Menu

 

A+ A A-

RELAKS JANGAN TERLALU SERIUS

JANGAN bebankan badan anda

Apabila badan kita bekerja, otot-otot menegang dan menjadi keras. Lihatlah muka orang yang sedang memberi tumpuan kepada sesuatu. Mata dan dahinya berkerut, mulutnya akan dimuncungkan sedikit, dan kelihatan begitu tegang sekali.

Begitu juga ketika anda menaip, otot-otot bahu, lengan, dada dan jari akan bekerja dan menegang semasa bekerja. Itu tidak menjadi masalah. Yang menjadi masalah ialah, anda membiarkan diri anda sentiasa berada dalam keadaan itu! Maksudnya, walaupun dalam keadaan tidak bekerja sekalipun, anda masih lagi “menegangkan” otot-otot badan anda. Tabiat dan kebiasaan ini akan menyebabkan badan anda sentiasa tegang dan stres.

Bersantailah ketika rehat dan bekerja

Memang benar semasa bekerja otot tubuh kita akan menegang. Tetapi sebenarnya, anda masih lagi boleh rileks semasa bekerja. elakkan ketegangan yang berlebihan, dan selang selikan dengan regangan badan yang sistematik. Selain itu, kawal minda anda dengan “skrip-skrip” positif dan santai. Joan Dixon daripada Institut Pembangunan Kepemimpinan Wanita Amerika Syarikat sangat percaya kepada kelebihan tidak terlalu serius dalam sesuatu perkara. Beliau berkongsi prinsip ini dalam institut tersebut dan menyebutkannya sebagai nilai “hidup tanpa kebimbangan”. Rakan-rakan yang mengikuti bengkel anjurannya diajak untuk hidup dengan tenang dan bersantai. Dengan demikian, ia dapat “membuang” ancaman dan memberikan kebebasan berfikir serta mencari penyelesaian. Mereka selalu berkata, “Jika tiada sesiapa yang akan mati, perkara tersebut tidaklah begitu serius.”

Buat sesuatu yang gila-gila

Ada satu petua menarik bagaimana untuk bersantai di tempat kerja tanpa mengambil masa yang banyak. Ia dikongsi oleh eileen Douse daripada syarikat Human Dynamics. Petua ini dinamakan “Waktu Gila-gila”. Apabila anda sudah lama duduk di hadapan komputer anda akan terasa tegang dan tertekan dan anda tidak ada banyak masa untuk berehat. Dalam keadaan sebegini, “waktu gila-gila” mungkin berguna. Bagaimana caranya? senang sahaja. Berhenti daripada melakukan apa sahaja yang anda sedang buat. Tolak kerusi agar jauh sedikit daripada meja. Kemudian, pusingkan kerusi anda sehingga berpusing laju. Biarkan selama 30 saat. selepas itu sambung semula kerja anda! Senang bukan? (Tip ini hanya untuk kerusi yang boleh berpusing. Jika kerusi anda tidak boleh berpusing, tetapi dicuba juga ia dinamakan“waktu gila”).¤

 

Ahmad Fadzli Yusuf

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu No.2

 


 

Ahmad Fadzli Yusof

Professional Trainer/Speaker di RK Training & Management. Mendapat ijazah sarjana muda dan kemudian menyambung sarjana (Master) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kini sedang menyiapkan kajian PhD dalam bidang pembangunan insan Universiti Malaya. Beliau merupakan Certified NlP Practitioner dan mendapat tauliah daripada National Federation of Neuro Linguistic Programming yang berpusat di California, Amerika Syarikat. Beliau juga adalah kolumnis tetap majalah e-Siswa dan sering muncul di tv, antaranya TV3, TV9 dan RTM. Lawati laman web beliau di www.fadzliyusof.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas