Menu

 

A+ A A-

REMEH-TEMEH MUAMALAT BERSAMA DATUK HJ. MD. HASHIM YAHAYA

APAKAH pandangan ustaz tentang amalan berhutang, tambahan pula ianya dilakukan melalui bank-bank konvensional yang ada padanya riba untuk membeli rumah, kereta dan sebagainya?

Mengambil mudah tentang hutang dan memperbanyakkan hutang dari bank dan sebagainya adalah satu perbuatan yang tidak digalakkan dalam Islam. Tetapi, ramai orang Islam terjebak dalam perkara ini. Ia akan mendatangkan akibat yang tersangat buruk di akhirat nanti sekiranya masih lagi terikat dengan hutang walaupun seseorang itu sudah meninggal dunia.

Daripada ‘Amru bin al-‘As r.a., sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Diampunkan kepada orang yang mati syahid kecuali hutang.” (Riwayat Muslim) Hutang juga membuatkan seseorang terhalang daripada memasuki syurga sebagaimana sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Sesungguhnya sahabat kamu terhalang daripada memasuki syurga kerana hutang. Jika kamu mahu, kamu boleh membayar untuknya. Dan jika kamu mahu, maka serahkannya kepada azab Allah Taala. Maka seorang lelaki berkata: ‘Hutangnya adalah atasku (untuk membayarnya).’” (Riwayat al- Hakim)

Nabi s.a.w. tidak mahu menunaikan solat kepada jenazah yang ada padanya hutang sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a. bahawa telah datang jenazah lelaki yang mempunyai hutang kepada Nabi s.a.w. Lalu Nabi s.a.w. bersabda yang bermaksud: “Adakah dia tinggalkan kepada seseorang untuk diselesaikan hutangnya? Jika dikhabarkan bahawa dia ada meninggalkan seseorang untuk menyelesaikan hutangnya, maka Baginda akan solat (untuknya). Tetapi, kalau sebaliknya Baginda menyatakan: ‘Solatlah kamu untuk saudaramu.’” (Riwayat Muslim)

Kesimpulannya, jangan sekali-kali kita mengambil mudah dalam urusan hutang dan membuat pinjaman dari bank-bank konvensional yang ada padanya riba kerana perkara tersebut mengundang bahaya yang besar daripada Allah Taala. Berhutanglah ketika dalam keadaan terlalu berhajat sahaja dengan tidak berlebih-lebihan.

Juga, jangan sekali-kali meminjam dari bank yang ada riba kerana riba adalah haram dan merupakan antara perkara yang amat dimurkai Allah Taala. Nabi s.a.w. berdoa yang bermaksud: “Wahai Tuhanku, aku berlindung kepada-Mu daripada sedih, dukacita, lemah, malas, penakut, kedekut, banyak hutang dan orang yang keras (tidak ada perasaan belas kasihan).” (Riwayat al-Bukhari).

Kita dianjurkan untuk membaca doa tersebut selepas selesai solat fardu. Mudah-mudahan Allah Taala akan memakbulkannya.

Datuk Hj. Md. Hashim Yahaya

Sumber artikel daripada majalah Al-Ustaz isu No.2


Dato’ Hashim Yahya

Mantan mufti Wilayah Persekutuan, dilahirkan di Pulau Pinang dan melanjutkan pelajaran dalam bidang Syariah di Unuiversiti al-Azhar Mesir. Menjadi Ahli Lembaga Muzakarah Fatwa Kebangsaan. Penasihat Syariah EPF/RHB Capital Berhad / RHB Unit Trust Management Berhad / Bank Pembangunan dan Infranstruktur Malaysia Berhad. Beliau juga menjadi penasihat kepada beberapa lagi buah bank antaranya Perbankan Islam/Suruhanjaya Sekuriti/Syarikat Takaful/Bank Rakyat, Penasihat syariah Southern Bank Berhad/AM Bank/ Islamic Banking Department of Malaysia Rating Corporation Berhad / Public Bank / Malayan Banking & Maybank Dana Yakin dan banyak lagi.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Terkini daripada Dato’ Hashim Yahya

Kembali ke atas