pilih satu aktiviti yang paling anda sukai. Aktiviti kokurikulum sebenarnya mengajar anda hidup bermasyarakat, memiliki kemahiran tertentu dan mengembangkan skop pemikiran minda anda.
Mengurus Beg Sekolah
Beg sekolah seperti bekalan senjata bagi seorang askar yang menuju medan pertempuran. Untuk berjaya beg sekolah anda harus lengkap dengan buku yang diperlukan pada hari tersebut; alat tulis, alatan tambahan seperti mesin kira atau pensel warna, buku catatan harian atau diari, buku skrap, wang untuk kegunaan kecemasan, kad pusat sumber, bekalan makanan tambahan, kudap-kudapan atau air kosong. Beg sekolah hendaklah diisi dengan keperluan belajar sahaja. Jangan sekali-kali mengisi beg sekolah dengan barangan yang terlarang seperti rokok, senjata berbahaya, barang kemas, bahan lucah, telefon bimbit, radio, MP3,games dan kamera.
Membina Imej Diri
Sebagai seorang pelajar yang mengimpikan kecemerlangan anda hendaklah sentiasa membawa penampilan diri yang kemas, bersih, tampan, proaktif dan sopan dalam tiga aspek:
Imej fizikal: Kebersihan dan kesihatan diri seperti rambut, kulit, mata, kuku, gigi dan sebagainya.
Imej pakaian dan aksesori:Pakaian seragam, pakaian harian, pakaian ibadah, pakaian untuk sukan, penjagaan masa seperti jam tangan, pen, telefon bimbit, kasut dan sebagainya.
Imej akhlak: Tutur kata, berkomunikasi, simpati, empati, rasa tanggungjawab, inisatif yang tinggi, sifat prihatin dan sebagainya.
Siap Sedia dalam Kelas
Anda hendaklah bersedia 10 minit sebelum kelas bermula. Semua buku dan peralatan yang diperlukan sudah disediakan. Buat kerja-kerja asas sementara menunggu guru masuk. Sama ada guru masuk cepat atau lewat bukan lagi urusan anda untuk mengomel. Amalkan sifat bersungguh-sungguh, cergas dan aktif ketika belajar. Terokai lebih mendalam setiap ilmu yang dipelajari. Tanya apa-apa yang anda kurang faham. Selalunya semua orang berlapang dada apabila anda bertanya kerana mereka juga memerlukan penerangan yang sama. Cuma elakkan daripada mengada-ngada apabila bertanya. Buat kerja dengan cepat, tepat dan cemerlang. Jangan membuat bising, kecoh atau mengganggu pelajar lain. Jangan kerap keluar kelas dengan alasan hendak ke bilik air dan sebagainya.
Ulang Kaji
Buat ulang kaji pelajaran tahun lepas yang berkaitan pada awal tahun. Gunakan masa terluang ketika di sekolah untuk mengulang kaji. Dengan cara ini anda mempunyai masa yang lebih banyak untuk belajar topik baru pada sebelah malam di rumah.
Jangan Terlibat dengan Keganasan
Keganasan dalam kalangan pelajar berlaku melalui tiga tahap:
Tahap awal: Keganasan sering bermula dengan aktiviti menconteng dan menyalahgunakan kemudahan awam sekolah seperti dinding, bilik air, perhentian bas, tong sampah dan alat pemadam api. Kemudian pelajar mula ponteng.
Tahap pertengahan: Tabiat merokok, mula bergaul dengan rakan berlainan jenis, bergurau melampau, melawan guru, berdendam dan pelbagai akhlak buruk lain.
Jaga Pemakanan
Otak anda memerlukan bekalan oksigen yang segar untuk cerdas. Bekalan oksigen antaranya diperoleh daripada makanan. Bersarapanlah sebelum ke sekolah tetapi tidak terlalu kenyang. Jangan makan terlalu kenyang pada waktu rehat. Elakkan makanan ringan yang tidak berzat; yang mengandungi bahan kimia dan yang dihasilkan daripada bahan yang tidak bersih atau yang haram. Banyakkan minum air kosong atau lebih baik air mineral.
Tahap kronik: Terlibat dengan gengsterisme, buli, membawa senjata, menghisap dadah, mengedar bahan lucah dan seks bebas.
Persiapan permulaan awal tahun yang baik akan memberi ruang yang luas untuk anda menggarap ilmu dengan selesa, mudah dan cepat. Anda akan memiliki tapak yang kukuh. Dengan tapak yang kukuh ilmu mudah melekat dalam minda.
Haji Muhammad Zakaria
Sumber artikel daripada majalah Solusi isu No.4
Haji Muhammad Zakaria
Lulusan University of Tasmania dan University of Newcastle, Australia, berpengalaman sebagai pendidik, pensyarah, CEO kolej swasta, master trainer, kolumnis, penulis, editor dan usahawan. Beliau kini menjawat sebagai Pengerusi Yayasan Antarabangsa Sri al-Ain-Aceh, Presiden Persatuan Belia Sri al-Ain (BERSAMA), Timbalan Presiden Persatuan Usahawan dan Pengurusan Islam Malaysia (URUS) dan Mudir Tahfiz Sri al-Ain. Sering muncul di kaca tv sebagai perunding motivasi, antaranya TV3, RTM1 dan juga Radio Ikim.fm. Beliau juga sering ke luar negara mengetuai misi kemanusiaan, antaranya ke Aceh, Jakarta, Kemboja dan juga masyarakat orang asli.
Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.