Menu

 

A+ A A-

SOLAT DAN PENGURUSAN MASA

Ibadah solat sangat penting dalam pembentukan karakter seseorang itu. Jika kita hendak membincangkannya, sudah pasti terlalu panjang dan memerlukan masa yang lebih lama. Di sini saya ingin berkongsi beberapa idea tentang bagaimana solat boleh meningkatkan  keupayaan pengurusan masa kita.

1. Kenal pasti apa yang akan anda lakukan

Solat ialah tanggungjawab yang jelas dan telah ditentukan waktunya. Ia tidak berkecamuk. Kenal pasti apakah tugasan-tugasan yang perlu anda lakukan, satu demi satu. Jangan biarkan anda “mati kelemasan” dengan tugasan-tugasan yang berserabut. Rungkaikan keserabutan minda anda dengan menyenaraikannya satu persatu.

Sujud, doa, selawat, zikir, tahmid dan takbir; ia boleh melahirkan rasa ingin bersolat dan berzikir kepada-Nya. Dalam pengurusan masa harian, sebelum memulai, fikirkan langkah-langkah dan proses untuk menjayakan tugasan anda itu. Dengan berbuat sedemikian, anda boleh mengenal pasti perkara yang anda perlu buat. Ia akan menambahkan minat anda untuk terus bekerja dan bekerja.

2. Anda lebih arif dengan masa anda

Orang yang bersedia awal untuk solat sebelum azan adalah lebih baik. Begitu juga dalam pengurusan masa. Jangan bergantung kepada tarikh akhir orang lain semata-mata. Anda lebih arif tentang masa anda, jadi kenapa tidak tentukan sendiri tarikh akhir anda sendiri. Dengan berbuat demikian, anda tidak lagi berkejar-kejar setiap kali tarikh akhir sudah hampir.

3. Berikan masa “rizab”

Dalam solat ada zikir dan wirid selepas solat. Perlu diperuntukkan masa “rizab” sebagai persediaan jika berlaku sebarang masalah. Ini untuk mengelakkan kelewatan dan keadaan tergesa-gesa. Tetapi jangan pula sampai melengah-lengahkan kerja, kerana anda tahu anda ada masa rizab. Jika masa rizab kelihatan terluang, anda boleh gunakan untuk perkara lain.

4. Sentiasa bersedia

Solat merupakan ibadah yang mesti dilakukan; sedang sakit, musafir, mahupun dalam peperangan. Dalam pengurusan masa, walau di mana anda berada, anda mestilah sentiasa bersedia dan mampu untuk membuat sesuatu yang sepatutnya. Contohnya dengan telefon bimbit, anda boleh membuat panggilan-panggilan penting semasa kesesakan lalu lintas. Atau, anda boleh menyiapkan laporan mesyuarat di dalam LRT, jika anda bawa komputer riba yang sudah dicas.

5. Sentiasa di atas landasan

Niat adalah elemen penting dalam solat. Begitu juga dalam pengurusan masa. Jangan tergelincir, kerana buruk akibatnya. Anda boleh menulis matlamat anda di atas sebuah kad dengan besar dan jelas, dan letakkan pada tempat yang mudah untuk dilihat. Manusia ini pelupa, dan perlu diperingatkan sentiasa. Jika perlu, bawalah ‘kad matlamat’ anda ke mana-mana anda pergi.

6. Tetapkan standard yang tinggi

Untuk solat yang berkualiti, kita perlulah mempunyai standard khusyuk yang tinggi. Begitu juga dalam kehidupan seharian. untuk mendapatkan hasil kerja yang cemerlang, kita perlulah meletakkan standard yang tinggi sebelum melakukan sesuatu.

7. Membuat keputusan yang bijak

Solat mengajar kita supaya sentiasa tenang dan berfikir secara sempurna. Dalam kehidupan, setiap masa kita akan perlu membuat keputusan. Belajarlah bagaimana mengendalikan otak kita supaya ia dapat melahirkan keputusan dan idea yang bijak. Jangan tergopoh-gapah.

Bertenang, tarik nafas, dan gunakanlah otak kita. Walaupun bunyinya ringkas sahaja, tetapi berapa ramai orang yang tidak tahu melakukannya. Cubalah!

8. Kekalkan penguasaan dan kawalan

Solat yang berkualiti ialah solat yang dilakukan dengan sempurna. Kita perlu tahu apa yang kita sedang baca, pergerakan yang sedang dilakukan dan setiap amalan di dalam solat. Dalam kehidupan, pastikan kita tahu apa yang berlaku di sekeliling kita. Sentiasa kemas kini maklumat berkaitan dengan perkara-perkara yang penting.

9. Sediakan perancangan alternatif

Dalam kewajipan solat, digalakkan membuat solat sunat rawatib bagi setiap solatsolat wajib. Ia adalah untuk menampung kekurangan solat fardu, umpama “pelan sokongan” kepada ibadah solat itu. “Hari tidak selalu cerah, air tidak selalunya tenang.” Sering kali timbul perkara-perkara yang dapat menggagalkan rancangan kita. Kenal pasti satu tahap apabila rancangan kita akan dianggap sebagai “gagal”, dan beralihlah kepada perancangan alternatif.

Jangan biarkan kita dan orang lain terus “mengayuh basikal tidak berantai” dan menghabiskan komitmen kita secara sia-sia.

10. Disiplin dan Dedikasi

Tiada apa yang lebih penting jika ingin berjaya melainkan dua perkara ini. Tingkatkan kedua-duanya dalam diri kita dan rakanrakan di sekeliling. Ia bukanlah senang. Jika ia mudah, sudah pasti semua orang boleh berjaya. Jika kita istiqamah dengan solat, insya-Allah akan terbentuklah sikap disiplin dan dedikasi ini. Selamat berjaya!¤.

 large

Ahmad Fadzli Yusuf

Sumber artikel daripada majalah Solusi Isu 10

 


 

Ahmad Fadzli Yusof

Professional Trainer/Speaker di RK Training & Management. Mendapat ijazah sarjana muda dan kemudian menyambung sarjana (Master) di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Kini sedang menyiapkan kajian PhD dalam bidang pembangunan insan Universiti Malaya. Beliau merupakan Certified NlP Practitioner dan mendapat tauliah daripada National Federation of Neuro Linguistic Programming yang berpusat di California, Amerika Syarikat. Beliau juga adalah kolumnis tetap majalah e-Siswa dan sering muncul di tv, antaranya TV3, TV9 dan RTM. Lawati laman web beliau di www.fadzliyusof.com.

 

Klik imej di bawah untuk mendapatkan koleksi buku penulis ini di Addeen Online Store.

 

Kembali ke atas